Sunday, January 15, 2012

Prosiding rayuan didengar lima hakim

Oleh NORLIZAH ABAS utusanputrajaya@utusan.com.my PUTRAJAYA 14 Jan. - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria mengumumkan mulai bulan ini prosiding rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah di Mahkamah Persekutuan tidak lagi didengar oleh panel tiga hakim, sebaliknya akan didengar oleh panel lima hakim bersidang. Dalam perkembangan baru itu, beliau turut memberitahu bahawa semua permohonan kebenaran merayu di mahkamah tertinggi negara bagi kes-kes sivil juga akan didengar oleh panel lima hakim bermula Mac ini. "Langkah itu diambil bertujuan memperbaharui dan meningkatkan kualiti keputusan dan penghakiman kes-kes jenayah dan sivil," ujar Arifin ketika berucap merasmikan pembukaan Tahun Perundangan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Selain Arifin, terdapat 10 lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang mengikut giliran. Mereka termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Shariff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum. Dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara turut mengumumkan prestasi pencapaian badan kehakiman tahun lalu bagi pelupusan rayuan ekoran penambahan jumlah panel hakim bersidang secara harian dan bulanan. Arifin berkata, walaupun pendaftaran bagi permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan meningkat sebanyak 21 peratus, 527 permohonan dilupuskan bagi tahun lalu berbanding 437 permohonan bagi tahun sebelumnya. Menurut beliau, meskipun pendaftaran rayuan sivil turut meningkat melebihi 100 peratus, sebanyak 55 peratus daripada rayuan yang difailkan pada tahun lalu berjaya dilupuskan. Ketua Hakim Negara berkata, sebanyak 235 rayuan jenayah di Mahkamah Persekutuan berjaya dilupuskan tahun lalu berbanding 186 kes pada 2010. Katanya, Mahkamah Rayuan turut melaksanakan beberapa langkah bagi mempercepatkan kes-kes tertunggak termasuk mengkelaskan kes-kes kepada kategori tertentu. Beliau menjelaskan, kategori itu ialah kes-kes interlokutori, rayuan jenayah melibatkan hukuman bunuh dan rayuan jenayah melibatkan penjawat awam yang mana jumlah panel bersidang akan ditambah. Jelasnya, inisiatif yang diambil membuahkan hasil apabila sejumlah 8,064 rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan berbanding 5,935 kes bagi tahun sebelumnya.