Wednesday, August 29, 2012

Rasuah: Peniaga dipenjara 6 tahun, denda RM1 juta

29 Ogos 2012 SHAH ALAM- Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menawar dan memberi suapan RM100,000 kepada seorang pegawai polis, dua tahun lepas. Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Tertuduh, Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 24, juga boleh dipenjara enam tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda. Asmadi turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM500,000 atau dua tahun penjara ke atas bapa saudara tertuduh, Mohd Kamal Mohd Zin, 41, selepas dia didapati bersalah bersubahat dengan tertuduh memberi suapan kepada pegawai polis berkenaan. Wan Muhammad Azlan didakwa menawarkan suapan itu kepada Inspektor V.Mohana Sundaram yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, sebagai dorongan untuk tidak menyerahkan tertuduh kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan lanjut berhubung pengakuannya sebagai pengedar dadah jenis pil kuda di Kelantan. Wan Muhammad Azlan didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Balai Polis Bukit Puchong, kira-kira 7.30 malam pada 27 Sept 2010. Dia juga didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Mohana Sundaram melalui Mohd Kamal sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama pada kira-kira 1.45 petang, 28 Sept 2010 di tempat sama. Wan Muhammad Azlan dan Mohd Kamal didakwa mengikut Seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. Dalam penghakimannya, Asmadi berkata selepas membuat penilaian maksimum, beliau mendapati kedua-dua tertuduh gagal mematahkan tanggapan pertuduhan di bawah Akta SPRM itu. "Jika betul dakwaan (pembelaan) bahawa saksi memasang perangkap, sudah pasti mereka tidak akan lapor kepada ketua masing-masing sebelum mengambil tindakan. Jika saksi ada niat jahat, pasti mereka akan bertindak diam-diam dan tidak maklumkan pada ketua mereka. "Tertuduh kedua (Mohd Kamal) bersubahat bantu tertuduh pertama (Wan Muhammad Azlan) dalam beri rasuah kepada saksi (Mohana Sundaram) dan dia (Mohd Kamal) turut mengira wang yang dibawa yang diberikan sebagai rasuah kepada saksi (Mohana Sundaram). "Mahkamah dapati pendakwaan berjaya buktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap kedua-dua tertuduh," katanya. Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menolak permohonan mereka untuk penangguhan pembayaran denda. Beliau turut menaikkan jumlah jaminan ke atas Wan Muhammad Azlan daripada RM60,000 kepada RM80,000 dan Mohd Kamal dari RM30,000 kepada RM40,000 selain memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kota Baharu, Kelantan, pada Ahad pertama setiap bulan. Sepanjang perbicaraan, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan enam orang saksi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Zaki Mohd Salleh dan Pegawai Pendakwa Wan Ahmad Nidzam Wan Omar sementara Wan Muhammad Azlan diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal dan Mohd Kamal diwakili peguam Hanif Hassan. -Bernama

No comments: