Saturday, December 29, 2007

Heroin: Budak 16 tahun hadapi tuduhan hukuman mati

Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin di kawasan kediamannya kira- kira dua minggu lalu.

Tertuduh yang dikatakan tidak bersekolah itu hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid.

Tiada sebarang pengakuan diambil daripada tertuduh.

Remaja yang tinggal di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini didakwa mengedar 13 paket lutsinar mengandungi heroin seberat 25 gram di hadapan flat itu kira-kira pukul 5 petang, 16 Disember lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dia turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas tuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine atau syabu ke dalam badan di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arifin Hisham memohon satu tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Thursday, December 27, 2007

Peguam dipercayai seleweng wang pelanggan RM746,000 ditahan

JOHOR BAHRU 26 Dis. – Polis menahan seorang peguam yang dipercayai melakukan pecah amanah wang RM746,000 milik tujuh pelanggannya terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Wang milik mangsa itu sepatutnya diserahkan kepada pemaju perumahan bagi pembelian rumah lapan tahun lalu.

Polis percaya suspek yang berusia 41 tahun itu turut terlibat dalam kes yang sama di Kuala Lumpur sebelum ini.

Peguam itu diberkas di rumahnya di Pontian pada Ahad lalu dan kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Nasbah Jusoh berkata, siasatan mendapati peguam berkenaan disyaki menyeleweng wang milik ketujuh-tujuh pelanggannya itu dari 1999 hingga 2001.

“Kes itu melibatkan wang pinjaman perumahan kakitangan kerajaan terbabit yang diserahkan kepada peguam berkenaan selaku panel guaman syarikat pemaju perumahan berkaitan,” kata Nasbah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya: “Peguam itu diberkas kerana gagal menyerahkan wang pinjaman pelanggannya kepada syarikat pemaju perumahan terbabit.”

Menurut Nasbah, semua mangsa dalam kes itu adalah rakyat negeri ini termasuk seorang pesara polis.

Beliau menambah, berikutan terdapat maklumat bahawa peguam itu turut disyaki melakukan kesalahan yang sama di negeri lain terutama di Kuala Lumpur, polis kini memperluaskan siasatan terhadapnya.

Beliau berkata, polis sedang meneliti setakat mana penglibatannya dalam kes-kes pecah amanah selain kes yang membabitkan tujuh pelanggan di Johor itu.

“Kita ada maklumat tentang kemungkinan suspek terlibat dalam pecah amanah di Kuala Lumpur, jadi kita sedang siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi menahan mana-mana individu lain yang berkemungkinan turut bersubahat dalam kegiatan pecah amanah tersebut.

“Selain soal siasat terhadap suspek, kita mungkin akan mengambil keterangan saksi-saksi termasuk pegawai syarikat pemaju perumahan selain mangsa-mangsa,” ujarnya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Thursday, December 6, 2007

Pilihan raya Malaysia bebas

Kajian dua badan antarabangsa dapati rakyat yakin proses pengundian adil

KUALA LUMPUR: Satu kajian oleh dua badan antarabangsa mendapati proses pilihan raya di Malaysia paling bebas dan adil di kalangan negara Asia.

Hasil kaji selidik oleh TNS dan Gallup International mendapati rakyat negara ini bukan saja antara penyokong kuat demokrasi di Asia, malah mempunyai keyakinan paling tinggi bahawa pilihan raya yang dijalankan di Malaysia adalah bebas dan adil.

Kajian itu dijalankan antara Jun hingga Ogos lalu membabitkan 60,000 rakyat di 56 negara Asia. Di Malaysia, kajian yang dilaksanakan secara bersemuka itu bermula dari 2 Julai hingga 5 Ogos lalu membabitkan 1,250 penduduk bandar di Semenanjung.



Dalam jawapan berhubung soalan sama ada pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil, Malaysia mencatat 74 peratus, manakala 69 peratus menyatakan negara ini ditadbir mengikut kemahuan rakyat.

Kedua-dua peratusan itu adalah yang tertinggi dalam senarai 10 negara Asia. Singapura masing-masing mencatat 66 peratus dan 47 peratus, Indonesia (58 peratus dan 37 peratus), Hong Kong (51 peratus dan 57 peratus), India (55 peratus dan 55 peratus), Korea Selatan (55 peratus dan 19 peratus), Jepun (50 peratus dan 29 peratus), Filipina (22 peratus da 42 peratus) dan Pakistan (16 peratus dan 19 peratus).

Thailand pula mencatat 26 peratus berhubung soalan sama ada negara itu ditadbir mengikut kemahuan rakyat, manakala peratusan untuk soalan pertama tidak dinyatakan. Pada peringkat dunia, kedua-dua soalan itu masing-masing mencatat 47 peratus dan 31 peratus.

"Sikap yakin dan percaya kepada ketelusan pilihan raya itu berbeza dengan sentimen yang diluahkan oleh lebih daripada separuh responden dalam wilayah ini, yang tidak menyifatkan proses pilihan raya negara masing-masing sebagai adil," menurut kenyataan bertajuk 'Kaji Selidik: Demokrasi di Asia' yang dikeluarkan TNS, semalam.

TNS yang beribu pejabat di London, adalah kumpulan pembekal maklumat dan pasaran global. Kumpulan itu menjadi pembekal utama penyelidikan dan analisis berkaitan panel pengguna, kepakaran media dan internet serta perkhidmatan mengukur penonton televisyen dan pendengar radio.

Gallup International yang ditubuhkan pada 1947 dan didaftarkan di Zurich pula dianggotai agensi di 65 negara di serata dunia yang menjalankan kaji selidik pendapat dan pasaran di lebih 100 negara.

Menurut kenyataan itu, walaupun sistem demokrasi jelas diterima, kritikan kuat dibuat mengenai keberkesanannya di seluruh rantau dengan purata 53 peratus percaya pilihan raya di negara masing-masing tidak bebas dan adil, manakala 61 peratus berpendapat kerajaan mereka tidak mengikuti kehendak rakyat dalam membuat keputusan.

"Ini jauh berbeza di Malaysia dengan ramai rakyatnya berbanding negara lain di wilayah ini, yang berpendapat pilihan raya mereka adalah sah dan sebagai rakyat, mereka diwakili dengan baik melalui tindakan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, hasil kaji selidik di seluruh Asia mendapati hampir lapan daripada 10 yang ditemui (78 peratus) bersetuju dengan idea bahawa demokrasi mungkin mempunyai masalah, tetapi ia adalah sistem kerajaan yang terbaik.

Bagaimanapun, di Malaysia 85 peratus bersetuju dan lima peratus tidak bersetuju mengenai idea itu.

Kajian itu juga mendapati purata tujuh daripada 10 yang ditemui (73 peratus) mengaku berpuas hati bahawa demokrasi secara keseluruhannya wujud di rantau ini. Di Malaysia, 88 peratus bersetuju manakala enam peratus tidak bersetuju.

Abdul Hamid Ketua Hakim Negara


PUTRAJAYA: Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 1 November lalu bagi menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara wajib pada 31 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam kenyataannya semalam turut mengumumkan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Azmi, sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, berkuat kuasa mulai tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pelantikan Abdul Hamid serta Zaki diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri dan selepas mengadakan rundingan dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.



Abdullah berkata, Mahkamah Persekutuan sedang berurusan dengan Istana Negara untuk menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan kedua-duanya serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia Abdul Hamid sebagai Ketua Hakim Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Hamid, 65, memangku jawatan Ketua Hakim Negara sejak 1 November lalu berikutan persaraan wajib Ahmad Fairuz. Beliau dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada 29 September lalu berikutan kematian Tan Sri Abdul Malek Ahmad, 31 Mei lalu.

Sementara itu, sumber Pejabat Ketua Hakim Negara ketika dihubungi petang semalam, berkata Abdul Hamid dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini, Selasa ini.

"Sempena majlis itu, beliau juga akan menyampaikan ucapan dasar sebagai Ketua Hakim Negara yang baru," katanya.

Mengulas pelantikan Abdul Hamid, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang, menyifatkannya sebagai wajar dan tepat bersesuaian dengan kedudukannya sebagai Pemangku Ketua Hakim Negara.

Sambil menyokong penuh pelantikan itu, beliau berkata, Abdul Hamid mempunyai pengalaman luas dan berkebolehan tinggi dalam bidang perundangan dan kehakiman, sekali gus mampu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

"Kita percaya Perdana Menteri sudah mengambil kira semua aspek apabila membuat keputusan ini. Kami harap Abdul Hamid dapat meningkatkan semula imej badan kehakiman yang banyak disentuh sebelum ini.

"Kita juga harap semua pihak memberi sokongan dan kerjasama kepada Ketua Hakim Negara yang baru bagi melaksanakan tanggungjawabnya agar kepentingan negara dan kebebasan badan kehakiman terus disanjung tinggi," katanya.

Peguam veteran, Karpal Singh, juga menyifatkan pelantikan Abdul Hamid sebagai pilihan terbaik kerana memiliki perwatakan serta kewibawaan yang secocok.

"Beliau hanya ada kira-kira setahun untuk mengembalikan kegemilangan badan kehakiman negara yang dilanda banyak kontroversi sejak kebelakangan ini kerana usianya mencecah 65 tahun sekarang.

"Namun, saya yakin kalau ada sesiapa yang boleh melakukannya, beliau adalah orangnya terutama bagi menyelamatkan badan kehakiman daripada kemelut klip video Datuk V K Lingam yang hebat diperkatakan sekarang," katanya.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, pula mengucapkan tahniah kepada Abdul Hamid dan Zaki, tetapi mengakui terkejut dengan pelantikan Zaki yang baru dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan.

"Namun, kami percaya Zaki mampu menampilkan integriti dan kewibawaan secocok dengan kedudukan beliau," katanya.

Ambiga berkata, badan kehakiman perlu membuktikan ia bebas daripada sebarang tekanan atau berat sebelah kepada mana-mana pihak, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Tuesday, November 20, 2007

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hadapi lima tuduhan rasuah

IPOH 20 Nov. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shafie hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM5,200 yang membabitkan tiga kes berasingan.

Dua daripada pertuduhan itu membabitkan urusan pernikahan, manakala satu lagi bagi tujuan melepaskan ikat jamin satu kes jenayah syariah.

Hassan Basri, 53, yang menjadi hakim syarie pertama didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan rasuah, mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Hassan Basri didakwa meminta wang suapan RM3,000 daripada Mohamad Imran Abdullah sebagai dorongan melepaskan wang ikat jamin kepada Yoong Hor Kit berhubung lima kes jenayah syariah, di Restoran Wawa, Tambun, kira-kira 8.15 malam 15 Ogos lepas.

Dia juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menerima wang suapan itu daripada orang yang sama untuk kes sama dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran BFN 9060 di tempat meletak kenderaan di Taman D.R. Seenivasagam di sini kira-kira 3.25 petang 6 Sept lepas.

Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan meminta wang suapan RM1,100 juga daripada Mohamad Imran bagi membantu Mohamad Asri A Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Wawa, Tambun, kira-kira 8.30 malam 15 Ogos.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima wang suapan itu daripada orang sama untuk kes sama dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran BFN 9060 di tepi Hotel Hillcity di sini kira-kira 6 petang 17 Ogos.

Hassan Basri juga didakwa menerima wang suapan RM1,100 daripada orang sama sebagai dorongan bagi mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Mohd Jefri Afandi Ahmad dan Nur Liza Musa bagi membolehkan kedua-duanya berkahwin tanpa melalui prosedur ditetapkan, dalam kereta bernombor pendaftaran sama di tempat meletak kenderaan Taman D.R. Seenivasagam, kira-kira 3.20 petang 6 Sept.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi tuduhan pertama dan ketiga; dan mengikut Seksyen 11(a) akta sama bagi tuduhan kedua, keempat dan kelima.

Semua pertuduhan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Tan Hooi Leng menetapkan kes itu dibicarakan pada 31 Mac tahun depan.

Beliau turut membenarkan Hassan Basri diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan atau RM20,000 keseluruhannya, manakala pasportnya diserahkan ke mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, manakala peguam S. Theivanthiran dan T. Shan mewakili tertuduh.

Terdahulu, Nordin memohon mahkamah menahan pasport tertuduh kerana pihaknya menerima maklumat tertuduh sering melakukan perjalanan ke Indonesia.

Mahkamah juga diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan.

- Bernama

Friday, September 21, 2007

NASIONAL Isu pelantikan Dr Badariah ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan interpretasi Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahihan pelantikan Dr Badariah Sahamid sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim yang membuat keputusan itu dalam kamarnya, turut membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia supaya saman pemula difailkan Majlis Peguam terhadapnya ditangguh sehingga isu perlembagaan itu diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Julai lalu, Majlis Peguam mengemukakan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pelantikan Badariah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sejak Mac lalu, batal dan tidak sah.

Badan itu mendakwa pelantikan Badariah bertentangan dengan Artikel 122AB dibaca bersama Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman perlu mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai pengamal undang-undang.

Badan itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

Melalui afidavit diikrarkan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan bagi menyokong permohonan itu, beliau mendakwa, Badariah yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman berkuat kuasa 1 Mac lalu, tidak pernah memohon Sijil Amalan atau Sijil Annual yang diwajibkan sebagai peguam cara dan peguam bela.

Beliau berkata, Badariah hanya pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) dan tidak berkhidmat di bawah Jabatan Kehakiman dan Perundangan sebelum pelantikannya.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan supaya isu yang dipertikaikan berhubung interpretasi Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut afidavit Peguam Kanan Persekutuan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan Badariah memenuhi semua kelayakan bagi jawatan itu.

Beliau berkata, Badariah berkelulusan Ijazah Undang-Undang kelas pertama daripada UM pada 1978 dan menerima Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada University of London setahun kemudian. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran pada 2001 juga daripada UM.

ECER lonjak Pantai Timur

Oleh AZNAN BAKAR (WARTAWAN UTUSAN)

WILAYAH Pantai Timur yang meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor masih ketinggalan dari segi ekonomi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Walaupun mempunyai keluasan 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung, tetapi dari segi ekonomi ia jauh ke belakang.

Dengan keluasan yang begitu besar wilayah tersebut mempunyai pelbagai sumber yang berpotensi untuk dimajukan.

Ketiga-tiga negeri terbabit misalnya mempunyai pelbagai tempat yang menarik untuk dimajukan dengan industri pelancongan dan tanah yang cukup luas untuk diusahakan dengan pelbagai aktiviti pertanian.

Tetapi hakikatnya, Terengganu yang kaya dengan hasil minyak misalnya mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Semenanjung dan kedua tertinggi di Malaysia, selepas Sabah diikuti Kelantan.

Pantai Timur juga turut ketinggalan dalam semua bidang berbanding negeri-negeri di Pantai Barat yang menyebabkan sukar untuk ia menarik kemasukan pelabur asing.

Untuk itu pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hujung Oktober ini dijangka dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan kawasan itu supaya seimbang dengan wilayah-wilayah lain.

ECER akan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit supaya lebih tinggi daripada pertumbuhan nasional dalam usaha mewujudkan keseimbangan tersebut.

Seperti yang dijelaskan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican bahawa objektif utama pelan pembangunan ECER adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan di wilayah itu secara berdaya maju, seimbang dan mapan.

Sebab itu perkara utama yang diberi perhatian ialah meningkatkan sistem perhubungan dan kemudahan asas supaya ia bukan sahaja memudahkan penduduk untuk memasarkan hasil keluaran mereka tetapi pada masa yang sama dapat menarik kemasukan pelabur.

Bayangkan, jika Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) siap sepenuhnya, ia bakal menghubungkan bandar-bandar utama dari Kota Bharu hingga ke Johor Bahru dan secara tidak langsung terus ke Singapura.

Ia tidak sekadar memendekkan masa perjalanan tetapi memudahkan urusan pemasaran produk yang dihasilkan.

Pada masa yang sama ia akan memudahkan aliran masuk pelancong ke wilayah terbabit di samping dapat memajukan destinasi-destinasi baru.

Bagi penduduk tempatan pula, hasil industri kampung mereka akan lebih mudah dipasarkan dan dapat diusahakan pada skala lebih besar.

Seperti yang dijelaskan oleh Hassan, kajian mendapati, pada masa ini walaupun penduduk di kawasan terbabit terlibat dengan pelbagai bidang ekonomi, tetapi semuanya diusahakan secara kecil-kecilan dan tidak mampu untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Pada masa yang sama ia akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu mengeluarkan penduduknya dari garis kemiskinan.

Ia juga dapat mengatasi pelbagai masalah sosial yang membabitkan remaja ekoran tekanan hidup akibat peluang ekonomi yang terhad.

Ini selari dengan misi ECER iaitu menggerakkan ekonomi dengan memperbaiki sistem rantaian nilainya, meningkatkan keupayaan bagi mendapatkan pengetahuan dan inovasi, menangani ketidakseimbangan sosio ekonomi yang berterusan, meningkatkan standard dan kualiti kehidupan dan mengukuhkan institusi dan melaksanakan keupayaan.

Dengan mengambil kira keluasan kawasan ECER yang luas termasuk garisan pantai yang panjang dan pulau-pulau yang menarik, teras pembangunan ECER ialah pertanian dan pelancongan.

Manakala sektor lain seperti minyak dan gas, petrokimia dan pembuatan telah dikenal pasti untuk menyegarkan lagi pembangunan di wilayah itu.

Semua ini dijangka mampu menghasilkan 561,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dan dijangka dapat membanteras kemiskinan tegar yang membelenggu wilayah berkenaan.

Dari segi purata pendapatan isi rumah pula ia akan meningkat daripada RM2,267 sebulan sekarang kepada RM5,227 pada 2020.

Pertumbuhan dalam negeri kasar pula (GDP) bagi wilayah itu yang pada masa ini hanya 5.7 peratus akan meningkat kepada 7.2 peratus

Sebab itu strategi pembangunan ECER ialah memperkukuhkan kedudukan ekonominya dengan memajukan sektor sedia ada supaya lebih berdaya maju di samping mencari dan memperkenalkan sumber baru.

Sumber-sumber baru itu termasuk menggalakkan kemasukan Pelaburan Terus Asing (FDI) dalam bidang-bidang berpotensi yang mana akhirnya ia akan membawa kemakmuran di wilayah tersebut.

Apa yang penting, ECER menjanjikan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di ketiga-tiga negeri terbabit dan daerah Mersing di Johor tanpa mengira fahaman dan ideologi politik.

Setiap negeri dan wilayah akan dibangun berdasarkan kelebihan dan kekuatan masing-masing.

Hassan berkata, sebagai perancang utama, Petronas telah berbincang dengan kesemua empat kerajaan negeri, yang termasuk dari Kelantan yang dikuasai pembangkang.

“Jika ada fokus dan komitmen kukuh, tiada sebab kenapa ECER tidak boleh berjaya,” katanya.

Friday, September 7, 2007

BPR tahan Hakim Mahkamah Syariah lepaskan GRO

Oleh Zaini Raban dan Amizul Tunizar Ahmad Termizi

IPOH 6 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan seorang hakim syarie atas dakwaan menerima rasuah untuk ‘menyelesaikan’ satu kes melibatkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang dikendalikannya.

Beliau ditahan oleh sepasukan pegawai BPR di sekitar bandar raya ini kira-kira pukul 3.30 petang selepas didakwa menerima wang berjumlah kira-kira RM4,000.

Menurut sumber, hakim berkenaan sebelum ini dikatakan menerima bayaran itu secara berperingkat-peringkat daripada pihak yang menghadapi dakwaan tersebut.

‘‘Beliau dipercayai telah menerima beberapa bayaran daripada pihak terbabit tetapi jumlah keseluruhan wang itu belum diketahui.

‘‘Berdasarkan maklumat, BPR juga yakin beliau telah lama melakukan ‘kerja’ (rasuah) ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, hakim berkenaan kini disoal siasat oleh pegawai penyiasat BPR.

Jelas beliau, jika proses itu tidak selesai, pihak BPR berkemungkinan besar akan memohon perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret, esok.

Katanya, ini kerana hakim berkenaan juga disyaki terlibat dengan beberapa kes rasuah lain.

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan penahanan hakim syarie itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Betulkan integriti diri -- Rakyat perlu tanam tekad agar setiap rancangan bawa kebaikan

PUTRAJAYA 6 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat agar menanam tekad untuk membetulkan integriti diri masing-masing supaya setiap yang dirancang akan membawa kebaikan.

Menurut Perdana Menteri, ini termasuk melakukan muhasabah diri dengan bertanyakan soalan mengenai apa yang betul dan apa yang salah dalam setiap perkara yang dilakukan.

‘‘Dulu saya bercakap mengenai sistem penyampaian awam, berkaitan rasuah, disiplin dan peraturan. Banyak kali dah cakap, jadi hari ini saya ingin cakap pasal diri.

‘‘Yang bantah dan yang menyeleweng semuanya berpunca dari diri kita sendiri, sedangkan peraturan yang banyak itu adalah untuk memperkuat dan memperbetulkan manusia, semua itu termasuk pindaan undang-undang dan peraturan adalah untuk menjadikan kita orang baik,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Integriti 2007 di sini hari ini.

Pada majlis itu, perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara IIM dengan MIMOS Bhd., Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri turut mengajak seluruh lapisan masyarakat menjadikan diri masing-masing sebagai ‘manusia terbaik’ dengan melakukan perkara yang baik kerana perbuatan itu akan menentukan masa depan mereka.

‘‘Biasanya kalau kita buat kerja baik, yang lain tidak berani buat salah, tolong ingat mengenainya kerana kepimpinan perlu menunjukkan contoh.

‘‘Saya laksanakan kepimpinan melalui teladan. Kita perlu ingati diri kita kerana kita menjadi pemimpin dalam keluarga, pekerjaan serta persatuan dan yang penting kita semua perlu pimpin diri sendiri,” jelasnya.

Mengenai integriti, Perdana Menteri memberitahu, ia mesti dimulakan dari rumah dengan anak-anak diajar mengenai disiplin, amanah, kasih sayang, tidak berbohong, tolong-menolong dan nilai-nilai lain yang boleh membina sahsiah diri.

Menurut Abdullah, jika didikan sedemikian diberi secara bersungguh-sungguh oleh ibu bapa, anak-anak akan menjadi insan yang baik.

Ibu bapa menurut beliau, perlu menjadi contoh terbaik dan tidak menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

‘‘Tunjukkan kepada anak-anak, keluarga terdekat dan rakan-rakan pejabat bahawa cara kita itu mempunyai keluhuran dan ciri-ciri yang baik, ada pekerti yang luhur dan mulia,’’ jelasnya.

Dalam masa sama juga, kata Perdana Menteri, aspek pembangunan modal insan perlu disemai dalam diri dan ia tidak hanya tertumpu kepada ilmu pengetahuan kerana pandai sahaja belum tentu akan menjadi manusia yang baik budi pekertinya.

‘‘Kita mesti memahami bahawa pembangunan modal insan adalah satu program pembangunan integriti yang penting kerana ia adalah asas kepada pembangunan peribadi yang mulia,” katanya.

Thursday, September 6, 2007

Kes hakim tidak tulis penghakiman dilapor kepada PM

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 5 Sept. – Laporan siasatan kes Hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak menulis alasan penghakiman telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, beliau telah menyiasat dakwaan itu dan satu laporan mengenainya disediakan.

“Laporan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan hakim-hakim baru di Palace of Justice di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang menamakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff sebagai hakim yang masih belum menulis 35 alasan penghakiman.

Pada sidang Dewan Rakyat 27 Ogos lalu, Karpal Singh menyatakan Hakim Hashim masih belum menulis 35 penghakiman itu dan menggesa Ketua Hakim Negara menyiasat perkara berkenaan.

Karpal mendakwa, empat daripada 35 kes itu membabitkan tertuduh yang dijatuhkan hukuman mati tujuh tahun lalu.

Karpal Singh membangkitkan perkara itu setelah Ketua Hakim Negara menafikan beliau menaikkan pangkat hakim yang tidak menulis penghakimannya, malah Ahmad Fairuz meminta pihak yang menimbulkan isu itu menunjukkan bukti kepadanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri yang ditanya mengenai dakwaan Karpal itu mengarahkan Ketua Hakim Negara menyiasatnya.

Ahmad Fairuz bagaimanapun enggan menjelaskan kandungan laporan yang dihantar kepada Abdullah.

Beliau berkata, hakim yang dibuktikan tidak menjalankan tugas dengan sempurna termasuk tidak menulis alasan penghakiman sehingga menyebabkan tertuduh meringkuk di penjara untuk tempoh yang panjang boleh dikenakan tindakan dipecat daripada jawatan.

Beliau berjanji akan melihat peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara dalam memutuskan tindakan terhadap hakim-hakim yang tidak membuat penghakiman bertulis.

Menurut Ahmad Fairuz, jika undang-undang dan Perlembagaan membenarkan hakim dipecat, beliau akan melaksanakan tindakan itu.

“Kami sebagai hakim bertindak atas fakta dan bukti. Jika keadaan membenarkan pemecatan hakim, kami akan melakukannya,” kata beliau.

Beberapa pihak sebelum ini membangkitkan isu kegagalan hakim menulis kira-kira 100 penghakiman kes jenayah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Rayuan serta 1,000 kes jenayah di peringkat Mahkamah Majistret dan Sesyen.

Persidangan APICC 2007: Selat Melaka topik utama


Kaedah terbaik dicari tingkat keselamatan perairan daripada ancaman pengganas


KUALA LUMPUR: Keselamatan Selat Melaka, antara laluan perkapalan utama dunia dijangka menjadi antara topik perbincangan sepanjang empat hari Persidangan Ketua Perisikan Pertahanan Asia Pasifik (APICC) 2007, bermula semalam.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata isu itu dijangka menjadi tumpuan berikutan kawasan perairan berkenaan didakwa terdedah kepada ancaman pengganas dan serangan lanun.

“Kajian mendapati 30 peratus daripada aktiviti perdagangan global, selain 50 peratus sumber tenaga dunia dieksport melalui Selat Melaka setiap tahun. Malah, 34 peratus daripada hasil pengeluaran dunia dijangka diperoleh dari rantau ini menjelang 2010.

“Ia sekali gus menarik perhatian kumpulan pengganas, termasuk lanun untuk mengambil kesempatan dan keadaan ini dikhuatiri boleh menyebabkan perairan itu tidak selamat digunakan jika langkah menanganinya tidak diambil segera,” katanya.

Justeru, APICC 2007 akan mencari pendekatan terbaik dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan kawasan perairan itu melalui perkongsian maklumat perisikan pertahanan, selain pengalaman dan kepakaran negara peserta.

“Tugas menjaga keselamatan Selat Melaka tidak seharusnya diserahkan kepada Malaysia semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama semua negara peserta persidangan, yang turut menggunakan perairan itu sebagai laluan perdagangan.

“Program kerjasama ini juga tidak sepatutnya bertumpu kepada Selat Melaka semata-mata, malah semua perairan lain di rantau ini, termasuk Laut China Selatan yang turut digunakan sebagai laluan perdagangan,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia menyambut baik penubuhan Pusat Menangani Aktiviti Pengganas Asia Tenggara (SEARCCT) sejak empat tahun lalu dalam usaha menangani ancaman pengganas pada peringkat serantau.

Malah, Abdul Aziz berharap penubuhan pusat itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani isu keselamatan serantau.

“Kita memerlukan aspek penyelarasan lebih baik dalam menangani masalah pengganas dan serangan lanun. Ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan pusat ini dengan bertukar maklumat perisikan pertahanan, pengalaman dan kepakaran di kalangan negara serantau,” katanya.

Ahmad Fairuz serah laporan kepada PM



Oleh Shamshul Azree Samshir


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sudah menyerahkan laporan hasil siasatan dakwaan hakim tidak membuat penghakiman bertulis bagi 35 kes kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahmad Fairuz berkata, Perdana Menteri sudah dimaklumkan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff yang didakwa tidak membuat penghakiman bertulis termasuk empat yang dijatuhi hukuman mati tujuh tahun lalu dan pesalah masih berada di penjara.

"Saya sudah tulis kepada Perdana Menteri...sudah bagi laporan kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Kompleks Keadilan (POJ) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Fairuz enggan memperincikan laporan siasatan berkenaan.

Pada majlis itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Alauddin Mohd Sheriff masing-masing mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya yang baru.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas Tan Sri Abdul Malek Ahmad meninggal dunia pada 31 Mei lalu akibat barah otak, manakala Hakim Besar Malaya disandang Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sejak persaraan Tan Sri Siti Norma Yaakob pada 5 Januari lalu.

Dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan mengangkat sumpah iaitu Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Zaki Azmi, manakala 10 yang lain mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah, Datuk Mohd Safian Abd Razak, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Abdul Alim Abdullah, Datuk Ghazali Cha, John Louis O’Hara, Rosnaini Saub, Lim Yee Lan, Suraya Othman, Datuk Abd Rahim Uda dan Noor Azian Shaari.

Ahmad Fairuz berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau sudah memberi penjelasan kepada Perdana Menteri seperti diminta Abdullah.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kegagalan hakim berbuat demikian amat mendukacitakan kerana ia penting untuk mereka yang terbabit dalam perbicaraan.

Ahmad Fairuz juga berkata, beliau akan menyemak bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap hakim yang tidak membuat penghakiman bertulis mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Ditanya kemungkinan hakim dipecat kerana kesalahan itu, beliau berkata: "Jika keadaan membenarkan, kita kena pecat. Kami hakim membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti."

Mengenai dakwaan sama membabitkan kegagalan hakim membuat penghakiman bertulis 100 kes di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta 1,500 lagi di mahkamah rendah iaitu Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen, Ahmad Fairuz berkata beliau akan menyiasat dakwaan itu.

Tuesday, September 4, 2007

Mahkamah arah pasangan sama jantina dipisahkan

Mohd Sofian 'bernikah' lima tahun lalu disahkan perempuan sejati

MELAKA: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan status pernikahan pasangan sama jantina, Mohd Sofian dan Zaiton Aziz yang ‘dinikahkan’ lima tahun lalu tidak sah dan bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim Che Saufi Che Husin memerintahkan kedua-duanya difarakkan atau dipisahkan sebagai pasangan suami isteri berikutan Mohd Sofian atau nama dalam surat beranaknya, Mazinah bte Mohamad, 40, sebenarnya perempuan sejati dan Islam melarang sesiapa menukar jantina kerana hanya sebab minat, kecenderungan atau ingin menjadi lelaki atau perempuan atau sebaliknya.

Selain itu, Che Saufi memerintahkan Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar nama dan status jantina Mohd Sofian kepada nama dan status jantina asal seperti yang tercatat dalam sijil kelahirannya.

Mahkamah mensabitkan bahawa pernikahan Mohd Sofian dan Zaiton Aziz, 43, pada 27 Disember 2002 tidak sah, selain tidak menepati hukum syarak, manakala segala urusan atau kos ditanggung pihak masing-masing.

Namun, jika mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.

Che Saufi berkata pengakuan Mohd Sofian dirinya bertukar sebagai lelaki hanya dakwaan yang meragukan dan mengelirukan, selain gagal membuktikan atau meyakinkan mahkamah dirinya lelaki.

Sementara itu, Che Saufi berkata, ketika responden pertama memberi keterangan dalam kamar yang dihadiri hakim bicara, peguam responden dan plaintif sebelum ini, Zaiton menyatakan bahawa sebagai isteri, beliau tidak pernah menyentuh atau melihat alat kelamin responden pertama yang dianggapnya sebagai lelaki, tetapi cuma menyatakan seronok dan puas ketika bersama.

"Ini adalah perkara yang menakjubkan dan mustahil pada akal manusia normal untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Pada pandangan mahkamah, pengakuan responden pertama adalah pengakuan ataupun ikrar yang serius. Dengan ini kedua-dua responden gagal membuktikan kepada mahkamah bahawa responden pertama 'khunsa' walaupun dihujahkan peguam belanya, Zulfikri Zakaria.

"Responden juga tidak membuktikan kepada mahkamah dia mempunyai unsur-unsur alat kelamin lelaki," katanya.

Pasangan itu sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 11 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 yang jika sabit kesalahan, pernikahan boleh dibatalkan dan diarah berpisah.

Mohd Sofian dan Zaiton dikatakan dinikahkan secara sah oleh Imam Satu Masjid Bukit Cina, Ishak Juki, selepas pengantin pengantin lelaki mendapat pengesahan sidang kampung.

Saturday, September 1, 2007

Tanggungjawab UDA majukan bumiputera

Oleh: LATIFAH OSMAN

SELEPAS 14 tahun negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mula memberi perhatian terhadap usaha menaikkan taraf ekonomi orang Melayu. Selain menyusun semula struktur ekonomi bumiputera, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menubuhkan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada 12 November 1971.

Penubuhan UDA tidak lain tidak bukan bertujuan membangunkan ekonomi orang Melayu di kawasan bandar. Ia sejajar dengan matlamat utama penubuhan UDA iaitu untuk menyusun semula masyarakat Melayu melalui aktiviti pembangunan bandar, supaya tidak terus terpinggir. UDA berperanan memenuhi agenda meningkatkan kedudukan orang Melayu di bandar-bandar sebagaimana yang diamanahkan di bawah Akta Pembangunan Bandar 1971.

Tugas UDA bermula pada tahun 1974 apabila menerusi projek pembangunan bandar baru Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) iaitu sebaik sahaja selepas Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan.

TTDI bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah kawasan perumahan, malah menjadi tempat bersosial rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang tinggal di bawah satu bumbung.

Selepas 10 tahun, UDA melebarkan fokusnya dengan mengenal pasti sebuah kawasan penting di pusat bandar yang tidak dimanfaatkan secara maksimum.

Kesungguhan UDA itu mengilhamkan konsep pembaharuan semula bandar dengan terbinanya dua menara pejabat, pejabat pos besar dan tempat letak kereta bertingkat.

Di tapak yang dulunya dikenali sebagai North Goodsyard Keretapi Tanah Melayu pada zaman 1970-an, UDA telah membina mercu tanda baru iaitu, Menara Dayabumi.

Bangunan setinggi 33 tingkat yang mempunyai blok podium itu menempatkan ruang niaga dengan keluasan melebihi 65,000 meter persegi. Ia merupakan sebuah bangunan tercanggih dan termahal pernah dibina pada ketika itu yang berkonsepkan seni bina moden Islam.

Sejajar dengan arus perubahan negara, UDA telah dikorporatkan pada 1 September 1996 dan dikenali sebagai UDA Holdings Sendirian Berhad.

Ia kemudian disenaraikan sebagai syarikat awam di Bursa Kuala Lumpur sebagai UDA Holdings Berhad pada 18 November 1999 dan berada di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain perintis kepada beberapa bandar baru, UDA juga turut menyediakan projek-projek perumahan dan pusat komersial yang berprestij dan eksklusif di kawasan Lembah Klang seperti Angkasa Impian II Servis Kondominium dan juga projek kondominium Sinaran TTDI, yang terbaru di lokasi elit Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur yang mana setakat ini telah berjaya mencatat jualan unit sehingga 80 peratus.

Di antara projek perumahan servis lain yang akan dibangunkan ialah di Jalan Maa‘rof, Bangsar dan Jalan Sultan Ismail. Di antara pusat komersial berprestij yang dalam perancangan untuk dibina adalah ruang niaga butik dan bangunan pejabat gred A di Jalan Sultan Ismail dan pusat perniagaan lima tingkat di Jalan Pantai Baru.

Bagi projek pusat komersial pula sambutan hangat pembeli bumiputera terhadap lot kedai pejabat di Pusat Bandar Baru Tampoi, Johor membuktikan pilihan pembeli yang berkeyakinan penuh terhadap projek UDA yang sinonim dengan imej dan kualiti binaan.

Ternyata bahawa UDA telah berjaya menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu usahawan bumiputera dengan menyediakan bandar-bandar baru, ruang niaga dan pusat-pusat perniagaan yang strategik dan aktiviti ini ternyata berjaya membantu mengembangkan ekonomi Melayu di bandar.

UDA tidak sekadar berkecimpung dalam proses menyediakan premis perniagaan dan kediaman, sebaliknya usahawan bumiputera diberi peluang memasarkan produk-produk keluaran mereka di premis-premis perniagaan UDA.

Manakala bagi syarikat profesional dan pemborong bumiputera, mereka juga diberi peluang memberi khidmat rundingan dan membantu dalam melaksanakan pembinaan projek-projek hartanah UDA. Program ‘Vendor’ yang dilaksanakan oleh UDA telah membuka peluang kepada para usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri bekalan bahan binaan, peralatan sistem keselamatan rumah, pejabat, taman permainan serta landskap untuk membekalkan barang-barang bagi projek-projek yang dimajukan oleh UDA.

Pengarah Urusan, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, sepanjang penglibatan UDA dalam sektor hartanah, ia telah berjaya memajukan sebanyak 18 bidang tanah hak milik bumiputera di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

“UDA juga adalah salah satu pemilik utama kompleks-kompleks perniagaan di negara ini. Peranan UDA terserlah melalui aktiviti pembangunan kompleks perniagaan dan juga bandar-bandar baru. Sehingga kini UDA memiliki 11 kompleks perniagaan,’’ katanya.

Beliau menambah, pembangunan bandar-bandar baru UDA seperti Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Bandar UDA Utama dan Pusat Bandar Tampoi di Johor Bahru, dan Taman Pauh Jaya di Pulau Pinang telah dapat membuka banyak peluang pekerjaan baru dan premis perniagaan serta perkhidmatan kepada rakyat dan masyarakat setempat.

Beliau turut menyentuh mengenai Inap Desa iaitu projek terbaru UDA dalam industri pelancongan. Menerusi program tersebut UDA telah menjalinkan hubungan perniagaan dengan 28 buah homestay bagi memberi peluang kepada para usahawan pelancongan untuk memperkenalkan produk-produk unik mereka kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Dari aspek tanggungjawab sosial pula, kata Jaafar, UDA telah mengadakan perjanjian kerjasama dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dalam usaha membangunkan tanah wakaf milik MAIPP.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan premis-premis perniagaan dan beberapa unit rumah untuk dimanfaatkan kegunaannya bagi masyarakat Islam. Menurut Jaafar, ia secara tidak langsung dapat membantu orang Melayu yang kurang berkemampuan memiliki aset sendiri dengan membeli unit rumah atau premis perniagaan dengan harga yang lebih rendah. UDA bukan sahaja boleh dilihat sebagai syarikat pemaju hartanah, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pembangunan usahawan bumiputera sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang berjaya dan merdeka.

Thursday, August 30, 2007

Hamid, Alauddin isi jawatan kehakiman

KUALA LUMPUR:29 Ogos 2007 - Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Alauddin Mohd Sheriff masing-masing dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya yang baru.

Pelantikan kedua-dua hakim itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas Tan Sri Abdul Malek Ahmad meninggal dunia pada 31 Mei lalu akibat barah otak, manakala jawatan Hakim Besar Malaya disandang Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sejak persaraan Tan Sri Siti Norma Yaakob pada 5 Januari lalu.

Dalam kenyataannya semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata tarikh berkuat kuasa pelantikan akan ditentukan kelak selepas Mahkamah Persekutuan berurusan dengan Istana Negara berhubung tarikh kuat kuasa pelantikan dan penyampaian watikah.

Pelantikan kedua-dua jawatan hakim itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Hamid, yang dilahirkan di Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang pada 26 Julai 1944, berkelulusan ijazah undang-undang dari University of Singapore pada 1969.

Beliau menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang pada Jun 1969 sebagai seorang majistret di Kangar, Perlis.

Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan itu termasuk sebagai Presiden Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru, Selangor, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman Kedah/Perlis, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Penasihat Undang-undang bagi Kelantan dan Perak.

Pada 5 Mac 1992, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan lapan tahun kemudian sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 24 Julai 2003.

Sebagai penghargaan kepada jasa dan perkhidmatannya, Abdul Hamid dianugerahkan beberapa bintang dan darjah kebesaran, termasuk Dato’ Paduka Cura SiManja Kini (DPCM) oleh kerajaan Perak dan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) oleh kerajaan Pulau Pinang.

Sementara itu, Alauddin yang dilahirkan di Kulim, Kedah pada 7 Ogos 1946, berkelulusan undang-undang dari Inner-Temple, London pada 1970 dan menyertai perkhidmatan kehakiman dan undang-undang sebagai majistret di Bukit Mertajam pada 1 Februari 1971.

Sejak itu, beliau pernah menyandang jawatan Presiden Mahkamah Sesyen Seremban pada 1980 dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor pada 1981 hingga 1987.

Alauddin pernah menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat di Jabatan Perdana Menteri pada 1989 dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Pada Ogos 1992, beliau dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kangar dan Alor Star.

Pada April 2001, Alauddin yang pernah menjadi seorang peguam di London selepas tamat pengajiannya di Inner-Temple, dilantik Hakim Mahkamah Rayuan dan empat tahun kemudian, sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Dato’ Setia DiRaja Kedah (DSDK). – Bernama

Wednesday, August 29, 2007

Malaysia yakin selesai isu rundingan FTA

MALAYSIA yakin dapat menyelesaikan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) selepas kedua-dua negara mengambil langkah pragmatik bagi menyelesaikan segala isu tertangguh.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata beliau yakin segala isu berkaitan perjanjian berkenaan akan dapat diselesaikan, walaupun tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini, sudah berakhir.


“Kita tidak mahu mempolitikkan perjanjian FTA, ia akan menyebabkan segala perkara yang dirundingkan sebelum ini, menemui jalan buntu, sedangkan rundingan berada dalam keadaan terbaik sebelum dimuktamadkan,” katanya di Singapura semalam.

Rafidah berkata demikian pada sesi soal jawab pada ‘Seminar Peluang Perniagaan Di Malaysia’ anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Singapura, Lim Hng Kiang; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk N Parameswaran dan Pengerusi SBF, Stephen Lee.

Rundingan FTA Malaysia dan AS bermula sejak Mac tahun lalu, dengan beberapa siri rundingan berlangsung di negara ini atau AS, tetapi masih gagal mendapat persetujuan kedua-dua negara walaupun selepas lebih setahun ia diadakan.


Rafidah berkata, rundingan FTA dengan AS kini diadakan mengikut keselesaan kedua-dua negara dengan tiada sebarang had masa ditetapkan, selepas rang undang-undang Lembaga Promosi Perdagangan (TPA) diluluskan Kongres AS.

PM mahu Ketua Hakim Negara beri penjelasan


PM mahu Ketua Hakim Negara beri penjelasan
Oleh Azman Zakaria dan Azis Ngah


Dakwaan tiada penghakiman bertulis jejas kredibiliti perbicaraan


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memberi penjelasan berhubung laporan ada hakim tidak membuat penghakiman bertulis dalam kes yang mereka kendalikan.

Perdana Menteri berkata, kegagalan hakim berbuat demikian amat mendukacitakan kerana ia adalah penting untuk mereka yang terbabit dalam sesuatu perbicaraan.


“(Jika benar) 35 kes tidak ada penghakiman bertulis oleh hakim yang berkenaan, ia perkara perlu diberi penjelasan oleh Ketua Hakim Negara.

“Ketua Hakim Negara kena bagi tahu dan jawab. Saya pernah dengar daripada Ketua Hakim Negara tidak ada mana-mana hakim tidak tulis kes,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, di Menara Datuk Onn, di sini semalam.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Pengerusi DAP, Karpal Singh menamakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff tidak membuat penghakiman bertulis bagi 35 kes, termasuk empat yang dijatuhi hukum mati tujuh tahun lalu dan pesalah masih berada di penjara.

Abdullah juga berkata, Majlis Raja-Raja tidak pernah membantah senarai calon Hakim Besar Malaya yang dikemukakan kerajaan bagi mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan Tan Sri Norma Yaakob pada 5 Januari lalu.

Katanya, nama Ketua Hakim Besar Malaya akan diumumkan selepas melalui proses memaklumkannya kepada Majlis Raja-Raja.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, kerajaan akan bertindak terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif sehingga mewujudkan ketegangan kaum.

Katanya, golongan yang masih membangkitkan isu sensitif meskipun negara sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan tidak memikirkan kebaikan, perpaduan dan sensitiviti kaum.

“Asal (membangkitkan isu) jangan memporak-perandakan rakyat dan negara sudahlah atau kerajaan akan bertindak terhadap mereka,” katanya.

Beliau juga menafikan desas-desus kononnya berlaku rusuhan kaum di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini dengan mengatakan dakwaan itu sebagai satu lagi percubaan pihak tidak bertanggungjawab mencetuskan suasana tegang antara kaum.

“Mengarut... ini satu lagi percubaan orang seperti itu yang nak timbulkan macam-macam suasana, nak timbulkan perkara yang boleh buatkan rakyat rasa marah dan berlaku ketegangan.

“Mereka tak berjaya, mereka buat pula cerita ada pergaduhan kaum di Johor. Ini semua pembohongan bagi manusia yang tidak ada kerja lain, hanya bohong, bohong dan bohong.

“Ada yang buat fitnah, sikit atau lebih. Bagi orang Melayu ini adalah dosa paling besar. Allah laknat mereka, tetapi mereka tidak kisah dan mereka nak buat juga,” katanya.

Beliau juga berkata, mesyuarat MT tidak membincangkan isu Wee Meng Chee atau Namewee yang menghasilkan klip video Negarakuku yang mencemarkan lagu kebangsaan, Negaraku tidak menghormati kerajaan serta menyentuh sensitiviti masyarakat melalui klip video yang disiarkan di laman YouTube.

Ditanya bahawa 90 peratus daripada pelajar Cina memilih memasuki Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), beliau mempersoalkan adakah hampir semua pelajar Cina memasuki SRJKC yang jumlah sekolahnya adalah 1,400 buah.

“Mungkin jika 90 peratus belajar di SRJKC itu Cina adalah betul,” katanya sambil menambah MT bersetuju supaya sektor swasta tidak mengenakan syarat wajib bahasa Mandarin bagi pengambilan kakitangan.

Sementara itu, MT Umno semalam memutuskan Perhimpunan Agung Umno tahun ini diadakan pada 5 hingga 9 November, sehari lebih awal daripada tarikh asal bagi mengelakkan pertindihan dengan Deepavali.

Mengikut jadual asal, perhimpunan lima hari itu bermula 6 November dan perasmian pada 8 November tetapi majlis perasmian dipinda kepada 7 November.

Abdullah berkata, MT sebulat suara bersetuju meminda tarikh berkenaan.

Beliau berkata, MT juga dimaklumkan mengenai persiapan sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka yang membabitkan Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Taklimat disampaikan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mengulas sikap orang ramai yang dikatakan kurang mengibarkan bendera, Abdullah meminta rakyat tidak terlalu berkira soal perbelanjaan untuk memasang bendera berbanding nilai sambutan perayaan itu.

“Jangan berkira sangat. Jika nak rayakan sambutan kemerdekaan, apalah sangat bendera harga RM2 tu... ini adalah suatu yang sangat penting bagi kita. Jika tak dapat bendera percuma, belilah,” katanya.

Permohonan defendan batal tuntutan Tajudin Ramli ditolak

Permohonan defendan batal tuntutan Tajudin Ramli ditolak
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Permohonan empat daripada 24 defendan untuk membatalkan tuntutan balas tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli terhadap mereka bagi menuntut ganti rugi RM13.46 bilion, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Penolong Kanan Pendaftar, Iris anak Awen Jon memutuskan demikian dengan kos di kamar beliau hari ini.

Empat defendan berkenaan ialah Telekom Malaysia Berhad, Telekom Enterprise Sdn. Bhd., Technology Resources Industries Berhad dan Celcom (Malaysia) Berhad.

Selain empat defendan tersebut, baki 20 defendan yang dinamakan oleh Tajudin dalam tuntutan balasnya telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan.

Permohonan oleh defendan-defendan lain masih lagi di peringkat pendengaran oleh Iris.

Dalam tuntutan balas itu, Tajudin menuntut RM6.25 bilion daripada Telekom dan 12 defendan yang lain berhubung penjualan saham TRI oleh Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. (Danaharta).

Beliau turut menuntut ganti rugi RM7.2 bilion daripada kesemua 24 defendan terbabit.

Saman itu merupakan tuntutan balas Tajudin terhadap saman yang diterimanya daripada Danaharta dan dua anak syarikatnya, Danaharta Urus Sdn. Bhd. serta Danaharta Managers Sdn. Bhd. bagi menuntut hutang berjumlah RM589 juta.

Danaharta menyaman Tajudin bagi bayaran baki pinjaman RM1.79 bilion yang diberikan kepada tokoh tersebut pada tahun 1994 untuk membiayai pembelian 32 peratus ekuiti dalam Sistem Penerbangan Malaysia Bhd. (MAS).

Menurut Danaharta, pegangan itu dijual balik kepada kerajaan bagi RM1.8 bilion pada tahun 2000.

Badan Peguam Malaysia kemuka saman pelantikan Dr. Badariah

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Badan Peguam Malaysia telah mengemukakan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pelantikan pensyarah Dr. Badariah Sahamaid sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi sejak Mac lalu adalah batal dan tidak sah.

Saman itu dikemukakan dengan alasan pelantikan Badariah tersebut adalah bertentangan dengan Artikel 122AB yang dibaca bersama Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang peguam bela telah menjalankan amalan selama 10 tahun sebelum boleh dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Badan tersebut selaku plaintif menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 27 Julai lalu.

Permohonan tersebut akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim pada 18 September ini.

Dalam afidavit yang diikarkan oleh Presidennya, Ambiga Sreenevasan, 51, bagi menyokong permohonan itu, beliau mendakwa, badan tersebut tidak berniat untuk merendah-rendahkan Badariah mahupun mempertikaikan keupayaan intelektual, pembawaan kehakiman ataupun kesesuaian pelantikannya.

Dakwanya, satu-satunya motif tindakan saman itu diambil adalah kerana pelantikan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, semakan yang dibuat terhadap Badariah yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman berkuat kuasa 1 Mac lalu, mendapati bahawa beliau tidak pernah memohon Sijil Amalan atau Sijil Annual yang diwajibkan sebagai Peguam cara dan Peguam bela.

Semasa pelantikannya, Ambiga berkata, Badariah hanya merupakan Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) dan tidak berkhidmat di bawah Jabatan Kehakiman dan Perundangan.

Menurutnya, di bawah perlembagaan tersebut, seseorang itu dikehendaki menjadi pengamal undang-undang selama 10 tahun sebelum dilantik ke jawatan tersebut.

‘‘Saya percaya Badariah tidak menjalankan amalan sebagai peguam bela selama 10 tahun sebelum pelantikan tersebut,’’ ujar Ambiga.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan Malaysia telah mengemukakan permohonan supaya isu yang dipertikaikan berhubung interpretasi Artikel 122AB dan Artikel 123 perlembagaan itu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk penentuan.

Sehubungan itu juga, kerajaan Malaysia turut mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman tersebut sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Dalam afidavit Peguam Kanan Persekutuan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan, Badariah memenuhi kelayakan pelantikan tersebut.

Menurutnya, Badariah berkelulusan Ijazah Undang-Undang kelas pertama kepujian dari UM pada tahun 1978 dan menerima Ijazah Sarjana Undang-undang setahun kemudiannya dari University of London. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran pada tahun 2001 dari UM.

Badariah telah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Undang-undang UM sejak tahun 1980 dan dilantik sebagai profesor pada tahun 1996, menurut Tun Abdul Majid.

Tambahnya lagi, Badariah telah memulakan latihan dalam kamar dengan firma guaman Tetuan P.L Tan & Mah pada 24 Februari 1987 dan pada 29 September 1987 beliau telah diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Calon Hakim Besar Malaya diserah kepada Tuanku Mizan

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Nama calon Hakim Besar Malaya yang baru telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Perdana Menteri, penyerahan nama itu adalah satu proses biasa dalam pelantikan seseorang hakim iaitu nama calon dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

‘‘Proses kedua ialah nama calon Hakim Besar Malaya itu dimaklumkan kepada raja-raja Melayu untuk mendapatkan pandangan dan perkenan.

‘‘Proses pelantikan hakim ini panjang dan ia akan diumumkan selepas segala proses yang harus dilaksanakan selesai,’’ tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Abdullah menafikan Majlis Raja-Raja menolak calon Hakim Besar Malaya yang dikemukakan oleh kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, adalah menjadi satu perkara biasa kepada raja-raja Melayu untuk memberi pandangan terhadap calon yang dikemukakan oleh kerajaan.

Jawatan Hakim Besar Malaya kosong selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob bersara pada 5 Januari lalu. Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim kini memangku jawatan tersebut.

Sementara itu, Abdullah meminta Ahmad Fairuz memberi penjelasan kepada kerajaan mengapa terdapat hakim yang gagal membuat penghakiman bertulis selepas selesai sesuatu kes di mahkamah.

Friday, August 24, 2007

ASEAN: Banyak kejayaan di bawah Malaysia - Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-39

MANILA 24 Ogos – Banyak kemajuan telah dicapai oleh ASEAN dalam bidang perdagangan ketika Malaysia menjadi Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM)pada tahun lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, antara pencapaian itu ialah melengkapkan pelan pelaksanaan inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) selain kejayaan mengadakan rundingan dengan rakan-rakan dagangannya seperti Jepun, China dan Korea Selatan dalam usaha meningkatkan perdagangan di rantau ini.

“Semasa menjadi Pengerusi, kita telah membawa integrasi ekonomi beberapa langkah ke hadapan dan kita telah memulakan AEC,’’ katanya kepada pemberita di sini selepas majlis perasmian AEM ke-39 oleh Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina, Peter B. Favila, di sini hari ini.

Selepas majlis perasmian itu, Rafidah menyerahkan jawatan Pengerusi AEM kepada Favila.

Favila semasa merasmikan AEM ke-39 berkata, ASEAN akan sentiasa mengingati sumbangan Rafidah dalam tempoh yang panjang atas kecemerlangan pelan tindakan AEC, yang akan mewujudkan rantau ini sebagai kawasan perdagangan bebas di kalangan anggotanya pada tahun 2015.

Rafidah semasa berucap pula mengingatkan negara-negara ASEAN supaya memastikan segala perjanjian yang akan dimeterai dan dimuktamadkan perlu bebas daripada sebarang halangan dan kerenah birokrasi dalam usaha mewujudkan kawasan perdagangan bebas serantau.

Tambah beliau, intergrasi ekonomi ASEAN dipantau dengan penuh minat oleh banyak negara dan mereka kini mula melihat kepada potensi dan manfaat yang akan diperolehi daripada ASEAN.

Jelasnya, dengan bilangan penduduk seramai 567 juta orang dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$1.07 trilion (RM3.74 trilion), ASEAN sedang mengubah pasarannya dengan menawarkan potensi besar untuk pelbagai produk dan perkhidmatan.

– Utusan

Malaysia-Jepun sepakat PBB perlu dirombak

PUTRAJAYA 24 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe sepakat bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutama Majlis Keselamatannya perlu segera dirombak.

Abdullah turut mengulangi sokongan Malaysia terhadap hasrat Negara Matahari Terbit itu untuk menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Kedua-dua pemimpin itu berkata demikian dalam pernyataan bersama sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun, yang ditandatangani hari ini pada hari kedua lawatan rasmi Abe ke Malaysia.

Di bawah perkara kerjasama di arena antarabangsa, pernyataan itu menyebut, kedua-dua pemimpin bersepakat mahu Korea Utara menghentikan program nuklearnya.

‘‘Abdullah mengesahkan sokongan kuat Malaysia terhadap pelaksanaan Pernyataan Bersama yang dikeluarkan oleh Perundingan Enam Pihak membabitkan isu nuklear itu,

‘‘Kedua-dua pemimpin itu juga menekankan tentang kepentingan melaksanakan Resolusi 1695 dan 1718 PBB,” kata pernyataan itu.

Abdullah dan Abe juga menyeru Korea Utara supaya akur kepada kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung soal keselamatan dan kemanusiaan, khususnya dalam isu penculikan.

Mengenai Afrika, kedua-dua pemimpin sependapat bahawa pengalaman Asia perlu dikongsi untuk membangunkan benua itu.

Dalam hal ini, Jepun akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Tokyo Mengenai Pembangunan Afrika Keempat (TICAD IV) pada Mei 2008 bertujuan menggembleng kepakaran dan dana antarabangsa bagi membantu meningkatkan ekonomi Afrika selain membincangkan isu keselamatan manusia dan alam sekitar serta perubahan cuaca.

Menurut pernyataan itu lagi, Abe memohon kerjasama Malaysia bagi menjayakan persidangan itu dan ini dipersetujui oleh Abdullah.

Malaysia mahu mantapkan Dasar Pandang Ke Timur



ERAT...Abdullah Ahmad Badawi berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe selepas menandatangani pernyataan bersama sempena sambutan ulang tahun hubungan kedua-dua negara di Putrajaya, semalam. – Bernama.
--------------------------------------------------------------------------------


PUTRAJAYA 24 Ogos – Malaysia mahu Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan sejak 25 tahun lalu dimantapkan dengan meneruskan program penghantaran pelajar dan pelatih ke Jepun dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia amat menghargai kerjasama Jepun dalam menjayakan dasar tersebut kerana ia ternyata berjaya memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi negara ini.

Hasrat itu disambut baik oleh Jepun, apabila Perdana Menterinya, Shinzo Abe menyatakan bahawa negaranya akan terus memberikan sokongan, bantuan dan kerjasama kepada Malaysia dalam program pembangunan sumber manusia di bawah dasar berkenaan.

Kedua-dua pemimpin negara itu menyatakan demikian dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat delegasi dua hala di sini hari ini.

‘‘Perdana Menteri Abe mengucapkan tahniah atas ulang tahun ke-25 Dasar Pandang Ke Timur dan melahirkan rasa hormat yang mendalam di atas usaha berterusan Malaysia kerana menghantar kira-kira 11,000 pelajar dan pelatih ke Jepun sejak 25 tahun lalu.

“Kedua-dua pemimpin itu menyatakan bahawa dasar itu berjaya mewujudkan hubungan kukuh antara rakyat Malaysia dan Jepun dan ikatan sedemikian merupakan asas utama hubungan mereka,” kata pernyataan bersama itu.

Dalam pernyataan itu, kedua-dua pemimpin juga memberitahu mereka akan memberikan perhatian kepada program pertukaran belia termasuk pelaksanaan Program Pertukaran Pelajar dan Belia Jaringan Jepun-Asia Timur (JENESYS) yang diumumkan oleh Abe pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) kedua di Cebu, Filipina pada Januari lalu.

‘‘Kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan program pertukaran antara universiti-universiti yang dijelaskan dalam kerja-kerja persediaan untuk menubuhkan Universiti Teknologi Antarabangsa Jepun-Malaysia (MJIUT) sebagai pusat pembangunan sumber manusia,” katanya.

Mengenai kerjasama ekonomi, Malaysia berharap Jepun dapat meningkatkan penyertaannya dalam pembangunan di selatan dan utara negara ini bagi mengambil kesempatan ke atas peluang-peluang ekonomi yang ditawarkan.

‘‘Kedua-dua pemimpin menyatakan jangkaan mereka bahawa lawatan Abe akan meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia dan Jepun,” kata pernyataan itu.

Dalam pada itu, Malaysia dan Jepun bersepakat tentang keperluan untuk mengurangkan separuh daripada kadar pelepasan gas global sedia ada menjelang tahun 2050.

Abdullah menyatakan penghargaan atas inisiatif Abe yang menyeru supaya disediakan satu kerangka kerja berkaitan isu perubahan cuaca hingga melepasi tahun 2012 dengan penyertaan semua negara dalam Konvensyen Kerangka Kerja Perubahan Cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Kedua-dua pemimpin tersebut mengiktiraf bahawa isu-isu alam sekitar dan tenaga termasuk perubahan cuaca menjadi cabaran kepada dunia secara keseluruhan dan usaha bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang tersebut amat diperlukan.

‘‘Kedua-dua pemimpin itu menegaskan tentang kepentingan untuk meletakkan sasaran dan merangka tindakan bagi meningkatkan penggunaan tenaga yang berkesan berdasarkan Deklarasi Cebu Mengenai Keselamatan Tenaga Asia Timur pada EAS kedua Januari lalu.

‘‘Mereka mengalu-alukan inisiatif dua hala berterusan dalam bidang tenaga bagi kepentingan kedua-dua buah negara dan ia melibatkan kerjasama dalam bidang pengeluaran tenaga bio menggunakan teknologi hydrocracking ,” katanya.

Wednesday, August 22, 2007

ASEAN+3 mahu jadikan suara Asia lebih berkesan

TIANJIN 21 Ogos – Forum media yang mempertemukan wakil dari negara anggota ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) di sini hari ini mengenal pasti cara yang perlu diamalkan oleh organisasi media di rantau ini untuk menjadikan suara media Asia bergema dengan lebih nyaring ke serata dunia.

Lebih 300 anggota perwakilan dari 13 negara menghadiri Forum Kerjasama Media 10+3 yang julung kali diadakan itu, anjuran akhbar People’s Daily, Tianjin Daily News Group dan Tianjin Binhai New Area Administrative Committee.

Malaysia diwakili Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd. dan Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo Heong.

Pada forum sehari itu, yang bertemakan ‘Memperkukuhkan Kerjasama Media, Menyampaikan Suara Asia’, peserta didedahkan tentang bagaimana organisasi media Asia boleh bekerjasama bagi memecah tembok monopoli media Barat dalam menyebarkan laporan tentang perkara berkaitan Asia.

Akhmad Kusaeni, Timbalan Ketua Pengarang Agensi Berita Antara, Indonesia berkata, masanya sudah tiba bagi organisasi media Asia menetapkan agenda bagi berita yang melibatkan rantau ini.

Katanya, organisasi media Asia perlu berganding bahu dan bergiat aktif dalam membuat liputan tentang Asia kerana ‘Asia tanah air kita dan oleh itu kita perlu mengenali Asia dengan lebih mendalam’.

Dalam kertas kerjanya, Yong melahirkan harapan agar Kenyataan Bersama kedua mengenai Kerjasama Asia Timur pada Sidang Kemuncak 10+3 November ini akan dapat menyediakan asas bagi penubuhan sebuah organisasi atau rangkaian berita Asia yang mampu menimbulkan kesedaran bahawa suara Asia perlu didengar di seluruh dunia.

Dengan penubuhan rangkaian itu, kata beliau, organisasi media Asia akan dapat menggembleng tenaga dan membuat liputan tentang peristiwa penting antarabangsa serta mengetengahkan kepentingan Asia di pelbagai forum seperti Persidangan Agung Bangsa Bersatu, Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Forum Ekonomi Dunia, rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Sidang Kemuncak G8.

“Mungkin pada peringkat kemudiannya, kita boleh buat laporan tentang peristiwa dan isu di negara Barat, seperti yang dibuat selama ini oleh media Barat di negara kita. Kita juga boleh sebarkan semula berita itu kepada Barat dan memberitahu mereka tentang apa sebenarnya yang berlaku di rumah mereka, sama seperti apa yang mereka lakukan di tempat kita selama ini,” kata Yong.

Beliau berkata, organisasi media Asia boleh mengambil iktibar daripada penubuhan Al-Jazeera, stesen televisyen yang kini menjadi suara berwibawa bagi Timur Tengah.

Pengarang Politik Rasmei Kampuchea of Cambodia pula berkata, semua berita positif tentang Asia sering diputarbelitkan oleh media Barat.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan penubuhan satu rangkaian atau pertubuhan berita Asia yang mampu memenuhi kepentingan negara Asia secara lebih berkesan, di samping menyediakan latihan bagi wartawan dari rantau ini untuk membolehkan mereka membuat liputan yang lebih baik tentang Asia.

“Kini, kita perlu ada pelan tindakan bagi membolehkan segala pemikiran diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan,” kata Nguon.

Timbalan Ketua Pengarang China Daily, Qu Yngpu pula mencadangkan agar Asia memajukan bentuk kewartawanan sendiri bagi mengatasi dilema bahawa mereka sering dikalahkan kepada media Barat.

Katanya, kemajuan industri media di Asia tidak seiring dengan dinamisme ekonomi di rantau ini dan walaupun negara Asia menjadi tempat tinggal bagi 60 peratus penduduk dunia, namun hampir dua pertiga daripada aliran maklumat datang dari negara maju.

Qu berkata, cara terbaik bagi media Asia untuk mendepani integrasi media global ialah dengan bersatu dan membuat laporan tentang Asia, walaupun tidak secara objektif sepanjang masa, tetapi memadailah secara subjektif dan agak berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pengamal media Barat.

Wang Chen, Presiden People’s Daily pula berkata, Forum Kerjasama Media 10+3 telah berjaya membawa kerjasama dalam kalangan pertubuhan media Asia ke tahap dan lembaran baru.

Forum ini, kata beliau, memberi kesan besar terhadap masa akan datang iaitu apabila organisasi media di rantau ini berjaya menjadikan suara Asia bergema dengan lebih nyaring.

– Bernama

Menteri Ekonomi ASEAN dijangka lulus rangka tindakan EAC

MANILA 21 Ogos – Para Menteri Ekonomi ASEAN dijangka meluluskan rangka tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (EAC) yang akan dilaksanakan pada tahun 2015.

Pengarah Biro Hubungan Perdagangan Antarabangsa Filipina, Ramon Vicente Kabigting berkata, kelulusan tersebut yang menyaksikan sektor logistik diberi keutamaan akan membolehkan pergerakan bebas barangan dan perkhidmatan dilaksanakan di rantau ini.

“Rangka tindakan ini juga menggesa integrasi ekonomi tanpa batasan antara anggota ASEAN dengan pembukaan (pasaran) antara satu sama lain,” katanya di sini, hari ini.

Mesyuarat AEM akan diadakan di sini bermula Jumaat ini hingga hingga 27 Ogos ini.

Pada mesyuarat kali ini, Malaysia turut memberi tumpuan untuk memuktamadkan pelan tindakan EAC selain menilai semula kemajuan pelaksanaan integrasi sektor-sektor utama bagi memperkukuhkan integrasi ekonomi ke arah mempercepatkan pelaksanaan EAC.

Para pemimpin ASEAN telah bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan EAC pada tahun 2015 daripada perancangan awal pada tahun 2020.

Kabigting berkata, matlamat utama EAC adalah untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif perdagangan dalam usaha mengintegrasikan ekonomi serantau.

Pada mesyuarat kali ini, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN juga akan menandatangani Protokol Integrasi Sektor-sektor Utama ASEAN bagi Sektor Perkhidmatan Logistik.

Protokol itu akan memudah dan mempertingkatkan kerjasama dalam sektor-sektor perkhidmatan logistik di rantau ini.

– Utusan

Hakim juga boleh dipecat

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memberi amaran bahawa hakim yang tidak menunaikan tanggungjawab dengan sempurna boleh dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipecat.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa antara faktor yang membolehkan seseorang hakim itu dipecat bukan saja kerana kegagalannya memberi penghakiman bertulis, tetapi juga kerana memiliki sikap tidak baik, termasuk mudah melenting.

Mengulas laporan sebuah akhbar tentang tindakan seorang banduan bilik akhir yang meringkuk selama lebih sembilan tahun memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan pembebasannya kerana kegagalan Mahkamah Tinggi memberi penghakiman bertulis terhadap kesnya, Ahmad Fairuz berkata, beliau sedang menyiasat perkara itu.

“Siasatan awal saya menunjukkan bahawa hakim berkenaan telah membaca asas penghakimannya di mahkamah terbuka pada tahun 2002. Tapi, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Jadi, kami perlu buat siasatan. Mungkin ada yang tak kena,” katanya selepas merasmikan seminar bertajuk Ahmad Ibrahim: Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sebuah hotel di sini hari ini.

Merujuk laporan yang sama, Ahmad Fairuz berkata: “Anda tahu tentang bahaya besar apabila seseorang itu berkata sesuatu yang tidak benar. Dalam Islam, ini dipanggil ‘fitnah’. Amat buruk perbuatan seseorang yang mengatakan sesuatu perkara yang tidak benar.”

Bekas peniaga ikan dan sayur-sayuran di Pasar Pasir Mas, Kelantan, Baha Jambol, 45, memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan supaya menyemak nota perbicaraan dalam rekod rayuannya dan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya kerana mengedar dadah dengan alasan hakim perbicaraan gagal memberi alasan penghakimannya walaupun diberi peringatan beberapa kali.

Baha kini dikurung berseorangan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ahmad Fairuz bagaimanapun menafikan laporan sebuah akhbar lain kononnya seorang hakim Mahkamah Persekutuan gagal memberi penghakiman terhadap 30 kes sepanjang tempoh beliau menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, termasuk bagi kes dadah dan bunuh.

Mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, hakim perbicaraan perlu memberi asas penghakiman untuk dimasukkan ke dalam rekod rayuan dan tanpa asas penghakiman secara bertulis, Mahkamah Rayuan tidak boleh mendengar rayuan berkenaan.

“Saya sudah semak dan mendapati berita yang mengatakan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak menulis 30 asas penghakiman jelas sekali tidak terdapat dalam rekod kami.

“Tak ada perkara seperti itu dalam rekod kami. Tidak ada hakim Mahkamah Persekutuan yang gagal menulis asas penghakiman sebanyak itu. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena di situ,” kata beliau.

Ahmad Fairuz berkata, beliau juga sedang meneliti perilaku semua hakim dan mempunyai rekod mengenai hakim yang tidak menulis asas penghakiman mereka.

“Malah, pada masa lepas, hakim yang tidak menulis asas penghakiman tidak akan dinaikkan pangkat sehinggalah beliau menyiapkan asas penghakimannya,” kata beliau.

Ditanya sama ada benar semasa beliau menjadi Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan ada hakim yang dinaikkan pangkat walaupun mereka tidak menyediakan asas penghakiman secara bertulis ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Fairuz berkata:

“Tunjukkan kepada saya. Anda tunjukkan kepada saya bahawa mereka ini telah dinaikkan pangkat walaupun banyak asas penghakiman yang belum selesai mereka tulis.”

Beliau berkata, kenaikan pangkat bagi hakim dibuat berasaskan meritokrasi, bukan saja berdasarkan prestasinya, termasuk kejayaan menyediakan asas penghakiman (walaupun ini adalah antara faktornya), tetapi juga faktor lain.

Kata beliau, faktor yang diambil kira termasuk perilaku seseorang hakim itu secara peribadi, pergaulannya dengan masyarakat, sama ada beliau bergaul dengan orang korporat, kerap bersikap berat sebelah, sama ada beliau mampu menjadi hakim yang baik, telah menyelesaikan banyak kes dan mampu mengawal kemarahan.

– Bernama

Mansuh Common Law -- Ketua Hakim Negara mahu perundangan lapuk Inggeris diganti

Mansuh Common Law -- Ketua Hakim Negara mahu perundangan lapuk Inggeris diganti
Oleh Zabry Mohamad

PETALING JAYA 21 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.

Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.

‘‘Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita.

‘‘Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?’’ soalnya.

Ahmad Fairuz berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi IKIM, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah institut itu, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Menurut Ketua Hakim Negara, kegagalan memartabatkan perundangan sendiri seolah-olah memperlihatkan Malaysia sudah ketandusan kepakaran sehingga terpaksa meminjam daripada Common Law Inggeris sejak tahun 1957.

Katanya, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, mengutamakannya atau mengambil kira keadaan setempat dalam membuat penghakiman.

Seksyen 5 akta yang sama membenarkan pemakaian seluruh undang-undang perdagangan yang ditadbir di England melainkan jika terdapat undang-undang tempatan.

Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England.

Sebagai ganti, menurut beliau, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia.

Dalam hubungan ini, beliau mahu pakar undang-undang di Malaysia bersepakat sama ada mahu meneruskan amalan merujuk kepada Common Law.

Jika sebaliknya, tegas beliau, pendekatan baru perlu diambil bagi menggantikan Common Law Inggeris yang dilihat sudah sebati dalam perundangan negara.

Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.

Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat.

Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim.

Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam.

Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada 17 April 1999 merupakan profesor undang-undang di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tuesday, August 21, 2007

Perjalanan badan kehakiman

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

ISU yang membelenggu kehakiman negara barangkali boleh dikatakan banyak sepanjang negara melewati usia 50 tahun kemerdekaan.

Sekadar memberi beberapa contoh untuk menyegarkan ingatan, negara pernah terkejut dengan hal pemecatan bekas Ketua Hakim Tun Mohd. Salleh Abbas pada tahun 1988.

Sejak itu kehakiman negara dilanda imej yang agak kurang menyenangkan. Peristiwa berkenaan masih menggegarkan sistem keadilan negara selain mencetuskan polemik antarabangsa walaupun sudah hampir dua dekad berlalu.

Itu belum dikira perihal kedudukan Mahkamah Syariah, yang dipertikai kewibawaan serta integriti disebabkan beberapa kes yang ditanganinya.

Terdapat juga kes-kes tertunggak, perbicaraan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk didengar, sehingga membawa pula kepada timbulnya isu kekurangan hakim.

Begitu juga kes penyelewengan hakim-hakim, yang turut memberi sisi hitam buat institusi kehakiman.

“Banyak bezanya kehakiman dahulu dan sekarang. Bukan dari segi prosedur pelantikan semata-mata tetapi kelainannya turut ketara dari segi kebolehan serta kecekapan dalam mengendalikan kes-kes,” kata Tan Sri Abdul Aziz Zain semasa ditemu bual oleh Utusan Malaysia di rumahnya di Bangsar Baru, baru-baru ini.

Beliau ditanya mengenai perbezaan di antara kehakiman dahulu (sebelum merdeka) dan pandangannya tentang institusi berkenaan bagi tempoh akan datang.

Abdul Aziz Zain ialah orang yang tepat untuk bercerita mengenai kehakiman dahulu kerana beliau ialah hakim termuda di negara ini yang dilantik di bawah Perlembagaan Malaysia, iaitu pada usia 42 tahun.

Sejarah itu tercatat pada tahun 1955. Beliau bermula dengan menjadi majistret di Taiping, selepas tamat menuntut bidang perundangan di luar negara.

Selain pernah menjadi Hakim di Mahkamah Tinggi pada tahun 1964, beliau ialah Penasihat Perundangan bagi negeri Kelantan dan Terengganu (1958), Peguam Kanan Persekutuan (1960), dipinjamkan sebagai Peguam Negara di Brunei (1961), Peguamcara Negara (1963) dan paling tinggi Hakim Mahkamah Persekutuan (sehingga tahun 1971).

Perlu diingatkan jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan merupakan yang paling tinggi dalam sistem kehakiman negara dan layak dipertimbangkan untuk menjadi Ketua Hakim Negara.

Kata Abdul Aziz, sebelum merdeka, hakim-hakim yang dilantik dibekalkan dengan banyak latihan. Jika tidak cukup latihan yang ada di dalam negara, mereka dihantar ke luar negara bagi memperdalamkan pengetahuan mengenai kehakiman selain cara menangani kes-kes secara lebih matang dan bijak.

Beliau sendiri, katanya, telah menjalani latihan tetapi tetap dihantar untuk latihan susulan bagi memantapkan diri demi menjadi seorang hakim yang cekap.

Katanya, kerana latihan itu (untuk memahami selok-belok pendakwaan) diadakan di Old Bailey, London pada tahun 1956, beliau terlepas meraikan detik-detik menghitung kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.

“Pada 31 Ogos 1957, telah tamat latihan dan saya berada di dalam kapal wap S.S Corfu untuk pulang ke tanah air. Tapi sayang, saya tiba dua hari kemudian, jadi terlepas detik Tunku Abdul Rahman, kebetulan rakan rapat saya, mengangkat tangan penuh semangat melaungkan kemerdekaan sebanyak tujuh kali,” kata beliau yang sempat mengimbas kenangan kemerdekaan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kes-kes yang dirujuk kepada mahkamah dahulu (sebelum merdeka) tidak variasi. Maknanya, kes-kes yang datang, paling membahayakan sekalipun, lebih menjurus kepada hal-hal bersubahat dengan komunis dan memiliki senjata api. Dua kes ini, hukumnya ialah gantung.

Itu diceritakan beliau dalam buku Memoir Tan Sri Abdul Aziz Zain – Negarawan Tujuh Zaman (2005), tulisan Zainatul Shuhaida Abd. Rahman.

Dalam buku itu, beliau dipetik sebagai berkata, antara kes-kes yang diadili beliau semasa sebelum merdeka ialah bersubahat dengan komunis dan memiliki senjata api.

“Dua kes (kategori) ini memang banyak. Tetapi hukumannya ialah gantung sampai mati,” jelasnya sekali lagi.

Abdul Aziz turut mengakui semasa berkhidmat menjadi hakim, beliau telah menjatuhkan lebih 50 hukuman mati terhadap pesalah di negara ini.

Terdapat juga kes-kes lain yang lebih ringan dan berbeza di antara satu bangsa dengan bangsa lain.

Contohnya, melibatkan pembahagian harta, masalah tanah kebiasaannya dirujuk oleh orang Melayu, kes-kes perkahwinan campur atau matrimoni kerap dibawa oleh kaum Cina dan India.

Perbalahan

Begitu juga kes melibatkan masalah dowri (mas kahwin) dan perbalahan rumah tangga, walaupun kebiasaannya sering ditimbulkan oleh keluarga, kebanyakannya bukan datang daripada pasangan suami isteri itu sendiri.

Walaupun kes tidak pelbagai, jumlah hakim pula bukan ramai pada masa itu.

“Tetapi seperkara boleh dipuji, mereka cekap mengendalikan kes-kes, menyebabkan tidak banyak yang ditimpa hambatan kes tertunggak,” katanya sambil memberitahu banyak juga kes yang sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Polis juga tidak ketinggalan handal dalam mengendalikan tugas mereka. Mereka ini hanya akan membawa kes ke mahkamah selepas benar-benar yakin adanya kes.

Pendek kata, itu sedikit sebanyak menolong hakim pada ketika itu, ujar beliau.

Abdul Aziz bersara daripada bidang perundangan pada tahun 1971, selepas menempuhi liku selama 30 tahun. Ia ternyata satu keputusan yang memberikan kejutan kepada negara pada masa itu.

Selepas merdeka, kata beliau, kes-kes yang datang ke mahkamah begitu banyak, pelik-pelik dan lebih daripada itu ialah banyak undang-undang kita telah lapuk, ertinya tidak sesuai lagi dipakai pada masa sekarang.

Sambil mengakui masih lagi mengikuti secara rapat isu-isu berkaitan kehakiman di negara ini, Abdul Aziz berkata, masalah kes tertunggak tidak boleh dipersalahkan di atas faktor kekurangan hakim semata-mata.

“Banyak soal lain, tetapi saya percaya kurang cekap menyebabkan perjalanan tidak lancar. Itu pula terbit daripada kekurangan latihan,” ujar beliau secara jujur.

Kata Abdul Aziz lagi, sepatutnya banyak yang perlu dikaji semula dalam soal perundangan di negara ini.

Sebagai contoh, undang-undang trafik, perbandaran dan kerajaan tempatan.

Misalnya undang-undang trafik, yang memperuntukkan Akta Pengangkutan Jalan di mana kes kemalangan menyebabkan kematian, hukumannya ialah denda sahaja sedangkan kalau membunuh atau bersubahat membunuh di bawah Akta Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman mati.

Dalam hal ini, kata beliau, dua tahun selepas negara merdeka, terdapat satu suruhanjaya dikenali sebagai Suruhanjaya Menyemak Semula Undang-Undang di mana tugasnya ialah memperhalusi mana-mana undang-undang yang tidak lagi sesuai digunakan.

Bukan setakat hukuman, jika denda juga tidak sesuai dikenakan pada kesalahan, ia menjadi tugas suruhanjaya ini untuk semakan semula.

Tetapi sekarang, katanya, suruhanjaya itu tidak lagi wujud.

Friday, August 17, 2007

Mahkamah Tinggi tolak rayuan ‘Ustaz Zul’

SHAH ALAM 16 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 18 kali terhadap seorang bomoh yang dikenali sebagai ‘Ustaz Zul’ atas dua kesalahan merogol seorang rakan anak perempuannya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Abang Iskandar Abang Hashim juga menolak rayuan Zulkifly Mustafa, 43, supaya hukuman tersebut berjalan serentak dengan hukuman penjara 18 tahun yang sedang dijalani sekarang.

Dalam penghakimannya, Abang Iskandar berkata, mahkamah mendapati terlalu banyak fakta yang menyelubungi kes itu tidak memihak kepada perayu.

Katanya, perayu bukan hanya merogol gadis remaja tetapi mangsa yang merupakan sahabat anak perempuannya sendiri ketika dia datang dan bermalam di rumahnya.

Menurut Abang Iskandar, perayu juga menipu dengan mendakwa dirinya bomoh untuk mengubati mangsa yang mengalami sakit-sakit badan dan pinggang akibat senggugut.

‘‘Perayu telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang masih muda. Mengaku bomoh adalah perbuatan yang menjijikkan, begitu juga penipuan tentang nikah batin.

‘‘Mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan pembohongan ini dan perayu perlu dikenakan hukuman yang setimpal,’’katanya.

Pada 2 April lalu, Zulkifly yang sebelum itu telah dibicarakan atas tuduhan merogol mangsa seorang pelajar kolej yang ketika kejadian berusia 17 tahun, dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 18 kali selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah.

Dia mengaku merogol mangsa antara pukul 10 dan 11 malam, 18 Julai 2004 di rumahnya di No.35, Jalan Desa 3/7 Taman Desa, Bandar Country Homes, Rawang dekat sini.

Lelaki itu juga mengaku mengulangi perbuatan yang sama pada pukul 5 petang, keesokan harinya di rumah yang sama.

Sementara pada 5 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Muar, Johor telah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan 14 kali setelah dua didapati bersalah merogol seorang pelajar universiti di sebuah pusat peranginan.

Hukuman yang dijatuhkan oleh kedua-dua mahkamah itu ke atas Zulkifly kini berjumlah 38 tahun dan sebatan 32 kali.


Oleh Azli Ayob


Kemampuan harungi krisis 1997 bukti kejayaan negara urus ekonomi: Sachs

Tokoh ekonomi terkemuka, Profesor Jeffrey D Sachs (gambar), berkata pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dan konsisten meletakkan Malaysia pada landasan kukuh untuk mencapai matlamatnya menjadi negara maju menjelang 2020.

Sachs yang kini Pengarah The Earth Institute, Columbia University, Amerika Syarikat berkata, Malaysia juga membuktikan kemampuannya menguruskan ekonomi apabila ia menangani dengan jayanya krisis sehebat kegawatan ekonomi Asia pada 1997/98.

“Saya yakin jika Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi seperti yang dicatatkannya ketika ini, iaitu sekitar enam peratus setahun, negara ini akan mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan ‘Pertumbuhan Malaysia dengan Dasar Pengagihan: Mengurangkan Jurang Sosioekonomi dan Kemiskinan” pada seminar 50 tahun Pembangunan Malaysia anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU), di Jabatan Perdana Menteri, di Kuala Lumpur, semalam.

Sachs yang pernah menjadi penasihat bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, bagi projek membasmi kemiskinan dunia berkata, ekonomi Malaysia disokong asas kukuh selain menyaksikan kemajuan begitu menggalakkan dalam sektor pertanian dan perkhidmatan.

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya dan dibelanjakan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pendidikan tinggi.

Sachs bagaimanapun menggariskan beberapa cabaran yang perlu ditangani Malaysia ke arah mencapai status negara maju, termasuk memajukan lagi bidang inovasi di negara ini.

Inovasi katanya, bukan sekadar membabitkan pembangunan peralatan terkini, tetapi memanfaatkan inovasi dalam segenap bidang kehidupan harian.

Malaysia juga katanya, perlu mengeksploitasi sepenuhnya kedudukan geografi yang strategik antara dua negara pertumbuhan ekonomi utama dunia iaitu China dan India.

“Dengan penduduk yang mempunyai persamaan bahasa dan budaya dengan kedua-dua negara itu, Malaysia sebenarnya mempunyai peluang besar untuk menikmati limpahan pembangunan dari negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi tempatan, Datuk Dr Zainal Aznam Yusof dalam sidang pleno pada seminar itu pula berkata, apabila Malaysia sudah mencapai status negara maju, pertumbuhan ekonomi negara akan menurun kepada antara tiga hingga 3.5 peratus setahun.

“Kita tidak akan lagi menikmati pertumbuhan pada kadar sekarang, tetapi separuh daripada itu sama seperti negara maju lain selepas revolusi perindustrian,” katanya.

Ketika itu katanya, penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah sektor perkhidmatan, sementara sumbangan daripada sektor pertanian pula akan menurun.

“Kemiskinan juga akan terhapus menjelang tempoh itu,” katanya.

Thursday, August 16, 2007

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu,bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Imbasan Sejarah Pendidikan Di Malaysia

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan

Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan

Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama

Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia

Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua


Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini

Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira

Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini

Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia

Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional

Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun

Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan


Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979



Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira

Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini

Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia

Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional

Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun

Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan


Rang Undang Undang Pendidikan 1995


Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara

Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan

Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun

Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan

Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan

Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta