Thursday, August 30, 2007

Hamid, Alauddin isi jawatan kehakiman

KUALA LUMPUR:29 Ogos 2007 - Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Alauddin Mohd Sheriff masing-masing dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya yang baru.

Pelantikan kedua-dua hakim itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas Tan Sri Abdul Malek Ahmad meninggal dunia pada 31 Mei lalu akibat barah otak, manakala jawatan Hakim Besar Malaya disandang Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sejak persaraan Tan Sri Siti Norma Yaakob pada 5 Januari lalu.

Dalam kenyataannya semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata tarikh berkuat kuasa pelantikan akan ditentukan kelak selepas Mahkamah Persekutuan berurusan dengan Istana Negara berhubung tarikh kuat kuasa pelantikan dan penyampaian watikah.

Pelantikan kedua-dua jawatan hakim itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Hamid, yang dilahirkan di Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang pada 26 Julai 1944, berkelulusan ijazah undang-undang dari University of Singapore pada 1969.

Beliau menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang pada Jun 1969 sebagai seorang majistret di Kangar, Perlis.

Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan itu termasuk sebagai Presiden Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru, Selangor, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman Kedah/Perlis, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Penasihat Undang-undang bagi Kelantan dan Perak.

Pada 5 Mac 1992, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan lapan tahun kemudian sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 24 Julai 2003.

Sebagai penghargaan kepada jasa dan perkhidmatannya, Abdul Hamid dianugerahkan beberapa bintang dan darjah kebesaran, termasuk Dato’ Paduka Cura SiManja Kini (DPCM) oleh kerajaan Perak dan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) oleh kerajaan Pulau Pinang.

Sementara itu, Alauddin yang dilahirkan di Kulim, Kedah pada 7 Ogos 1946, berkelulusan undang-undang dari Inner-Temple, London pada 1970 dan menyertai perkhidmatan kehakiman dan undang-undang sebagai majistret di Bukit Mertajam pada 1 Februari 1971.

Sejak itu, beliau pernah menyandang jawatan Presiden Mahkamah Sesyen Seremban pada 1980 dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor pada 1981 hingga 1987.

Alauddin pernah menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat di Jabatan Perdana Menteri pada 1989 dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Pada Ogos 1992, beliau dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kangar dan Alor Star.

Pada April 2001, Alauddin yang pernah menjadi seorang peguam di London selepas tamat pengajiannya di Inner-Temple, dilantik Hakim Mahkamah Rayuan dan empat tahun kemudian, sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Dato’ Setia DiRaja Kedah (DSDK). – Bernama

No comments: