Saturday, September 1, 2007

Tanggungjawab UDA majukan bumiputera

Oleh: LATIFAH OSMAN

SELEPAS 14 tahun negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mula memberi perhatian terhadap usaha menaikkan taraf ekonomi orang Melayu. Selain menyusun semula struktur ekonomi bumiputera, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menubuhkan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada 12 November 1971.

Penubuhan UDA tidak lain tidak bukan bertujuan membangunkan ekonomi orang Melayu di kawasan bandar. Ia sejajar dengan matlamat utama penubuhan UDA iaitu untuk menyusun semula masyarakat Melayu melalui aktiviti pembangunan bandar, supaya tidak terus terpinggir. UDA berperanan memenuhi agenda meningkatkan kedudukan orang Melayu di bandar-bandar sebagaimana yang diamanahkan di bawah Akta Pembangunan Bandar 1971.

Tugas UDA bermula pada tahun 1974 apabila menerusi projek pembangunan bandar baru Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) iaitu sebaik sahaja selepas Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan.

TTDI bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah kawasan perumahan, malah menjadi tempat bersosial rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang tinggal di bawah satu bumbung.

Selepas 10 tahun, UDA melebarkan fokusnya dengan mengenal pasti sebuah kawasan penting di pusat bandar yang tidak dimanfaatkan secara maksimum.

Kesungguhan UDA itu mengilhamkan konsep pembaharuan semula bandar dengan terbinanya dua menara pejabat, pejabat pos besar dan tempat letak kereta bertingkat.

Di tapak yang dulunya dikenali sebagai North Goodsyard Keretapi Tanah Melayu pada zaman 1970-an, UDA telah membina mercu tanda baru iaitu, Menara Dayabumi.

Bangunan setinggi 33 tingkat yang mempunyai blok podium itu menempatkan ruang niaga dengan keluasan melebihi 65,000 meter persegi. Ia merupakan sebuah bangunan tercanggih dan termahal pernah dibina pada ketika itu yang berkonsepkan seni bina moden Islam.

Sejajar dengan arus perubahan negara, UDA telah dikorporatkan pada 1 September 1996 dan dikenali sebagai UDA Holdings Sendirian Berhad.

Ia kemudian disenaraikan sebagai syarikat awam di Bursa Kuala Lumpur sebagai UDA Holdings Berhad pada 18 November 1999 dan berada di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain perintis kepada beberapa bandar baru, UDA juga turut menyediakan projek-projek perumahan dan pusat komersial yang berprestij dan eksklusif di kawasan Lembah Klang seperti Angkasa Impian II Servis Kondominium dan juga projek kondominium Sinaran TTDI, yang terbaru di lokasi elit Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur yang mana setakat ini telah berjaya mencatat jualan unit sehingga 80 peratus.

Di antara projek perumahan servis lain yang akan dibangunkan ialah di Jalan Maa‘rof, Bangsar dan Jalan Sultan Ismail. Di antara pusat komersial berprestij yang dalam perancangan untuk dibina adalah ruang niaga butik dan bangunan pejabat gred A di Jalan Sultan Ismail dan pusat perniagaan lima tingkat di Jalan Pantai Baru.

Bagi projek pusat komersial pula sambutan hangat pembeli bumiputera terhadap lot kedai pejabat di Pusat Bandar Baru Tampoi, Johor membuktikan pilihan pembeli yang berkeyakinan penuh terhadap projek UDA yang sinonim dengan imej dan kualiti binaan.

Ternyata bahawa UDA telah berjaya menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu usahawan bumiputera dengan menyediakan bandar-bandar baru, ruang niaga dan pusat-pusat perniagaan yang strategik dan aktiviti ini ternyata berjaya membantu mengembangkan ekonomi Melayu di bandar.

UDA tidak sekadar berkecimpung dalam proses menyediakan premis perniagaan dan kediaman, sebaliknya usahawan bumiputera diberi peluang memasarkan produk-produk keluaran mereka di premis-premis perniagaan UDA.

Manakala bagi syarikat profesional dan pemborong bumiputera, mereka juga diberi peluang memberi khidmat rundingan dan membantu dalam melaksanakan pembinaan projek-projek hartanah UDA. Program ‘Vendor’ yang dilaksanakan oleh UDA telah membuka peluang kepada para usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri bekalan bahan binaan, peralatan sistem keselamatan rumah, pejabat, taman permainan serta landskap untuk membekalkan barang-barang bagi projek-projek yang dimajukan oleh UDA.

Pengarah Urusan, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, sepanjang penglibatan UDA dalam sektor hartanah, ia telah berjaya memajukan sebanyak 18 bidang tanah hak milik bumiputera di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

“UDA juga adalah salah satu pemilik utama kompleks-kompleks perniagaan di negara ini. Peranan UDA terserlah melalui aktiviti pembangunan kompleks perniagaan dan juga bandar-bandar baru. Sehingga kini UDA memiliki 11 kompleks perniagaan,’’ katanya.

Beliau menambah, pembangunan bandar-bandar baru UDA seperti Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Bandar UDA Utama dan Pusat Bandar Tampoi di Johor Bahru, dan Taman Pauh Jaya di Pulau Pinang telah dapat membuka banyak peluang pekerjaan baru dan premis perniagaan serta perkhidmatan kepada rakyat dan masyarakat setempat.

Beliau turut menyentuh mengenai Inap Desa iaitu projek terbaru UDA dalam industri pelancongan. Menerusi program tersebut UDA telah menjalinkan hubungan perniagaan dengan 28 buah homestay bagi memberi peluang kepada para usahawan pelancongan untuk memperkenalkan produk-produk unik mereka kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Dari aspek tanggungjawab sosial pula, kata Jaafar, UDA telah mengadakan perjanjian kerjasama dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dalam usaha membangunkan tanah wakaf milik MAIPP.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan premis-premis perniagaan dan beberapa unit rumah untuk dimanfaatkan kegunaannya bagi masyarakat Islam. Menurut Jaafar, ia secara tidak langsung dapat membantu orang Melayu yang kurang berkemampuan memiliki aset sendiri dengan membeli unit rumah atau premis perniagaan dengan harga yang lebih rendah. UDA bukan sahaja boleh dilihat sebagai syarikat pemaju hartanah, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pembangunan usahawan bumiputera sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang berjaya dan merdeka.

No comments: