Wednesday, August 29, 2012

Rasuah: Peniaga dipenjara 6 tahun, denda RM1 juta

29 Ogos 2012 SHAH ALAM- Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menawar dan memberi suapan RM100,000 kepada seorang pegawai polis, dua tahun lepas. Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Tertuduh, Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 24, juga boleh dipenjara enam tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda. Asmadi turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM500,000 atau dua tahun penjara ke atas bapa saudara tertuduh, Mohd Kamal Mohd Zin, 41, selepas dia didapati bersalah bersubahat dengan tertuduh memberi suapan kepada pegawai polis berkenaan. Wan Muhammad Azlan didakwa menawarkan suapan itu kepada Inspektor V.Mohana Sundaram yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, sebagai dorongan untuk tidak menyerahkan tertuduh kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan lanjut berhubung pengakuannya sebagai pengedar dadah jenis pil kuda di Kelantan. Wan Muhammad Azlan didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Balai Polis Bukit Puchong, kira-kira 7.30 malam pada 27 Sept 2010. Dia juga didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Mohana Sundaram melalui Mohd Kamal sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama pada kira-kira 1.45 petang, 28 Sept 2010 di tempat sama. Wan Muhammad Azlan dan Mohd Kamal didakwa mengikut Seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. Dalam penghakimannya, Asmadi berkata selepas membuat penilaian maksimum, beliau mendapati kedua-dua tertuduh gagal mematahkan tanggapan pertuduhan di bawah Akta SPRM itu. "Jika betul dakwaan (pembelaan) bahawa saksi memasang perangkap, sudah pasti mereka tidak akan lapor kepada ketua masing-masing sebelum mengambil tindakan. Jika saksi ada niat jahat, pasti mereka akan bertindak diam-diam dan tidak maklumkan pada ketua mereka. "Tertuduh kedua (Mohd Kamal) bersubahat bantu tertuduh pertama (Wan Muhammad Azlan) dalam beri rasuah kepada saksi (Mohana Sundaram) dan dia (Mohd Kamal) turut mengira wang yang dibawa yang diberikan sebagai rasuah kepada saksi (Mohana Sundaram). "Mahkamah dapati pendakwaan berjaya buktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap kedua-dua tertuduh," katanya. Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menolak permohonan mereka untuk penangguhan pembayaran denda. Beliau turut menaikkan jumlah jaminan ke atas Wan Muhammad Azlan daripada RM60,000 kepada RM80,000 dan Mohd Kamal dari RM30,000 kepada RM40,000 selain memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kota Baharu, Kelantan, pada Ahad pertama setiap bulan. Sepanjang perbicaraan, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan enam orang saksi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Zaki Mohd Salleh dan Pegawai Pendakwa Wan Ahmad Nidzam Wan Omar sementara Wan Muhammad Azlan diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal dan Mohd Kamal diwakili peguam Hanif Hassan. -Bernama

Thursday, August 16, 2012

OIC ambil tiga ketetapan

Najib Tun Razak mendengar ucapan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam, Ekmeleddin Ihsanoglu pada sidang kemuncak luar biasa pertubuhan itu di Mekah, semalam. - BERNAMA MEKAH 16 Ogos - Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berakhir hari ini mengambil tiga ketetapan iaitu menggantung keanggotaan Syria, gesaan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat dan membela nasib umat Islam Rohingya. Di samping ketetapan yang membayangkan kebimbangan terhadap masyarakat Islam di negara-negara berkenaan, sidang turut menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud supaya diwujudkan Pusat Dialog Islam bagi membincangkan isu-isu berkaitan fahaman mazhab. Malaysia yang turut serta dalam persidangan itu menyokong penuh ketetapan dan cadangan tersebut di samping menghargai bantuan kemanusiaan AS$50 juta oleh Raja Abdullah bagi membantu masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa keganasan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berharap pihak-pihak terlibat akan memberi sokongan untuk menjayakan ketetapan dan cadangan tersebut demi kepentingan Islam dan umat itu sendiri. Lebih istimewa katanya, ketetapan dan cadangan itu dibuat sepanjang dua hari persidangan yang berlangsung di kota suci Mekah pada 26 dan 27 Ramadan, tarikh yang penuh fadilat bagi umat Islam sepanjang Ramadan ini. ''Pemilihan tarikh persidangan itu menimbulkan keinsafan dan kesedaran kepada pemimpin-pemimpin OIC betapa besarnya tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap mereka demi menjaga kesucian Islam dan kemajuan ummah," katanya pada sidang akhbar di sini pagi ini. Sidang kemuncak itu berlangsung mulai 11 malam setiap hari iaitu sesudah selesai solat tarawih di Masjidilharam dan berakhir pada pukul 2 pagi diikuti dengan bersahur. Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, Malaysia menyokong penggantungan Syria daripada keanggotaan badan itu sambil menyifatkan keganasan di Syria amat menyedihkan, mengejutkan dan memalukan. Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia berpegang kepada prinsip tidak campur tangan masalah dalaman sesebuah negara tetapi konflik berterusan yang boleh membawa kepada perang saudara yang lebih dahsyat memerlukan tindakan penyelesaian segera oleh Syria. ''Penggantungan itu diharap menjadi isyarat yang jelas kepada Syria supaya mengambil tindakan segera menghentikan pertumpahan darah dan memulakan usaha mencari keamanan," katanya. Dalam konteks ini juga, Malaysia menggesa negara anggota terutama dalam kalangan negara Arab terus memainkan peranan konstruktif dengan semua pihak di Syria untuk mencari keamanan dan penyelesaian berkekalan untuk negara itu. Perdana Menteri memberitahu, adalah amat sukar untuk membayangkan bagaimana selepas begitu ramai yang dibunuh dan rakyat mengalami penderitaan yang teramat sangat, pemimpinnya masih terus memegang kuasa tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab. Syria, menurut Najib, perlu diperingatkan supaya menghentikan pengeboman ke atas rakyatnya terutama di kawasan awam yang turut memaksa penduduk tempatan meninggalkan negara sendiri dan menjadi pelarian di negara orang. Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia masih percaya Pelan Damai Enam Perkara yang digariskan oleh Utusan Bersama PBB-Liga Arab ke Syria, Kofi Annan sebagai pilihan terbaik untuk menyelesaikan konflik di negara itu. Justeru, beliau berharap, OIC dapat meneruskan usaha tersebut kerana yakin pelan itu dapat memulihkan keselamatan dan kestabilan di negara itu. Beliau juga mahu semua pihak terutama pemimpin Syria supaya memberi sokongan penuh terhadap usaha mencari keamanan dan pada masa yang sama menghormati resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 3 Ogos lalu yang mahu penduduk Syria menentukan sendiri masa depan negara mereka melalui demokrasi. Dalam pada itu, Najib tidak mahu tumpuan terhadap konflik di Syria menjejaskan agenda membela nasib rakyat Palestin yang menghadapi ketidakadilan yang teruk sejak enam dekad lalu akibat kedegilan berterusan Israel. Perdana Menteri juga mengajak OIC supaya tidak melupakan isu masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dan sebagai jiran terdekat, Malaysia amat memberi perhatian berat terhadap penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap Muslim Rohingya.

Wednesday, August 1, 2012

Jawatan mahkamah: Ketua Hakim Negara tegur JPA

1 Ogos 2012 Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria PUTRAJAYA - Hakim-hakim Mahkamah Sesyen dan majistret kanan tidak boleh dilantik bagi mendengar saman sivil membabitkan tuntutan wang yang tinggi kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum meluluskan jawatan seperti yang diharapkan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Beliau berharap perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin kerana ia adalah penting bagi membolehkan pentadbiran badan kehakiman melaksanakan pindaan kepada Akta Mahkamah Rendah 1948 yang diluluskan Parlimen dua tahun lalu. "Saya berharap (JPA) tidak akan mengambil masa yang lama," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah atas pelantikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebagai pesuruhjaya kehakiman. Arifin, yang kelihatan tidak gembira, berkata Kabinet meluluskan pelantikan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret kanan. "Kami mahu hakim mahkamah sesyen dan majistret dengan pengalaman empat hingga lima tahun sebelum mereka boleh mendengar kes-kes sivil agar keputusan dan penghakiman yang diberikan di mahkamah-mahkamah rendah adalah berkualiti," katanya. Badan kehakiman menunggu respons JPA berhubung rayuannya bagi menaikkan gred bagi jawatan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret-majistret kanan yang tidak diluluskan seperti apa yang diharapkan badan kehakiman. Majistret dengan kuasa yang ada sekarang terhad untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM25,000, akan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan sehingga RM100,000 mengikut pindaan itu. Sementara itu pindaan itu memberi kuasa kepada hakim-hakim mahkamah sesyen untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM1 juta. Pada masa ini bidang kuasa mereka terhad kepada RM250,000 dan ke bawah. Arifin berkata pegawai badan kehakiman yang berpengalaman boleh dilantik bagi menguatkuasa pindaan itu yang mana akan mengurangkan bilangan hakim-hakim mahkamah tinggi untuk mendengar tuntutan sivil dan dengan itu membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan ke atas badan kehakiman. Dalam perkembangan lain, Arifin berkata versi rasmi bagi peraturan gabungan bagi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-Mahkamah Rendah yang baharu dikuatkuasakan adalah versi Bahasa Malaysia dan jika wujud sebarang pertikaian berhubung tafsiran peraturan-peratuan itu, mahkamah akan merujuk kepada versi Bahasa Malaysia. Beliau berkata ini merupakan kali pertama versi Bahasa Malaysia dijadikan teks yang berwibawa. Peraturan-peraturan mahkamah bertujuan bagi memudah dan menyeragamkan prosedur mengenai litigasi sivil bagi peguam-peguam dan orang awam mula berkuatkuasa hari ini. Arifin berkata ia mengambil masa tiga tahun bagi badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil peguam Malaya, Sabah dan Sarawak untuk merumuskan peraturan-peraturan itu. Sebelum itu, Abdul Karim, 53, bekas ketua pengarah Jabatan Insolvensi di Pejabat Perdana Menteri menerima surat pelantikan daripada Arifin dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. Beliau akan ditempatkan sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Melaka. - Bernam

Thursday, July 19, 2012

Lepasan STPM dan matrikulasi dengan CGPA 2.8 ke atas ada tempat di IPTA

PASIR MAS: pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 2.8 ke atas, kini mempunyai tempat untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi akademik 2012/2013, dengan syarat tidak menolak bidang pengajian yang ditawarkan kepada mereka. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan pertama kali yang dibuat kementeriannya itu, akan membolehkan 1,894 pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi yang memperoleh CGPA 2.8 ke atas yang sebelum ini tidak mendapat tempat, kini dijanjikan tempat untuk mereka. "Kita sedia memberi mereka tempat dalam IPTA dengan syarat mereka terima apa sahaja tawaran bidang pengajian yang kita beri, jangan memilih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan majlis bersama rakyat menyambut bulan Ramadan Parlimen Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, hari ini. - BERNAMA

Friday, July 13, 2012

Menggubal Akta Keharmonian Nasional

Arkib utusan online 12 Julai 2012 Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya maka dapat kita bersama-sama pada malam yang penuh bermakna ini. Saya gembira pada malam ini kerana akhirnya saya dapat menunaikan janji saya untuk meraikan warga Jabatan Peguam Negara melalui makan malam yang diadakan di atas usaha gigih mereka untuk memudah cara kerajaan dalam merealisasikan Pelan Transformasi Politik Negara yang merupakan sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional ke arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Saya dimaklumkan ramai yang menerima jemputan untuk ke majlis pada malam ini terkejut kerana Tan Sri terkenal dengan sifat frugal tetapi mulai yakin dengan kesahihan jemputan apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri yang akan membiayainya' "One of the invitees is reported to have remarked "that's more like it". Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara Malaysia dan seluruh warga Jabatan Peguam Negara. JABATAN PEGUAM NEGARA Jabatan Peguam Negara merupakan antara Jabatan yang merupakan tonggak utama pentadbiran Negara Malaysia. Jabatan Peguam Negara berperanan bukan sahaja selaku Penasihat Undang-undang kepada kerajaan tetapi juga selaku Pendakwa raya serta Penggubal Undang-undang, Jabatan ini bertindak ibarat kompas yang memberi petunjuk bagi memastikan prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang sentiasa dijunjung. Dalam melaksanakan amanah yang sebesar ini, sememangnya segala tindak-tanduk tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa menjadi perhatian umum. Saya sedar pujian dan celaan yang datang silih berganti telah menjadi asam garam kehidupan setiap warga Jabatan Peguam Negara. Namun, saya amat berbangga kerana warga Jabatan Peguam Negara tidak pernah leka dengan sanjungan dan pujian serta tidak pula melatah setiap kali diasak dengan tohmah dan fitnah. Saya percaya, semua cabaran berjaya ditempuh dengan berpaksikan kepada semangat profesionalisme yang tinggi dan keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan untuk berkhidmat demi negara yang tercinta. PROGRAM TRANSFORMASI POLITIK: JANJI DITEPATI Pada 15 September 2011 yang lalu, saya telah pun berjanji di hadapan rakyat Malaysia untuk mengubah landskap politik negara sejajar dengan kehendak dan aspirasi rakyat. Program Transformasi Politik ini merupakan pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional yang bukan sahaja mendukung impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju malah menjadi sebuah negara yang sentiasa menjunjung prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan telah menepati janji-janjinya. Undang-undang lapuk yang telah ditelan waktu dan tidak lagi relevan seperti Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad telah dimansuhkan. Undang-undang Baru seperti Akta Perhimpunan Aman telah digubal dalam rangka mengukuhkan hak rakyat yang telah dijamin Perlembagaan iaitu untuk berhimpun secara aman. Beberapa undang-undang sedia ada pula telah dipinda seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang menghapuskan keperluan memperbaharui lesen secara tahunan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menjamin hak perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi untuk menganggotai mana-mana parti politik. Kerajaan juga telah bertindak untuk membatalkan tiga Proklamasi Darurat pada 20 Disember 2011. Namun, usaha kerajaan tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat, kita telah membuat keputusan bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah berkuat kuasa semenjak lebih lima puluh tahun lalu. Dalam rangka untuk mengimbangi keselamatan negara dan hak kebebasan rakyat dalam abad ke-21, kerajaan telah menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. JURANG ANTARA TUDUHAN POLITIK DAN HAKIKAT SEBENAR Kita mengambil langkah memansuhkan ISA kerana ia merupakan langkah yang betul dan kena pada masanya. Adalah tidak adil dan tidak benar sama sekali tuduhan liar yang mendakwa kita sebagai kerajaan bertindak secara opresif dan zalim. Bukankah kerajaan ini yang mengambil langkah memansuhkan, meminda dan menggantikan undang-undang seperti yang saya senaraikan di atas. Bukankah tindakan kita melambangkan sikap progresif dan memerlukan keberanian moral serta iltizam politik yang bukan sedikit. Seperti kata pepatah Inggeris "We need morale courage and we walk the talk". Nyata terdapat jurang besar antara tuduhan bersifat politik dan hakikat sebenar. Begitu juga tuduhan bahawa kerajaan menyalahgunakan ISA untuk menangkap musuh-musuh politiknya. Ini tidak benar sama sekali. ISA telah diguna bagi menangani anasir yang cuba menggunakan cara tidak berperlembagaan sama ada secara halus atau terbuka untuk membahayakan demokrasi itu sendiri. Tidak dapat dinafikan ISA telah memainkan peranannya di dalam era yang lalu untuk menyelamatkan kebebasan individu, sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta kemakmuran negara daripada ancaman totalitarianisme. Namun cabaran keselamatan yang dihadapi negara dan dunia hari ini adalah berbeza dengan cabaran yang dihadapi negara dan dunia masa lalu. Masa telah berubah rakyat Malaysia hari ini lebih matang, tahap pendidikannya lebih tinggi, akses kepada maklumatnya lebih meluas serta taraf sosio ekonominya lebih baik. Gabung jalin semua faktor ini telah membawa cabaran yang berbeza, oleh itu ia perlu ditangani dengan kaedah yang sesuai dengan era kini. Dalam mana-mana negara demokratik di dunia peranan akhbar amat penting. Bagi memastikan idea yang terbaik dapat memanfaatkan rakyat kerajaan juga telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan dengan kawal selia media dan penerbitan sepertimana yang diumumkan dalam ucapan saya di Majlis Malam Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011. Sudah tiba masanya para wartawan dan pemilik media di Malaysia diberi kepercayaan yang sewajarnya untuk mengawal selia tata kelakuan dan etika kewartawanan masing-masing. Peranan ini akan dilaksanakan melalui sebuah badan bebas yang dianggotai oleh pengamal media. Kuasa kawalan kendiri ini juga termasuk untuk membuat kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengawal selia tata kelakuan para wartawan dan pemilik media. Untuk melengkapkan fasa pertama Program Transformasi Politik ini suka saya mengumumkan bahawa kerajaan telah pun mengambil keputusan untuk menguatkuasakan secara serta-merta semua akta baru dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang berkaitan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti. Hakikatnya, kerancakan untuk melakar warna dalam kanvas politik Malaysia baru sahaja bermula. Banyak lagi perubahan-perubahan yang telah dibariskan demi menenun benang-benang impian kita dalam membentuk sebuah masyarakat demokratik yang matang. KENAPA AKTA HASUTAN 1948 PERLU DIGANTI AKTA KEHARMONIAN NASIONAL Semasa pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan 1948 tanpa mengetepikan apa-apa opsyen, yakni sama ada untuk meminda peruntukan-peruntukan yang sedia ada atau memansuhkan Akta yang sudah berusia lebih 64 tahun tersebut sama sekali. Kerajaan telah membuat keputusan agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Keputusan menggantikan Akta Hasutan dibuat kerana kita mahu mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik di antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara sesuai dan selaras dengan peruntukan dan jaminan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini. With this new act we would be better equipped to manage our national fault lines. It will also help to strengthen national cohesion by protecting national unity and nurturing religious harmony. Tanpa keseimbangan yang ideal kita berkemungkinan merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif ataupun membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremis. Keseimbangan ini perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada lebuh raya maklumat yang mampu menyebabkan information overflow, taraf pendidikan dan sosio ekonomi yang semakin tinggi serta tahap ekspektasi yang semakin meningkat. Peruntukan-peruntukan baru yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Peruntukkan-peruntukkan Akta baru ini akan mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk mempertahankan semua agama dan semua kaum yang membentuk negara bangsa Malaysia daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab. Akta baru ini akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kita bertindak terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional. Perbuatan adu domba seumpama ini akan dianggap sebagai satu jenayah terhadap rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersikap bahawa jika ada mana-mana kaum mahupun agama disakiti maka seolah-olah semua kaum dan semua agama rakyat Malaysia sama-sama disakiti bak kata pepatah Melayu cubit paha kanan maka paha kiri akan terasa. Hari ini Malaysia ialah sebuah negara yang sedang berada dalam peralihan atau transisi daripada sebuah negara yang berstatus membangun kepada sebuah negara maju. Kestabilan politik, dasar-dasar yang progresif, sistem demokrasi berparlimen, kebebasan kehakiman dan penghormatan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang semenjak merdeka lebih lima puluh tahun lalu telah membolehkan Malaysia mencipta kejayaan demi kejayaan. Walau cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah negara cukup kompleks dan unik kita masih mampu menggarap kejayaan. Bukan sedikit negara yang berbilang kaum yang menjadi negara gagal kerana tidak bijak menguruskan kepelbagaian yang ada. Apatah lagi negara sekompleks Malaysia yang bukan sahaja berbilang kaum tetapi juga agama, budaya, bahasa, status sosio ekonomi di samping dipisahkan secara fizikal oleh lautan. Cerita kejayaan Malaysia dimungkinkan oleh sistem nilai yang meraikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan negara bukannya sebagai penyebab kelemahan. Kejayaan kita juga berpaksi kepada rakyat Malaysia yang mengamalkan sikap kesederhanaan dan pandangan hidup yang positif. Mereka melihat hari ini sebagai lebih baik daripada hari semalam dan hari esok sarat dengan harapan dan kemungkinan. Pada kemuncaknya kita berjaya kerana kita rakyat Malaysia bersatu padu tanpa mengira perbezaan yang wujud. Perpaduan nasional ini diasaskan di atas titik persamaan dan pemersatuan yang wujud di antara kita. Bahawa kita semua merupakan warga Malaysia yang mencintai tanah airnya, Malaysia ialah tempat tumpah darah kita, tempat menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, tempat kita mencari rezeki, tempat kita membesarkan anak-anak dan akhirnya dengan izin Tuhan tempat kita bersemadi selama-lamanya apabila tiba masanya. Kita mahukan Malaysia yang lebih baik, lebih aman dan lebih makmur untuk anak cucu kita. Menjadi tanggungjawab setiap kita anak-anak Malaysia untuk bersama-sama membentuk negara yang kita dambakan. Sebuah Malaysia di mana individu akan dinilai berdasarkan bakat, kesanggupan untuk bekerja keras, kesanggupan mengambil risiko serta karakter yang dimiliki berbanding ras. Setiap anak Malaysia adalah penting untuk negara dan seharusnya mempunyai peluang yang sama untuk berjaya di bawah kibaran Jalur Gemilang. Kerajaan tidak boleh menentukan outcome yang sama namun kita bertanggungjawab menyediakan peluang yang equitable atau saksama. Saya tidak mengatakan usaha kita ini akan sentiasa berjalan lancar atau kita akan sentiasa menemui kejayaan pada setiap peringkat namun ialah satu kesilapan jika hanya kerana perjalanan ini sukar maka kita tidak mempunyai keberanian moral dan iltizam politik untuk memulakannya. Kita sesungguhnya mempunyai tanggungjawab kepada generasi Malaysia mendatang untuk mewariskan kepada mereka Malaysia yang lebih baik. Kerajaan sedar bahawa umum menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan. Walaupun anggapan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali, kita perlu menghapuskan persepsi tersebut. Lantaran itu, peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh pihak Kehakiman melalui peruntukan-peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah yang sedia ada. Namun, perlu juga saya tekankan di sini bahawa kebebasan bercakap dan bersuara hendaklah sentiasa diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam. Sebagaimana negara-negara lain yang menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law), kebebasan bercakap dan bersuara bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak sebaliknya dibatasi dengan sekatan-sekatan yang sewajarnya. Begitu juga di Malaysia. Kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang dirasakan amat perlu apatah lagi dalam suasana kemajmukan masyarakat Malaysia yang unik dan rumit sifatnya. Namun, yang paling utama, kerajaan akan tetap memastikan bahawa peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan dan perlakuan yang berikut: (i) Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja; (ii) Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan (iii) Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. Sebelum menggubal Rang Undang-undang Keharmonian Nasional ini kerajaan ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat Malaysia sama ada individu mahupun pertubuhan mengenai perkara yang perlu ditangani dalam merangka perundangan ini. Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan semua stakeholder. Pada analisis akhirnya saya teringat kepada pendapat ahli falsafah tersohor Britain, John Locke: "The end of law is, not to abolish or restrain, but to preserve and enlarge freedom". Second Treatise Of Civil Government (1690). PENUTUP Melalui pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi. Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju yang sebenar-benarnya bukan sahaja maju daripada segi pendapatan per kapita, saiz GNI dan pembangunan fizikal semata-mata. Kemajuan yang kita inginkan adalah menyeluruh sifatnya merangkumi semua aspek termasuk secara psikologinya Pembinaan negara dan bangsa Malaysia yang tercinta ini perlu dipasak dengan lima ikrar Rukun Negara yang dilaung setiap rakyatnya. 'Keluhuran Perlembagaan' atau 'Upholding the Constitution' dan 'Kedaulatan Undang-undang' atau 'Rule of Law' yang merupakan dua prinsip yang sentiasa dijunjung tinggi. Tanggungjawab ini bukan sahaja digalas oleh Jabatan Peguam Negara tetapi juga oleh semua pihak bagi memastikan bahawa Malaysia kekal berjaya. Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urus setia yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis makan malam ini. Kepada seluruh warga Jabatan Peguam Negara, segala usaha dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan amat saya hargai. Teruskan khidmat bakti anda. Saya berharap agar Jabatan ini akan terus menjadi contoh kepada penjawat awam yang lain

Tuesday, June 19, 2012

Dr Ali Hamsa dilantik Ketua Setiausaha Negara

Sumber: Sinar harian Online 20/6/12 19 Jun 2012 Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Datuk Seri Dr Ali Hamsa dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkuatkuasa mulai 24 Jun 2012 KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57, hari ini diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012. Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ali, kata kenyataan itu. Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat. Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Jan 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Beliau mempunyai pengalaman kerja yang sangat luas di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Dis 1997 hingga 21 April 2009. Di jabatan itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sebelum menjawat tugas sebagai Ketua Pengarah, UKAS, JPM pada 22 April 2009. "Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya," kata kenyataan itu. -- Bernama

Wednesday, March 14, 2012

Semua 242,294 pengundi pos jadi pengundi awal: SPR

2012/03/14 KOTA KINABALU: Semua 242,294 pengundi pos akan secara automatik menjadi 'pengundi awal' pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus memantapkan lagi ketelusan proses pilihan raya di negara ini. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata daripada jumlah itu, 147,681 orang adalah anggota tentera manakala 94,613 anggota polis. Katanya, ini berikutan pelaksanaan peraturan baru yang diperkenalkan buat pertama kali pada pilihan raya umum ke-13 kelak. "Pengundian secara pos ini menimbulkan kontroversi seolah-olah undi pos tidak telus dan perkara ini sudah dibawa dalam perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan selepas dipersetujui supaya pengundian awal diperkenalkan, SPR sendiri bersetuju mengendalikan pilihan raya awal ini. "Proses pengundian awal ini sama juga dengan proses biasa iaitu tidak menggunakan sampul surat dan 'karung', cuma masa dan hari mengundi sahaja yang berbeza. Pengundian awal ini mungkin diadakan lebih awal iaitu dua atau tiga hari sebelum hari pengundian sebenar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat khas untuk pegawai pengurus dan ketua polis daerah di sini hari ini. Mohd Aziz berkata, tujuannya ialah membolehkan pihak tentera dan polis dengan pasangan mereka mengundi lebih awal dan tidak perlu mengundi pada hari pengundian kerana menjalankan tugas masing-masing. "Dalam peraturan awal ini, semua yang dulu layak mengundi pos, kini boleh menjadi pengundi awal. Bagaimanapun, anggota polis dan tentera yang terpaksa bertugas pada hari pengundian atau penamaan calon terutama yang berkhidmat di perbatasan atau sempadan boleh dipertimbangkan untuk mengundi secara pos. "Maknanya mereka ini tidak boleh dikumpulkan di dewan sama ada di ibu pejabat polis atau pejabat polis daerah atau kem tentera, maka kumpulan ini boleh memohon kepada SPR mengikut Borang 1 untuk dipertimbangkan oleh SPR sama ada mereka ini boleh diluluskan sebagai pengundi pos atau pun tidak. "Yang meluluskan mereka ini sebagai pengundi pos ialah pegawai pengurus pilihan raya di tempat mereka mengundi," katanya. Abdul Aziz berkata, SPR akan menggunakan warna dakwat kekal berbeza untuk pengundi awal dan pengundi biasa, bertujuan mengelak berlakunya kes mengundi dua kali. "Tentu sekali kita gunakan dakwat kekal yang agak tahan lama untuk pengundi awal. Orang ramai tidak akan tahu warna dan jenis botol dakwat kekal yang digunakan sehinggalah sehari sebelum hari pengundian," katanya. Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata seramai 8,000 anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan perjalanan pilihan raya umum di Sabah. Beliau berkata, pihaknya juga mengambil tindakan proaktif untuk memastikan semua anggotanya dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal. - BERNAMA

Thursday, February 16, 2012

Dua bekas pengurus besar kanan TH dibebaskan: Mahkamah Rayuan

2012/02/16
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan dua bekas pengurus besar kanan Tabung Haji (TH) yang dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu membabitkan wang RM200 juta institusi itu, 10 tahun lalu. Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara membenarkan rayuan terakhir Datuk Mohd Amin Sidek dan Datuk Mohammad Shafie bagi mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. Sebaik saja penghakiman, Mohd Amin, 60 dan Mohammad, 62, tidak dapat menahan perasaan sebak dan berpelukan. Selepas itu, mereka memeluk ahli keluarga, rakan-rakan dari TH dan jiran masing-masing yang berada di mahkamah sejak pagi tadi. "Saya sangat bersyukur dan berterima kasih pada keluarga dan kawan-kawan dari Tabung Haji yang banyak memberikan sokongan kepada saya, juga terima kasih kepada peguam-peguam saya," kata Mohammad dalam nada yang sebak. Beliau berkata, selama 10 tahun menunggu kes itu selesai, akhirnya keputusan yang dinanti itu amat menggembirakannya sambil menyifatkan badan kehakiman negara ini adil dan telus. Mohd Amin pula berkata beliau amat bersyukur dengan keputusan itu dan percaya kebenaran akan tetap dibuktikan. "Daripada awal lagi saya menjangkakan keputusan ini kerana saya tahu saya tidak bersalah," katanya. Kedua-dua mereka diwakili oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Sulaiman Abdullah dan Zamani Ibrahim. Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan dan semua fakta, mahkamah mendapati pelaburan asing membabitkan wang TH itu didedahkan dalam kertas cadangan yang dimajukan kepada menteri yang berkenaan. Katanya, penemuan fakta berkaitan pelaburan asing yang bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan itu menyebabkan pertuduhan menipu tidak boleh dipertahankan. Ramly berkata, Hakim Bicara (Hakim Mahkamah Sesyen) telah tersilap arah ketika membuat keputusan mensabitkan mereka terhadap pertuduhan pecah amanah kerana tiada elemen niat ketidakjujuran. Beliau berkata, tiada isu penyembunyian fakta mengenai pelaburan asing perlu mendapat kelulusan menteri kerana keterangan daripada saksi pendakwaan dalam keterangan berkata, pelaburan jangka pendek itu tidak memerlukan kelulusan menteri. Ramly berkata, keterangan itu menimbulkan keterangan yang munasabah pada perayu (Mohd Amin dan Mohammad) berhubung elemen ketidakjujuran. "Oleh itu sabitan dan hukuman tidak selamat untuk dipertahankan. Dengan ini rayuan perayu dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan," katanya. Mohd Amin, bekas pengurus besar kanan (kewangan) dan Mohammad, bekas pengurus besar kanan (pelaburan), masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2007, selepas mendapati mereka bersalah melakukan pecah amanah wang TH. Bagi tuduhan melakukan pecah amanah, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di ibu negara di antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001. Kedua-dua bekas pegawai kanan itu turut dihukum penjara enam tahun setiap seorang atas dua kesalahan menipu dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kelulusan pelaburan dana itu. Mereka dituduh bersama-sama menipu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di JPM Putrajaya antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001. Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak. - BERNAMA

Friday, February 10, 2012

Kes Altantuya: Azilah belum fail petisyen rayuan

2012/02/10 PUTRAJAYA: Tarikh pendengaran rayuan dua pegawai polis yang disabitkan kesalahan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih belum ditetapkan berikutan seorang daripada mereka iaitu Cif Insp Azilah Hadri masih belum memfailkan petisyen rayuannya. Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Kanageswari Nalliah menetapkan 9 Mac untuk tarikh pengurusan kes akan datang bagi membolehkan peguam yang mewakili Azilah mendapatkan semua rekod rayuan dan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya memfailkan petisyen rayuan. Peguam yang mewakili Azilah, J. Kuldeep Kumar berkata petisyen rayuan tidak dapat difailkan kerana beliau hanya menerima 40 jilid daripada 57 jilid dokumen itu. Katanya ini kerana mahkamah telah menghantar dokumen itu kepada Azilah di penjara. Kuldeep Kumar berkata dokumen itu kemudiannya dihantar kepadanya secara berperingkat dalam tempoh enam bulan lalu dan menurutnya beliau akan mendapatkan baki 17 jilid lagi dokumen itu daripada mahkamah. Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata tarikh pendengaran itu akan hanya ditetapkan oleh mahkamah untuk mendengar rayuan itu apabila semua dokumen dikemukakan di mahkamah. Katanya petisyen rayuan untuk Sirul Azhar telah difailkan dan beliau sedang menimbangkan untuk memfailkan alasan rayuan tambahan. Kitson dan peguam Lim Kon Keen mewakili Sirul Azhar. Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur mewakili pihak pendakwaan. Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam pada 18 Oktober, 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya. Perbicaraan kes mereka berlangsung selama 159 hari. Kedua-dua mereka yang juga anggota komando Unit Tindakan Khas polis, kemudiannya memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan. Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, tanpa dipanggil membela diri. Azilah dan Sirul memberikan keterangan dalam pembelaan mereka, dengan Azilah memberikan keterangan dari kandang saksi manakala Sirul dari kandang tertuduh. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati pembelaan oleh kedua-dua mereka hanya berupa "penafian dan saling menyalahkan sesama sendiri". - BERNAMA

Thursday, February 2, 2012

Saman pemula 4 beranak pohon isytihar murtad dibicarakan

02/02/2012 6:09pm Oleh NORLIZAH ABAS PUTRAJAYA 2 Feb. – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan saman pemula empat beranak keturunan India Muslim bagi mendapat perisytiharan bahawa mereka bukan lagi beragama Islam, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan. Zaina Abidin Hamid @ S. Maniam, 60, dan tiga anaknya iaitu Surindran a/l Zaina Abidin, Mohanasubash a/l Zaina Abidin dan Chandrika a/p Zaina Abidin memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa mereka telah murtad selepas mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara mengembalikan saman pemula itu ke Mahkamah Tinggi tanpa mendengar lima persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh empat beranak itu. Antara persoalan itu - sama ada ibu bapa bagi anak-anak yang berusia di bawah 18 tahun berhak menentukan agama anak masing-masing menurut Perkara 11 dan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan mereka bagi merujuk isu undang-undang tidak sesuai dikemukakan pada peringkat itu kerana masih terdapat pertikaian berhubung fakta dalam saman pemula itu. Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Datuk Hashim Yusof; Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar; dan Hakim Datuk Hasan Lah. Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Zaina Abidin dan anak-anaknya merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan. - UTUSAN

Inkues: Koroner lawat lokasi kematian Baharudin

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Inkues_KoronerlawatlokasikematianBaharudin/Article 2012/02/02 KUALA LUMPUR: Koroner Zulkpli Abdullah yang mendengar inkues kematian Baharudin Ahmad hari ini melawat lokasi kejadian di bangunan Avenue K di Jalan Ampang di sini, tempat di mana pemandu teksi itu ditemui mati dalam keadaan duduk melunjur ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lalu. Zulkpli tiba di lokasi pada jam 4.50 petang dengan diiringi Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Saleh, Ahmad Ishrakh Saad dan Mohamed Shah Reza Nor Azman serta peguam, Ahmad Jufliz Faiza dan Chan Chew Weng yang mewakili keluarga allahyarham Baharudin dan beberapa anggota polis. Terdahulu, Ahmad Ishraq memohon kepada Zulkpli supaya mahkamah membuat lawatan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan pemahaman yang lebih serta gambaran jelas berkenaan keadaan sebenar ketika Baharudin ditemui di Avenue K. Di lokasi kejadian, saksi ke-10 pendakwaan iaitu Penjaga Bangunan Silahuddin Salim, 45, menunjukkan kepada koroner kedudukan dan keadaan Baharudin yang ditemuinya terduduk dalam jarak 152 sentimeter dari pintu pagar besi yang tidak ditutup sepenuhnya ketika hari kejadian. Sementara itu, ketika prosiding inkues di mahkamah Silahuddin turut memberitahu bahawa beliau nampak Baharudin terduduk melunjur (berbentuk L) di tengah-tengah bangunan ketika berdiri di tepi pintu pagar besi terbabit. "Ketika itu ramai yang lari memasuki bangunan Avenue K, dalam ramai-ramai itu saya nampak seorang lelaki duduk melunjur, badannya berpeluh serta matanya memandang ke atas.... selepas itu seorang wanita menjerit meminta tolong," katanya ketika ditanya Kalmizah ketika pemeriksaan utama. Silahuddin turut memaklumkan pada hari kejadian, beliau bekerja shif petang bermula dari 3 petang hingga 12 malam dan menurutnya, pada jam lebih kurang 4 petang, beliau melihat ramai orang cuba melarikan diri dengan memasuki bangunan tersebut dan tidak pasti mengapa mereka berbuat demikian. Silahuddin berkata, sebelum itu beliau sempat mengarahkan pengawal keselamatan Avenue K untuk menyimpan penanda besi tempat meletak kereta di depan bangunan tersebut bagi mengelakkan alat terbabit digunakan oleh peserta perhimpunan haram. Katanya, terdapat tiga pintu besi, hanya dua daripadanya ditutup sepenuhnya manakala terdapat satu pintu satu lagi yang tidak ditutup sepenuhnya. Dalam pada itu, pegawai polis, Inspektor Mohd Alamshah Gulam, 30, memaklumkan bahawa tiada sebarang gas pemedih mata dilepaskan ketika bertugas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) disebabkan peserta perhimpunan itu memberikan kerjasama dengan bersurai. Pengawai dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kelantan itu berkata, pada 9 Julai 2011, keadaan di sekitar Avenue K dipenuhi ramai orang dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 peserta perhimpunan haram. Namun, pengawai polis itu menjelaskan peserta perhimpunan di kawasan sekitar KLCC beredar menuju ke arah Jalan Ampang selepas beliau mengeluarkan arahan supaya mereka bersurai. Inkues itu disambung esok. - BERNAMA

Wednesday, February 1, 2012

Beng Hock: Mahkamah Rayuan benarkan keputusan dicabar

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm 02/02/2012 11:44am KUALA LUMPUR 2 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk mencabar keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang membuat keputusan terbuka mengenai kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu. Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai oleh Hakim Datuk Sulaiman Daud setelah berpuas hati mengenai terdapat persoalan undang-undang yang boleh diteruskan. - UTUSAN

Blogger fail saman balas ADUN Pantai Remis RM11 juta

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BloggerfailsamambalasADUNPantaiRemisRM11juta/Article/index_html 2012/02/01 IPOH: Blogger, Ahmad Sofian Yahya, 47, yang mengendalikan blog sekupangduas.blogspot.com memfailkan saman balas bernilai RM11 juta terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming di Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi. Ia difailkan menerusi firma guaman Ong, Hanim & Bbadrul jam 2.30 petang tadi. Pada 3 Januari lalu, Kor Ming menyaman Ahmad Ssofian RM10 juta kerana didakwa menyiarkan artikel yang memfitnahnya.

Sunday, January 15, 2012

Prosiding rayuan didengar lima hakim

Oleh NORLIZAH ABAS utusanputrajaya@utusan.com.my PUTRAJAYA 14 Jan. - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria mengumumkan mulai bulan ini prosiding rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah di Mahkamah Persekutuan tidak lagi didengar oleh panel tiga hakim, sebaliknya akan didengar oleh panel lima hakim bersidang. Dalam perkembangan baru itu, beliau turut memberitahu bahawa semua permohonan kebenaran merayu di mahkamah tertinggi negara bagi kes-kes sivil juga akan didengar oleh panel lima hakim bermula Mac ini. "Langkah itu diambil bertujuan memperbaharui dan meningkatkan kualiti keputusan dan penghakiman kes-kes jenayah dan sivil," ujar Arifin ketika berucap merasmikan pembukaan Tahun Perundangan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Selain Arifin, terdapat 10 lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang mengikut giliran. Mereka termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Shariff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum. Dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara turut mengumumkan prestasi pencapaian badan kehakiman tahun lalu bagi pelupusan rayuan ekoran penambahan jumlah panel hakim bersidang secara harian dan bulanan. Arifin berkata, walaupun pendaftaran bagi permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan meningkat sebanyak 21 peratus, 527 permohonan dilupuskan bagi tahun lalu berbanding 437 permohonan bagi tahun sebelumnya. Menurut beliau, meskipun pendaftaran rayuan sivil turut meningkat melebihi 100 peratus, sebanyak 55 peratus daripada rayuan yang difailkan pada tahun lalu berjaya dilupuskan. Ketua Hakim Negara berkata, sebanyak 235 rayuan jenayah di Mahkamah Persekutuan berjaya dilupuskan tahun lalu berbanding 186 kes pada 2010. Katanya, Mahkamah Rayuan turut melaksanakan beberapa langkah bagi mempercepatkan kes-kes tertunggak termasuk mengkelaskan kes-kes kepada kategori tertentu. Beliau menjelaskan, kategori itu ialah kes-kes interlokutori, rayuan jenayah melibatkan hukuman bunuh dan rayuan jenayah melibatkan penjawat awam yang mana jumlah panel bersidang akan ditambah. Jelasnya, inisiatif yang diambil membuahkan hasil apabila sejumlah 8,064 rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan berbanding 5,935 kes bagi tahun sebelumnya.