Thursday, September 6, 2007

Kes hakim tidak tulis penghakiman dilapor kepada PM

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 5 Sept. – Laporan siasatan kes Hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak menulis alasan penghakiman telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, beliau telah menyiasat dakwaan itu dan satu laporan mengenainya disediakan.

“Laporan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan hakim-hakim baru di Palace of Justice di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang menamakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff sebagai hakim yang masih belum menulis 35 alasan penghakiman.

Pada sidang Dewan Rakyat 27 Ogos lalu, Karpal Singh menyatakan Hakim Hashim masih belum menulis 35 penghakiman itu dan menggesa Ketua Hakim Negara menyiasat perkara berkenaan.

Karpal mendakwa, empat daripada 35 kes itu membabitkan tertuduh yang dijatuhkan hukuman mati tujuh tahun lalu.

Karpal Singh membangkitkan perkara itu setelah Ketua Hakim Negara menafikan beliau menaikkan pangkat hakim yang tidak menulis penghakimannya, malah Ahmad Fairuz meminta pihak yang menimbulkan isu itu menunjukkan bukti kepadanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri yang ditanya mengenai dakwaan Karpal itu mengarahkan Ketua Hakim Negara menyiasatnya.

Ahmad Fairuz bagaimanapun enggan menjelaskan kandungan laporan yang dihantar kepada Abdullah.

Beliau berkata, hakim yang dibuktikan tidak menjalankan tugas dengan sempurna termasuk tidak menulis alasan penghakiman sehingga menyebabkan tertuduh meringkuk di penjara untuk tempoh yang panjang boleh dikenakan tindakan dipecat daripada jawatan.

Beliau berjanji akan melihat peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara dalam memutuskan tindakan terhadap hakim-hakim yang tidak membuat penghakiman bertulis.

Menurut Ahmad Fairuz, jika undang-undang dan Perlembagaan membenarkan hakim dipecat, beliau akan melaksanakan tindakan itu.

“Kami sebagai hakim bertindak atas fakta dan bukti. Jika keadaan membenarkan pemecatan hakim, kami akan melakukannya,” kata beliau.

Beberapa pihak sebelum ini membangkitkan isu kegagalan hakim menulis kira-kira 100 penghakiman kes jenayah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Rayuan serta 1,000 kes jenayah di peringkat Mahkamah Majistret dan Sesyen.

No comments: