Saturday, August 27, 2011

Dr Tony Tan Presiden baru Singapura




2011/08/28
SINGAPURA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Tony Tan Keng Yam menjadi presiden ketujuh republik ini, memenangi pertandingan empat penjuru itu dengan 7,269 undi atau perbezaan 0.34 peratus selepas kiraan semula undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yam Ah Mee mengumumkan keputusan itu pada awal pagi ini selepas beliau membenarkan kiraan semula undi berikutan perbezaan jumlah undi antara dua calon utama adalah kurang dua peratus daripada jumlah undi yang sah. Keng Yam memperoleh 744,397 atau 35.19 peratus daripada jumlah undi yang sah manakala Dr Tan Cheng Bock mendapat 737,128 undi atau 34.85 peratus. Tan Jee Say meraih 529,732 undi atau 25.04 peratus dan Tan Kin Lian mendapat 103,931 undi atau 4.91 peratus.

Ini adalah kali pertama Singapura menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan presiden.

Ia juga julung kalinya menyaksikan pertandingan dalam Pilihan Raya Presiden sejak 1993.

Presiden ialah ketua negara dan memegang jawatan itu bagi tempoh penggal enam tahun. - BERNAMA

Saturday, August 20, 2011

‘Kerusi panas’ Peguam Negara




Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my



TAN SRI ABDUL GANI PATAIL

--------------------------------------------------------------------------------



BEBERAPA jawatan pegawai perkhidmatan awam memang merupakan ‘jawatan panas’ sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 54 tahun lalu.

Selain ketua-ketua di jabatan keselamatan, kesihatan dan kebajikan yang sentiasa ‘panas punggung’, individu yang berani memegang jawatan Peguam Negara juga sentiasa tidak senang duduk terutama dalam menghadapi kes-kes kontroversi yang menjadi tumpuan ramai.

Sejak sebelum merdeka lagi Malaysia telah mempunyai Peguam Negara sendiri tetapi jawatan itu diisi oleh wakil British di Tanah Melayu.

Antara 1955 hingga 1959, jawatan itu disandang oleh Thomas Vernor Alexander Brodi yang kemudian digantikan Tan Sri Cecil M. Sheridan sehingga 1963.

Tahun gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia pada 1963 akhirnya menyaksikan pelantikan Peguam Negara Melayu yang pertama, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang memegang jawatan itu selama 14 tahun sehingga 1977.

Jawatan itu kemudian diserahkan kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah (1977-1980), Tan Sri Abu Talib Othman (1980-1993) dan Tan Sri Mohtar Abdullah dari 1994 hingga 2000.

Kedatangan abad ke-21 turut menyaksikan rekod baharu apabila jawatan panas Peguam Negara buat kali pertamanya disandang seorang wanita, Datuk Seri Ainum Mohd. Saaid pada 1 Januari 2001.

Malangnya, beliau terpaksa meletak jawatan selepas hanya satu tahun berkhidmat atas faktor kesihatan sebelum digantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang memulakan tugas pada 1 Januari 2002 sehingga kini.

Merupakan antara sebilangan kecil penjawat awam yang dilantik terus oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara bertindak selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan yang memerintah.

Ini termasuk menggunakan kuasa dan budi bicaranya untuk menerus, menjalankan atau menghentikan sebarang pendakwaan di mahkamah kecuali di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Sudah pasti keputusan sama ada untuk mendakwa atau tidak, dan juga bila untuk mendakwa akan mengundang tentangan dan sokongan daripada pelbagai pihak.

Ini jelas apabila Abdul Gani yang kini duduk di kerusi panas itu menerima tekanan umum dan juga orang kenamaan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan segera ke atas peserta dan penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu terutama sekali Pengerusinya, Datuk S. Ambiga.

Kerusi itu juga terus membakar berikutan tekanan orang ramai yang kecewa pendakwaan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerap tertangguh atau sengaja ditangguhkan.

Kes berprofil tinggi seperti kes Anwar itu juga didakwa bermotifkan politik selepas pendakwaan serupa dibuat terhadapnya pada 1998 dan kini merupakan antara kes paling banyak penangguhan direkodkan atas pelbagai faktor dan alasan.

Itupun belum lagi bara kepanasan kes kematian mengejut Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah serta Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba dipolitikkan pihak tertentu dapat diredakan.

Abdul Gani juga mungkin pernah ‘terbakar’ akibat bahang kontroversi kes rakaman mangsa ketuk ketampi dalam keadaan bogel di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 2005.

Kes itu bukan sahaja dimainkan ahli politik pembangkang sebagai wanita Cina tetapi kemudian terbukti sebagai wanita Melayu, malahan mangsa rakaman itu bertindak menyaman kembali polis dan kerajaan.

Mengetuai pasukan pendakwaan dalam beberapa kes berprofil tinggi sebelum menyandang jawatan Peguam Negara, Abdul Gani tentu memahami bebanan yang perlu dihadapi mana-mana individu yang berani duduk di kerusi panas itu.

Mohtar yang memegang jawatan itu dari 1994 hingga 2000 juga terpaksa berhadapan cabaran besar dengan kes Anwar di pertengahan tempoh pelantikannya yang heboh diperkatakan seluruh dunia sepanjang 1998.

Sebelum itu, beliau terpaksa berhadapan dengan kes rasuah bola sepak Liga Perdana sekitar Januari 1995, di samping usaha mewartakan fatwa pengharaman Al-Arqam sebagai satu undang-undang sekitar Ogos 1994.

Mohtar mengakhiri tempoh pelantikannya dalam menguruskan kes pendakwaan 29 anggota kumpulan Al-Ma‘unah pada penghujung tahun 2000 selepas anggota kumpulan itu ditahan di Bukit Jenalek, Sauk, Kuala Kangsar, Perak sekitar bulan Julai tahun yang sama.

Tuduhan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba menggulingkan kerajaan terhadap anggota kumpulan itu berlarutan sehingga selepas persaraan beliau.

Sebelum zaman Mohtar, jawatan Peguam Negara disandang Abu Talib selama 13 tahun antara 1980 hingga 1993.

Beliau turut merasa bahangnya melalui beberapa kes besar termasuk skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) berjumlah RM2.5 bilion sekitar Mac 1986 yang turut melibatkan pihak berkuasa di Hong Kong.

Beliau kemudian berhadapan kes permohonan habeas corpus 16 penduduk Kampung Memali pada Mei 1986 yang menyaksikan beliau memohon Hakim Mustapha Hussein dilucutkan kelayakan mendengar permohonan tersebut, seterusnya menyebabkan Abu Talib didakwa menghina mahkamah oleh Majlis Peguam.

Abu Talib turut menyelar Perdana Menteri Australia ketika itu, Bob Hawke pada Julai 1986 berikutan pemimpin itu mengatakan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warganegaranya di Malaysia selepas didapati bersalah memiliki dadah sebagai suatu perbuatan ganas (barbaric).

Pada Mac 1987, beliau mengendalikan antara kes paling besar yang pernah diletakkan di bawah tanggungjawabnya melibatkan pendakwaan beberapa individu dalam kes peras ugut Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Individu yang didakwa dalam kes tersebut turut direkod mendakwa aktiviti mereka didalangi sebuah pergerakan beribu pejabat di Kuala Lumpur yang mempunyai bilik merakam perbualan telefon para pemimpin negara.

Bagi Hamzah yang dilantik sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara antara 1977 hingga 1980 pula, bahang kerusinya dirasai ketika pembentangan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979 pada Januari 1979.

Tindakan itu diambil berikutan keputusan Majlis Privy mengenepikan hukuman mati ke atas penjenayah, Botak Chin yang dituduh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memiliki senjata api dan bom tangan dalam kawasan keselamatan.

Pada Jun 1980, beliau turut menolak saranan hukuman mati atas kesalahan-kesalahan khusus di bawah ISA diubah kepada penjara seumur hidup sebelum mengambil keputusan bersara pada September tahun sama atas faktor kesihatan.

Secara umumnya, penyandang jawatan Peguam Negara pasti tidak akan terlepas merasa tekanan menguruskan satu atau lebih kes kontroversi yang boleh mengundang kemarahan rakyat dan individu kenamaan.

Maka, hanya mereka yang benar-benar mampu dan berani sahaja boleh duduk di kerusi ‘berapi’ yang mampu membakar tuannya sendiri itu.