Saturday, September 5, 2009

Peguam Negara tiada locus standi

SHAH ALAM 4 Sept. - Kerajaan Negeri Selangor mendakwa Peguam Negara tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk memulakan prosiding bagi membatalkan pekeliling yang melarang kakitangannya ditemu duga oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di luar pejabat dan luar waktu bekerja.

Alasan itu dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim bagi menyokong permohonannya untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail.

Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Fahda Nur & Yusmadi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 4 petang ini.

Turut difailkan ialah afidavit balasan Abdul Khalid terhadap saman pemula tersebut.

Menurut afidavit sokongan tersebut, Abdul Gani tidak mempunyai locus standi kerana pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor pada 22 Julai lalu hanya berkait langsung dengan SPRM yang merupakan sebuah badan berkanun.

Sebaliknya, dakwa Abd. Khalid, SPRM yang sepatutnya bertindak sebagai plaintif kerana suruhanjaya itu yang terjejas secara langsung melalui pekeliling tersebut.

Di samping itu, beliau mendakwa cara yang digunakan untuk memulakan prosiding sepatutnya melalui writ saman dan bukan saman pemula kerana terdapat banyak isu dan fakta yang dipertikaikan dan hanya boleh diputuskan dalam perbicaraan melalui pemeriksaan balas.

Abd. Khalid juga menyatakan, Peguam Negara tidak boleh masuk campur dan hanya memainkan peranan di peringkat kedua berkaitan pendakwaan serta tidak mempunyai peranan dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, jelasnya, Peguam Negara tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam prosiding ini kerana ia berkaitan dengan masalah-masalah yang diakibatkan oleh SPRM dalam menggunakan kuasa penyiasatan mereka.

Wednesday, September 2, 2009

Idris angkat sumpah jawatan menteri

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia, Senator Datuk Seri Idris Jala, hari ini mengangkat sumpah memegang jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Istiadat itu berlangsung di Bilik Singgahsana Pelantikan, Istana Negara, sehari selepas Idris mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Foon Meng dan beberapa menteri kabinet.

Idris melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia dan kemudian menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Idris, 51, juga dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang baru diwujudkan.

Sebagai CEO Pemandu, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan inisiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi. - Bernama