Thursday, August 16, 2012
OIC ambil tiga ketetapan
Najib Tun Razak mendengar ucapan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam, Ekmeleddin Ihsanoglu pada sidang kemuncak luar biasa pertubuhan itu di Mekah, semalam. - BERNAMA
MEKAH 16 Ogos - Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berakhir hari ini mengambil tiga ketetapan iaitu menggantung keanggotaan Syria, gesaan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat dan membela nasib umat Islam Rohingya.
Di samping ketetapan yang membayangkan kebimbangan terhadap masyarakat Islam di negara-negara berkenaan, sidang turut menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud supaya diwujudkan Pusat Dialog Islam bagi membincangkan isu-isu berkaitan fahaman mazhab.
Malaysia yang turut serta dalam persidangan itu menyokong penuh ketetapan dan cadangan tersebut di samping menghargai bantuan kemanusiaan AS$50 juta oleh Raja Abdullah bagi membantu masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berharap pihak-pihak terlibat akan memberi sokongan untuk menjayakan ketetapan dan cadangan tersebut demi kepentingan Islam dan umat itu sendiri.
Lebih istimewa katanya, ketetapan dan cadangan itu dibuat sepanjang dua hari persidangan yang berlangsung di kota suci Mekah pada 26 dan 27 Ramadan, tarikh yang penuh fadilat bagi umat Islam sepanjang Ramadan ini.
''Pemilihan tarikh persidangan itu menimbulkan keinsafan dan kesedaran kepada pemimpin-pemimpin OIC betapa besarnya tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap mereka demi menjaga kesucian Islam dan kemajuan ummah," katanya pada sidang akhbar di sini pagi ini.
Sidang kemuncak itu berlangsung mulai 11 malam setiap hari iaitu sesudah selesai solat tarawih di Masjidilharam dan berakhir pada pukul 2 pagi diikuti dengan bersahur.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, Malaysia menyokong penggantungan Syria daripada keanggotaan badan itu sambil menyifatkan keganasan di Syria amat menyedihkan, mengejutkan dan memalukan.
Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia berpegang kepada prinsip tidak campur tangan masalah dalaman sesebuah negara tetapi konflik berterusan yang boleh membawa kepada perang saudara yang lebih dahsyat memerlukan tindakan penyelesaian segera oleh Syria.
''Penggantungan itu diharap menjadi isyarat yang jelas kepada Syria supaya mengambil tindakan segera menghentikan pertumpahan darah dan memulakan usaha mencari keamanan," katanya.
Dalam konteks ini juga, Malaysia menggesa negara anggota terutama dalam kalangan negara Arab terus memainkan peranan konstruktif dengan semua pihak di Syria untuk mencari keamanan dan penyelesaian berkekalan untuk negara itu.
Perdana Menteri memberitahu, adalah amat sukar untuk membayangkan bagaimana selepas begitu ramai yang dibunuh dan rakyat mengalami penderitaan yang teramat sangat, pemimpinnya masih terus memegang kuasa tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab.
Syria, menurut Najib, perlu diperingatkan supaya menghentikan pengeboman ke atas rakyatnya terutama di kawasan awam yang turut memaksa penduduk tempatan meninggalkan negara sendiri dan menjadi pelarian di negara orang.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia masih percaya Pelan Damai Enam Perkara yang digariskan oleh Utusan Bersama PBB-Liga Arab ke Syria, Kofi Annan sebagai pilihan terbaik untuk menyelesaikan konflik di negara itu.
Justeru, beliau berharap, OIC dapat meneruskan usaha tersebut kerana yakin pelan itu dapat memulihkan keselamatan dan kestabilan di negara itu.
Beliau juga mahu semua pihak terutama pemimpin Syria supaya memberi sokongan penuh terhadap usaha mencari keamanan dan pada masa yang sama menghormati resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 3 Ogos lalu yang mahu penduduk Syria menentukan sendiri masa depan negara mereka melalui demokrasi.
Dalam pada itu, Najib tidak mahu tumpuan terhadap konflik di Syria menjejaskan agenda membela nasib rakyat Palestin yang menghadapi ketidakadilan yang teruk sejak enam dekad lalu akibat kedegilan berterusan Israel.
Perdana Menteri juga mengajak OIC supaya tidak melupakan isu masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dan sebagai jiran terdekat, Malaysia amat memberi perhatian berat terhadap penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap Muslim Rohingya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment