Wednesday, November 4, 2009

Lelaki dituduh bunuh isteri dengan asid

GEORGETOWN: Seorang lelaki berumur 53 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh isterinya dengan menyimbah asid serta mengakibatkan kecederaan terhadap anaknya.

Tan Teik Siew, seorang pegawai pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, dituduh membunuh dengan menyimbah asid pada isterinya, Cheong Swee Lin, 50, di rumah mereka di No 146D, Jalan Batu Lanchang di sini pada jam 3 pagi 24 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.



Tiada pengakuan direkodkan.

Terdahulu, peguamnya, R.Dev Chander, memohon kepada mahkamah supaya merujuk anak guamnya ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian.

Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengkaji kertas siasatan untuk menilai sekiranya tertuduh adalah seorang yang benar-benar waras.

Majistret Noor Aini Yusof, bagaimanapun, menolak permohonan peguam dan menetapkan sebutan kes itu, menunggu keputusan bedah siasat.

Di Mahkamah Sesyen kemudiannya pula, Tan yang berpakaian kasual dengan kemeja T berkolar, berseluar pendek dan berselipar, didakwa dengan kesalahan menyebabkan kecederaan teruk terhadap anak perempuannya Tan Hui Linn, 17.

Beliau dituduh menyerang Hui Linn dengan menyimbah asid ke muka dan bahagian hadapan badannya di rumah mereka di No 146D, Jalan Batu Lanchang kira-kira jam 3 pagi pada 24 Oktober lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun itu, atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan itu.

Hakim Roslan Hamid tidak membenarkan ikat jamin keranan Tan masih menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan. - Bernama

Friday, October 23, 2009

Tian Chua dipenjara enam bulan, denda RM3,000

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencederakan seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya, dua tahun lalu.

Hukuman itu menyebabkan Tian Chua berdepan dengan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerusi tersebut mengikut peruntukan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah peruntukan itu, seorang Ahli Parlimen yang disabitkan bersalah di mana-mana mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan daripada jawatannya.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu menjatuhkan hukuman ke atas Tian Chua selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau bagaimanapun membenarkan hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Mohd. Faizi dalam keputusannya menyatakan, keterangan tertuduh ketika perbicaraan adalah tidak konsisten, berbentuk penafian semata-mata serta tanpa disokong oleh bukti-bukti.

Menurut beliau, rakaman video kejadian yang dikemukakan oleh pihak pembelaan sendiri tidak memihak kepada mereka sebaliknya menyebelahi pihak pendakwaan.

Katanya, melalui rakaman tersebut jelas menunjukkan tangkapan yang dilakukan polis adalah sah dan mahkamah tidak dapat menerima keterangan Tian Chua yang menyatakan penahanannya oleh polis adalah salah.

''Berdasarkan tayangan video itu jelas menunjukkan keengganan tertuduh untuk menyerahkan kad pengenalan dan arahan polis untuk memberhentikan kereta.

''Keterangan tertuduh yang enggan keluar dari keretanya akan menyebabkan semua orang di situ mengerumuninya di mana dakwaannya orang awam akan beranggapan bahawa dia yang mencetus perhimpunan haram juga tidak boleh diterima oleh mahkamah,'' katanya.

Chua didapati bersalah mencederakan Konstabel Mohd. Rosyaidi Anuar, 22, ketika anggota polis itu sedang menjalankan tugasnya pada satu perhimpunan di Parlimen, 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa perbicaraan, doktor yang merawat Rosyaidi, Dr. Norzilawati Ahmad dalam keterangannya mengesahkan gigitan pada lengan anggota polis itu adalah satu gigitan yang kuat dan meninggalkan kesan.

Chua, 46, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang diwakili tiga peguam bela, Ranjit Singh, Amer Hamzah Arshad dan Radzlan Hadri.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, para peguamnya memohon mahkamah mengambil kira Perkara 48 tersebut memandangkan anak guamnya merupakan seorang wakil rakyat yang perlu menjalankan tanggungjawabnya kepada masyarakat.

Menurut Amer, sekiranya jawatan Chua dilucutkan, ia bukan sahaja menghukum anak guamnya malahan menghukum rakyat kerana pilihan raya kecil perlu dilakukan.

Bagaimanapun, Mohd. Faizi menolak cadangan itu dan menyifatkan sekiranya perkara itu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman, ia seolah-olah memberikan satu keistimewaan khas kepada ahli-ahli Parlimen.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria pula menyatakan, mahkamah perlu memberi keutamaan terhadap kepentingan awam di samping ia juga melibatkan sikap individu berkenaan terhadap pematuhan undang-undang negara.

Menurutnya, tertuduh sepatutnya menghormati dan mematuhi arahan mahkamah serta polis ketika itu dengan memberi kerjasama.

Sebaliknya, katanya, kejadian itu jelas menunjukkan tertuduh memandang remeh undang-undang negara dan mahkamah harus mengenakan hukuman berat.

Mohamad Hanafiah mengendalikan pendakwaan bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof dan Lee Keng Fatt.

Saturday, September 5, 2009

Peguam Negara tiada locus standi

SHAH ALAM 4 Sept. - Kerajaan Negeri Selangor mendakwa Peguam Negara tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk memulakan prosiding bagi membatalkan pekeliling yang melarang kakitangannya ditemu duga oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di luar pejabat dan luar waktu bekerja.

Alasan itu dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim bagi menyokong permohonannya untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail.

Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Fahda Nur & Yusmadi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 4 petang ini.

Turut difailkan ialah afidavit balasan Abdul Khalid terhadap saman pemula tersebut.

Menurut afidavit sokongan tersebut, Abdul Gani tidak mempunyai locus standi kerana pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor pada 22 Julai lalu hanya berkait langsung dengan SPRM yang merupakan sebuah badan berkanun.

Sebaliknya, dakwa Abd. Khalid, SPRM yang sepatutnya bertindak sebagai plaintif kerana suruhanjaya itu yang terjejas secara langsung melalui pekeliling tersebut.

Di samping itu, beliau mendakwa cara yang digunakan untuk memulakan prosiding sepatutnya melalui writ saman dan bukan saman pemula kerana terdapat banyak isu dan fakta yang dipertikaikan dan hanya boleh diputuskan dalam perbicaraan melalui pemeriksaan balas.

Abd. Khalid juga menyatakan, Peguam Negara tidak boleh masuk campur dan hanya memainkan peranan di peringkat kedua berkaitan pendakwaan serta tidak mempunyai peranan dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, jelasnya, Peguam Negara tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam prosiding ini kerana ia berkaitan dengan masalah-masalah yang diakibatkan oleh SPRM dalam menggunakan kuasa penyiasatan mereka.

Wednesday, September 2, 2009

Idris angkat sumpah jawatan menteri

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia, Senator Datuk Seri Idris Jala, hari ini mengangkat sumpah memegang jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Istiadat itu berlangsung di Bilik Singgahsana Pelantikan, Istana Negara, sehari selepas Idris mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Foon Meng dan beberapa menteri kabinet.

Idris melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia dan kemudian menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Idris, 51, juga dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang baru diwujudkan.

Sebagai CEO Pemandu, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan inisiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi. - Bernama

Saturday, August 29, 2009

Peguam tak amanah kena 5 tahun, sebat

AMPANG: Selepas 14 tahun dibicarakan, seorang peguam akhirnya dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM100,000.

Hakim Noradidah Ahmad membuat keputusan berkenaan ke atas R Chandrasekaran, 48, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, Noradidah membenarkan hukuman penjara dan sebatan itu ditangguhkan sementara bagi memberi laluan Chandrasekar memfailkan rayuannya.

Chandrasekar dituduh melakukan pecah amanah membabitkan RM99,969.52 yang diamanahkan kepadanya selaku pemegang amanah bagi pembelian tanah seluas 59 hektar (147 ekar) yang bernilai RM10 juta di Ulu Yam, Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat sebuah firma guaman di No 48-3, Jalan Memanda, Ampang Point, antara 23 Disember 1995 hingga 10 Jun 1996.

Thursday, August 6, 2009

Inkues Teoh: 2 kemungkinan punca kematian

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini diberitahu terdapat dua kemungkinan punca kematian Teoh, sama ada ia satu kemalangan atau sebaliknya.

Ahli Kimia Dr Seah Lay Hong, ketika yang ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh pegawai penyiasat, ASP Ahmad Nazri Zainal.

Sebelum itu, beliau menegaskan Ahmad Nazri tidak pernah menyatakan kepadanya bahawa kematian Teoh disebabkan pembunuhan.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam.

Mendiang sebelum itu memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Sementara itu, timbul suasana tegang pada prosiding inkues di sesi petang apabila Gobind Singh tidak henti-henti mengasak Seah dengan menanya pelbagai soalan berhubung deoxyribonucleic acid (DNA).

Walaupun Koroner Azmil Muntapha Abas cuba mencelah dengan meminta Gobind memahami apa yang diberitahu ahli kimia itu, Gobind tetap bertegas untuk mengajukan soalan.

Pada awalnya Gobind mempertikai mengapa Seah tidak melakukan calitan pada semua bahagian di seluar panjang, kemeja T, tali pinggang, seluar dalam dan jaket milik Teoh kerana beranggapan ia amat penting bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

Bagaimanapun, Seah berkata tidak semua eksibit itu mempunyai kawasan kontak dan DNA tidak akan diambil pada bahagian yang mempunyai kesan darah.

Seah sesekali menempelak Gobind supaya memahami kerja-kerja seorang saintis dan memberitahu Gobind bahawa beliau tahu apa yang perlu dibuat atau sebaliknya ke atas eksibit yang diserahkan oleh pegawai penyiasat.

Selain itu Gobind turut mempersoal mengapa Seah tidak meminta gambar keadaan mayat Teoh bagi memudahkannya membuat analisis. Bagaimanapun, Seah berkata ia tidak perlu.

Thursday, July 30, 2009

Seri Paduka hadir Mesyuarat Raja-Raja


YANG di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin mendengar sesuatu diperkatakan Najib sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru Petra Jaya, Kuching, semalam.


KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin semalam, berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 di Kompleks Dewan Undangan Negeri baru Petra Jaya, di sini.

Seri Paduka diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Pemangku Raja Kelantan, Johor oleh Tunku Mahkota Johor, Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu dan Pahang oleh Tengku Besar Pahang.

Ia dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka turut hadir.

Mengiringi Sultan dan Yang di-Pertua Negeri pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing, kecuali Kelantan dan Pahang yang diwakili Timbalan Menteri Besar masing-masing.

Ini kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah mesyuarat itu selepas kali pertama pada 1972 dan yang kedua pada 1992.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah mengenai pertahanan, keselamatan, agama dan pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Seri Paduka dan Tuanku Nur Zahirah, selamat berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada kira-kira jam 3.20 petang semalam, selepas berada di sini selama lima hari.

Terdahulu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut berlepas pulang kira-kira pada jam 2 petang dengan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sunday, July 19, 2009

Tubuh suruhanjaya diraja

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan
AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 18 Julai - Keputusan sama ada perlu diwujudkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat insiden kematian Teoh Beng Hock kelmarin akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pandangan dari pelbagai pihak penting bagi menentukan sama ada penubuhan suruhanjaya itu wajar atau sebaliknya.

"Kita akan bincang dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berada di luar negara.

"Kita akan teliti pandangan daripada pelbagai pihak sama ada wajar, perlu atau sebaliknya. Ini akan diputuskan oleh Kabinet," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Koperasi Negara di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas desakan beberapa pihak yang mahu sebuah suruhanjaya diraja atau badan bebas diwujudkan bagi menyiasat kematian Beng Hock, 30, yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam kelmarin.

Beng Hock yang dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan salah seorang saksi untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan digantikan dengan perundangan baru, beliau berkata, usaha itu kini dalam penelitian pihak kerajaan.

"Sebenarnya, Perdana Menteri telah membuat kenyataan bahawa perkara ini akan diteliti, ISA akan dikaji, (usaha meneliti dan mengkaji) sedang pun dibuat.

"Tentu ada beberapa perkara akan dilakukan. Maknanya ia tidak akan kekal dalam status yang ada sekarang (tetapi) sama ada pengubahsuaian, penambahbaikan atau ditukar kepada akta yang lain, itu akan dikaji oleh sebuah jawatankuasa.

Ditanya adakah kemungkinan ISA dimansuhkan, jelas Muhyiddin: "Saya tak boleh hendak buat andaian, perkara ini pastinya akan dikaji dan diteliti terlebih dahulu

Saturday, July 18, 2009

Washington perlu dengar suara NAM

Minda Pengarang:

SEBUT saja badan dunia sama ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) atau Kesatuan Eropah (EU), semuanya begitu gah. Tetapi, hingga banyak isu dunia, khasnya isu Palestin, gagal diselesaikan dengan alasan yang pelbagai. Begitu banyak resolusi dipersetujui oleh hampir semua persidangan pertubuhan berkenaan, tetapi dari segi tindakan ia masih berada pada tahap lama. Selagi Israel menjadi 'anak emas' Amerika Syarikat (AS) selagi itu usaha menangani isu Palestin-Israel akan menemui jalan buntu. Kita tidak pasti sejauh mana usaha terbaru NAM yang sekali lagi mendesak supaya rakyat Palestin mendapat semula tanah mereka yang dirampas Israel itu, akan berjaya. Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku jurucakap Asia pada Sidang Kemuncak NAM di Sham-El-Sheikh, Mesir memperbaharui komitmen rantau ini untuk terus menyokong usaha pertubuhan itu mendapatkan semula hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka yang terus digenggam Israel. Namun, sesuatu yang harus dibanggakan ialah semakin banyak blok dan negara yang menyatakan pendirian sama seperti Asia, termasuk negara rantau Afrika, Amerika Selatan dan Kepulauan Carribean serta Eropah. Malaysia daripada awal lagi bukan saja lantang bersuara untuk memperjuang nasib Palestin, malah memberi bantuan material. Malah, ketika Malaysia mengetuai NAM dan OIC, suara mendesak Israel untuk berundur dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza begitu menonjol, tetapi dunia sedar desakan demi desakan seperti itu ibarat 'air dicurah ke daun keladi'.

Sidang Majlis Keselamatan PBB pada 9 Januari lalu meluluskan satu ketetapan mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza, tetapi sehingga kini masih gagal dilaksanakan kerana AS terus menggunakan kuasa vetonya, iaitu kali ke-28 dalam tempoh 36 tahun sejak 1973 untuk menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak. Namun, diharapkan dengan pembaharuan komitmen Sidang Kemuncak NAM kali ini, akan memberi impak ke atas nasib penduduk Palestin apatah lagi pentadbiran Rumah Putih Amerika Syarikat sudah bertukar tangan kepada Barack 'Hussein' Obama yang bersikap lebih terbuka dalam isu Asia Barat. Contohnya, Washington baru-baru ini menyarankan Tel Aviv memberhentikan semua kegiatan membina penempatan, tetapi pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, enggan melakukannya. Kita mahu melihat komitmen lebih tegas Obama, bukan lagi yang berbentuk retorik atau gesaan semata-mata. Diakui sejak penubuhan NAM pada September 1961, pertubuhan dianggotai 114 negara itu sentiasa menerajui usaha membebaskan negara Asia dan Afrika daripada cengkaman serta belenggu percaturan kuasa besar dunia. Kini, NAM terus gigih membebaskan Palestin serta di seluruh rantau Arab daripada kekejaman dan cengkaman Israel. Kita berharap segala usaha itu akhirnya akan mencapai hasrat mewujudkan orde baru antarabangsa yang lebih saksama, makmur, aman, tidak berkonfrontasi, berteraskan prinsip undang-undang antarabangsa serta tidak tunduk kepada telunjuk kuasa besar. Washington dan Obama perlu mendengar suara NAM, OIC dan EU itu kerana ketika suasana ekonomi global agak muram, dunia yang tidak aman akan memeritkan lagi keadaan.

Friday, July 10, 2009

Persediaan imbangi ekonomi negara (MPEN)

Oleh Norfatimah Ahmad dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my
Ahli MPEN pastikan rakyat dapat manfaat

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang baru dilantik meletakkan sasaran untuk memastikan model ekonomi baru yang bakal dilaksanakan mampu memberi kesan bagi manfaat rakyat dan negara menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global.

Mereka berpendapat kesungguhan kerajaan membentuk MPEN untuk memacu ekonomi negara ke landasan yang lebih kukuh, bersesuaian dengan gelombang perubahan dalam pelbagai bidang ekonomi di semua peringkat.

Ketua Pengarah Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis), Dr Mahani Zainal Abidin, berkata amanah itu akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan potensi ekonomi negara dan kekangan pada peringkat global diseimbangkan.

"Persediaan untuk mengimbangi situasi ekonomi dalam dan luar negara penting kerana ia dapat menyediakan rakyat dan negara dengan pelbagai keadaan dalam usaha penstrukturan ekonomi," katanya ketika dihubungi semalam.

Wanita tunggal dilantik ahli MPEN itu berkata, beliau akan memastikan idea yang diketengahkan dapat membentuk ekonomi baru yang berdaya saing menerusi sistem yang cekap tanpa mengabaikan usaha menaikkan taraf hidup rakyat.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Isis, Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof pula menganggap jumlah keahlian yang kecil berbanding lebih 40 yang menganggotai Majlis Ekonomi Negara akan meningkatkan keberkesanan MPEN.

"Ahli MPEN akan lebih fokus, berbincang pelbagai isu dan menghasilkan cadangan yang lebih baik terutama dalam usaha merangka draf model ekonomi baru yang bukan saja mengambil kira aspek pertumbuhan ekonomi, malah sumbangan yang dijangka daripada pelaksanaannya," katanya.

Sehubungan itu, Zainal Aznam berkata, kerjasama rapat MPEN dengan pelbagai agensi berkaitan penting dengan menggariskan secara khusus bentuk tugas, tanggungjawab dan fungsi yang boleh dilaksanakan untuk menyumbang ke arah kebaikan ekonomi negara.

Presiden Dewan Perniagaan Amerika Syarikat, Datuk Nicholas S Zefferys, berkata MPEN akan menilai dan merangka strategi ekonomi Malaysia dalam merealisasikan Wawasan 2020 menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Kami akan menilai dan berbincang mengenai strategi bagi memacu ekonomi Malaysia selaras hasrat dan visi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zefferys berkata, banyak idea ingin diutarakan dalam MPEN tetapi yang pasti anggota MPEN bersedia dan menerima tanggungjawab ini.

Bekas Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Profesor Dr Norma Mansor yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha MPEN pula berkata, pihaknya bertanggungjawab membantu Pengerusi MPEN, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz memastikan operasi sekretariat berjalan lancar.

"Selain menyediakan maklumat dan data yang diperlukan ahli MPEN, sekretariat akan menjalankan penyelidikan membabitkan isu ekonomi baru," katanya.

AHLI MAJLIS PENASIHAT EKONOMI NEGARA

Pengerusi

Tan Sri Amirsham Abdul Aziz



Lulusan Ekonomi Universiti Malaya

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad

Ketua Setiausaha

Prof Dr Norma Mansor

Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya, Sarjana (Pentadbiran Awam) dan PhD Universiti Liverpool, United Kingdom

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

Ahli Jawatankuasa Akademik, Institut Polisi Awam dan Perhubungan Antarabangsa (Inpuma)

Ahli

Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Sarjana Muda Farmasi USM dan Sarjana Sains (Farmakologi) University of Scrathclyde, Glasgow

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Ahli Majlis Inovasi Negara

Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof


PhD ekonomi Universiti Oxford, United Kingdom

Ahli Majlis Ekonomi Negara

Bekas perunding Pertubuhan Pembangunan Industri Bangsa-Bangsa Bersatu (Unido) dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Bank Dunia

Datuk Dr Hamzah Kassim


Lulusan Undang-Undang Universiti Malaya

Ahli penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF)

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri perundingan peringkat antarabangsa dan sektor awam

Dr Mahani Zainal Abidin


PhD Pembangunan Ekonomi University of London

Ketua Pengarah Isis

Bekas Ketua Pasukan Petugas Khas Globalisasi dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)

Datuk Andrew Sheng


Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Bristol, United Kingdom

Ketua Penasihat China Banking Regulatory Commission

Pengarah Qatar Financial Centre Regulatory Authority

Datuk Nicholas S Zefferys


40 tahun pengalaman sebagai penasihat korporat syarikat multinasional pelbagai bidang termasuk elektronik, pembuatan dan kewangan

Ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat dalam dan luar negara

Presiden Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham)

Dr Yukon Huang


Sarjana Muda Ekonomi Universiti Yale serta Sarjana dan PhD Universiti Princeton

Penasihat Kanan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia

Pakar kewangan dan pembangunan wilayah Asia Timur serta bekas Kesatuan Soviet

Bekas Pengarah Bank Dunia pertama di China dan Pengarah Bank Dunia bagi Russia dan Asia

Dr Homi J Kharas


PhD Ekonomi Universiti Harvard dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Cambridge

Fellow kanan Wolfensohn Center for Development, Brookings Institution

Ketua Pakar Ekonomi Wilayah Asia Timur Bank Dunia

Pakar perancangan dasar pembangunan ekonomi, pembangunan sektor swasta dan perdagangan antarabangsa

Prof Dr Danny Quah


PhD Ekonomi Universiti Harvard

Ketua Jabatan Ekonomi di London School of Economics (LSE)

Pensyarah di Universiti Harvard

Penasihat Bank England, Bank Dunia dan Monetary Authority of Singapore

Wednesday, July 8, 2009

Tindakan SUltan Perak betul

PUTRAJAYA 7 Julai - Tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah betul semasa melaksanakan kuasa prerogatifnya untuk meredakan pergolakan politik Perak dan mengekalkan maruah negeri itu, kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zainun Ali.

Hakim Zainun berkata, satu daripada kuasa eksekutif yang kritikal bagi seorang raja dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengikut perlembagaan bagi mengekalkan ketenteraman awam demi kepentingan awam dan oleh itu kesedaran baginda berhubung signifikan daripada pelaksanaan kuasa prerogatifnya itu tidak boleh dipertikaikan.

''Keadaan di Perak pada masa itu boleh dianggap sebagai sudah tidak normal, tidak jika seseorang menganggapnya sebagai normal, ketegangan politik, tekanan politik yang memuncak, suspens dan pengkhianatan dan pertukaran kesetiaan politik, sebagai satu yang rutin dan semuanya dalam pekerjaan harian.

''Kematangan dan kebijaksanaan raja adalah wajib. Pelaksanaan kuasa prerogatif ini adalah lebih kritikal jika jentera kerajaan yang normal mengalami masalah,'' kata Hakim Zainun dalam penghakiman bertulisnya setebal 115 muka yang dikeluarkan hari ini.

Pada 22 Mei, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Md. Raus Sharif, Zainun dan Datuk Ahmad Maarop telah memutuskan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah, yang mengubah keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menyebelahi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar memfailkan permohonan untuk membuat rayuan, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan Khamis ini.

Hakim Zainun, dalam penghakimannya berkata, Sultan Azlan Shah adalah betul untuk mengadakan inkuiri bagi mengesahkan beberapa fakta dan untuk menilai kedudukan politik dengan betul sebelum memutuskan sama ada untuk memperkenan atau menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

''Dalam hal ini, ia mungkin kurang bijak bagi baginda untuk membuat keputusan tanpa merujuk kepada fakta.

''Sebagai contoh, jika baginda mendapati isi kandungan tiga pucuk surat daripada tiga ADUN (anggota Dewan Undangan Negeri) tidak mencukupi untuk menentukan bahawa Nizar hilang majoriti, baginda boleh, dalam melaksanakan prerogatif dan budi bicaranya, mendapatkan penjelasan mengenai fakta-fakta yang terkandung di dalam surat daripada ketiga-tiga ADUN itu,'' kata Zainun.

Oleh itu, beliau berkata, keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Sultan Azlan Shah tidak layak untuk menemu bual beberapa ADUN pada 5 Februari lalu untuk menentukan siapa yang menguasai Dewan itu adalah jelas salah.

Dalam penghakiman bertulis, Zainun juga berdepan dengan isu sama ada Nizar telah memohon bagi membubarkan DUN Perak di bawah Artikel 16(6) atau Artikel 36(2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

''Mengikut pandangan saya, penafian Nizar bahawa permohonannya bagi pembubaran itu dibuat mengikut Artikel 16(2) dibuat atas alasan yang tidak kukuh,'' kata Zainun, sambil menambah kata bahawa pada 4 Februari lalu, Nizar sama sekali menilai kedudukan politik yang tidak seimbang apabila pakatan hanya mempunyai 28 kerusi.

''Oleh itu, sama ada atau tidak ketiga-tiga ADUN itu menyokong Barisan Nasional (BN), sebenarnya Nizar tidak lagi menikmati kedudukan majoriti apabila pakatan hilang tiga kerusi dalam Dewan Negeri.

''Ringkasnya, Nizar gagal mempertikai bahawa beliau tidak hilang sokongan atau keyakinan majoriti dewan Negeri semasa beliau memohon pembubaran itu,'' katanya.

Ia menunjukkan bahawa dua ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) meletakkan jawatan mereka pada 30 Januari diikuti ADUN dari DAP, Hee Yit Foong (Jelapang), empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Februari lalu untuk memohon pembubaran DUN berikutan kebuntuan dalam Dewan negeri dengan pakatan pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi tetapi beliau menafikan bahawa beliau telah hilang keyakinan daripada majoriti dalam DUN.

Berhubung isu sama ada perlu ada usul tidak percaya diluluskan terhadap Nizar dalam Dewan Negeri, Zainun berkata, terdapat usaha alternatif dan cara-cara yang tidak berkaitan bagi melahirkan kurangnya sokongan.

''Adakah usul dibuat dalam Dewan untuk menentukan hilangnya keyakinan dari majoriti anggota satu kebiasaan di negara ini? Dan oleh itu ia mengikat?

''Ia membingungkan bahawa jika Nizar telah meletakkan keutamaan sebagai kelaziman bahawa penentuan hilang keyakinan hanya boleh diterima melalui satu usul dari dalam dewan, mengapa tindakan seperti ini tidak diambil,'' kata Zainun.

''Jika Nizar benar-benar merasakan bahawa beliau mempunyai peluang, beliau boleh memohon dengan baginda supaya sidang Dewan diadakan, yang tidakpun diadakan, sebaliknya memohon ia dibubarkan,'' katanya.

Zainun berkata, sebenarnya, pada 2 Februari, Nizar masih mempunyai satu majoriti, memandangkan anggota Dewan wanita dari Jelapang masih belum meletak jawatan.

Mengenai sama ada Sultan Azlan Shah tersilap melantik Dr. Zambry sebagai Menteri Besar yang baru, Zainun berkata: ''Melaksanakan hak prerogatif baginda, mengikut undang-undang, telah merampas hak Nizar untuk kekal sebagai Menteri Besar.

''Dalam hubungan ini, kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar tidak lagi dapat dipertahankan. Pengumuman media yang dibuat pihak Istana pada 6 Februari adalah semata-mata pengisytiharan mengenai kedudukan yang sah. Saya tidak perlu kata, sudah tentu, bahawa pelantikan Dr. Zambry dalam keadaan itu cukup-cukup di dalam lingkungan kuasa prerogatif baginda selaras dengan Perlembagaan Perak,'' katanya.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengisytiharkan bahawa beliau pada sebilang masa adalah Menteri Besar Perak.

Nizar, yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lalu selepas parti pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas memenangi 31 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-12 juga memohon pengisytiharan bahawa Dr. Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan Menteri Besar dan juga injunksi untuk menghalang beliau daripada menjalankan tugas. - BERNAMA

Friday, May 29, 2009

9 Melayu antara 40 terkaya di Malaysia

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

Syed Mokhtar, Azman kekal kedudukan

KUALA LUMPUR - 28 Mei 2009: Bilangan hartawan Melayu dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini meningkat kepada sembilan berbanding lapan tahun lalu dengan nilai aset terkumpul mereka mencecah AS$2.603 bilion (RM9.132 bilion).

Nilai aset terkumpul itu bagaimanapun 28.88 peratus lebih rendah berbanding AS$3.65 bilion (RM12.84 bilion) tahun lalu dan hanya mewakili 7.15 peratus kekayaan terkumpul semua individu dalam senarai 40 orang paling kaya Malaysia itu yang berjumlah AS$36.41 bilion (RM127.74 bilion).

Usahawan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim terus mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai orang Melayu paling kaya dan kedua paling kaya tahun ini.

Turut mengekalkan kedudukan adalah Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir pada tempat ke-3 dan Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun tempat ke-4.

Syed Mokhtar mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion), manakala Azman AS$470 juta (RM1.65 bilion).

Walaupun kekayaan Syed Mokhtar dan Azman masing-masing susut daripada AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) dan AS$700 juta (RM2.46 bilion) tahun lalu, mereka mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dan ke-11 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

Mokhzani dan Kamarudin pula masing-masing memperbaiki kedudukan dari tempat ke-20 dan ke-21 tahun lalu kepada ke-16 dan ke-19 tahun ini.

Peningkatan itu di sebalik penurunan nilai kekayaan masing-masing daripada AS$290 juta (RM1.02 bilion) kepada AS$215 juta (RM754.29 juta) dan AS$280 juta (RM982.34 juta) kepada AS$205 juta (RM719.21 juta) tahun ini.

Tiga hartawan Melayu baru yang memasuki senarai tahun ini ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holding Bhd, Tan Sri Rozali Ismail pada tangga ke-31; Pengerusi Hard Rock Cafe Enterprise Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir di tangga ke-37 dan Ketua Eksekutif Ranhill Bhd, Tan Sri Hamdan Mohamad di tangga ke-38.

Nilai aset ketiga-tiga individu itu masing-masing berjumlah AS$130 juta (RM456.08 juta), AS$100 juta (RM350.83 juta) dan AS$98 juta (RM343.82 juta).

Dua hartawan Melayu lain yang turut berada dalam senarai itu ialah Pengarah Eksekutif Westports, Ahmayuddin Ahmad di tempat ke-25 dengan nilai kekayaan AS$175 juta (RM613.96 juta) dan Pengarah Gamuda Bhd, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah di tempat ke-35 dengan nilai kekayaan AS$110 juta (RM385.917 juta).

Bagaimanapun, Pengerusi Naim Cendera Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Nazir Razak masing-masing berada di tempat ke-30 dan ke-40 tahun lalu terkeluar daripada senarai '40 Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

Sementara itu, peneraju Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok dan ahli perniagaan Ananda Krishnan mengekalkan kedudukan sebagai rakyat Malaysia paling kaya.

Kekayaan Kuok adalah AS$9 bilion, turun daripada AS$10 bilion tahun lalu, manakala Ananda pula AS$7 bilion, turun daripada AS$7.2 bilion. Kuok dan Ananda juga adalah orang paling kaya di Asia Tenggara.

Rakyat Malaysia ketiga paling kaya pula ialah Pengerusi Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan kekayaan AS$3.2 bilion, turun daripada AS$5.5 bilion tahun lalu.

Forbes Asia dalam kenyataannya berkata, jumlah terkumpul kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia AS$36 bilion bagi tahun ini merosot 22 peratus berbanding AS$46 bilion tahun lalu sejajar kejatuhan 21 peratus pasaran saham tempatan dan penurunan 10 peratus nilai ringgit berbanding dolar AS.

Katanya, pengiraan nilai kekayaan individu dalam senarai itu dibuat berdasarkan harga saham syarikat yang dikuasai dan kadar pertukaran mata wang daripada 15 Mei lalu.

Bagi aset yang tidak disenaraikan pula, ia menggunakan maklumat daripada firma biro kredit BRIS Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sumber lain untuk membuat anggaran nilainya jika aset itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

Saturday, May 16, 2009

Kepulauan Spratly kembali panas

Oleh AZMI HASSAN



Gambar dari udara yang dirakam oleh Tentera Udara Filipina pada November 2003 yang menunjukkan China membina bangunan di Terumbu Mischief, Kepulauan Spratly.

--------------------------------------------------------------------------------



APA sahaja isu yang berkaitan dengan Kepulauan Spratly dan Paracel yang terletak di Laut China Selatan sudah pasti mengundang reaksi yang agak keras. Kawasan tersebut sedang menyaksikan tuntutan bertindih antara beberapa negara.

Sudah agak lama tidak kedengaran berita mengenai tuntutan kepulauan tersebut kerana negara yang terlibat seperti China, Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia lebih selesa mengekalkan status-quo.

Tetapi sejak kebelakangan ini, berlaku beberapa peristiwa yang boleh mencetuskan kembali suasana panas di Spratly dan Paracel. Kesemuanya berlaku ekoran tindakan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) yang meminta penghujahan daripada negara-negara terbabit dalam usaha memperjelaskan batas-batas luar tuntutan maritim sesebuah negara apabila pelantar benua menganjur lebih 200 batu nautika dari sesuatu garis dasar seperti pantai negara itu. Tarikh akhir penghantaran hujahan adalah pada 13 Mei lalu.

Ekoran permintaan CLCS, kerajaan Filipina pada Mac lepas telah mengisytiharkan pembentukan undang-undang garis dasar maritim yang boleh dianggap sebagai bakal menghidupkan kembali sensitiviti tuntutan bertindih Kepulauan Spratly.

Pengumuman oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo tersebut mendapat bantahan keras daripada Beijing. Ini kerana China terlibat secara langsung terhadap kesan pembentukan garis dasar tersebut. Jika diteliti unjuran garis dasar Filipina, maka sudah pasti Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough yang juga dituntut oleh Beijing, adalah milik Manila.

Beijing membantah keras tindakan Manila kerana ia telah mengugat status-quo isu tuntutan bertindih yang melibatkan Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough.

Beijing bukan sahaja membuat bantahan diplomatik, tetapi mengambil tindakan lebih nekad dengan menghantar kapal peronda Yuzheng 311 ke kawasan itu.

Kehadiran Yuzheng 311 sudah pasti tidak disenangi oleh negara lain kerana tafsiran yang mudah ialah Beijing sanggup menggunakan kekuatan tentera untuk melindungi hak mereka.

Insiden tahun 1995 sudah pasti menghantui semula apabila Beijing menggunakan segala kekuatan tentera laut mereka untuk menawan semula Terumbu Mischief yang diduduki oleh tentera Filipina.

Jurucakap Kementerian Luar China bagaimanapun memberi jaminan bahawa kehadiran Yuzheng 311 tidak memberi makna bahawa Beijing akan mengabaikan proses rundingan penyelesaian tuntutan bertindih ke atas Spratly dan Paracel.

Malah Beijing akan tetap terus mematuhi Deklarasi Mengenai Tatacara Pihak Berkenaan di Laut China Selatan yang ditandatangani bersama dengan ASEAN pada 2002. Salah satu sebab utama mengapa deklarasi ASEAN-China tersebut diwujudkan ialah untuk mengelak daripada berulangnya insiden 1995.

Akibat pergeseran Beijing dan Manila, Menteri Luar Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, menekankan bahawa Kuala Lumpur tidak akan mengambil tindakan melulu sebagai balasan terhadap tindakan Beijing tersebut. Malah akan mempergiatkan lagi rundingan selaras dengan deklarasi ASEAN-China seperti yang dipersetujui oleh semua pihak.

Tetapi apabila Malaysia dan Vietnam beberapa hari lepas mengemukakan hujah masing-masing kepada CLCS mengenai batas maritim yang dituntut, China sekali lagi mengemukakan bantahan kepada PBB. Walaupun kapal perang tidak dihantar ke kawasan berkenaan tetapi kenyataan keras yang dikeluarkan sudah pasti akan mengeruhkan lagi suasana.

Antara lain Beijing menekankan bahawa mereka memiliki "kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan" dan tidak akan bertolak-ansur terhadap negara-negara lain yang turut menuntut pulau-pulau berkenaan.

Secara khususnya beberapa gugusan Kepulauan Spratly milik Malaysia seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau adalah termasuk dalam amaran yang dikeluarkan oleh Beijing.

Perlu ditekankan Angkatan Tentera Malaysia telah menempatkan aset serta anggota tentera di gugusan Kepulauan Spratly milik negara. Ekoran daripada amaran terbaru Beijing itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar telah menegaskan operasi rondaan tetap dijalankan seperti biasa dan memastikan kehadiran ATM untuk mengesahkan hak milik Malaysia.

Setakat ini, Beijing belum lagi mengambil tindakan secara fizikal untuk menafikan tuntutan Malaysia kepada CLCS seperti yang telah dilakukan terhadap Manila dengan menghantar kapal peronda Yuzheng 311.

CLCS setakat ini telah menerima hujahan tuntutan maritim dari 48 negara yang kebanyakannya merupakan tuntutan bertindih. Selain daripada tuntutan ke atas Kepulauan Spratly, pertikaian sempadan maritim Rusia-Denmark, Jepun-Rusia dan Britain-Argentina mengenai Kepulauan Falklands juga diterima oleh CLCS.

Sebenarnya, Beijing tidak perlu mengambil tindakan yang agak agresif ekoran hujahan Manila, Hanoi dan Kuala Lumpur kepada CLCS. Ini adalah kerana suruhanjaya tersebut tidak akan menerima sebarang hujahan penempatan sempadan yang mempunyai tuntutan yang bertindih.

Apabila Beijing menegaskan mereka mempunyai hak yang tidak boleh dipertikaikan ke atas Kepulauan Spratly, hujah yang sama juga telah digunakan oleh Manila, Hanoi dan Kuala Lumpur iaitu mengambil kira peruntukan yang dibenarkan oleh Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Peraturan Prosedur CLCS.

Seperti yang telah ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kuala Lumpur mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan tuntutan bertindih itu selain dibantu oleh prinsip undang-undang antarabangsa. Beijing tidak boleh terlalu angkuh dan sensitif kerana negara lain juga mempunyai hak yang serupa.

Beijing perlu mengehadkan penggunaan pendekatan fizikal melalui aset tentera laut mereka kerana ini bakal mengundang tindakan serupa dari negara lain.

Negara yang terlibat sudah pasti tidak mahu terjerumus dalam senario yang agak melampau seperti yang dilakukan oleh Moscow pada 2007 apabila menempatkan bendera di dasar laut Kutub Utara ekoran pertindihan tuntutan dengan Copenhagen.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Friday, April 17, 2009

Agensi MECD diserap ke 8 Kementerian...MARA bawah Kementerian Luar Bandar

Fungsi semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dibubarkan, akan diserapkan ke lapan kementerian lain bagi memastikan peranan utama MECD diteruskan dan diberikan penekanan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah itu bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, memperluaskan dan mempercepatkan pembabitan Bumiputera dalam arus pembangunan ekonomi negara, membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rabu, fungsi Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Najib berkata, Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia juga turut dipindahkan ke kementerian berkenaan.

Sementara itu, katanya, Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Anatarbangsa dan Industri (MITI).

Dalam pada itu, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala Pusat Khidmat Kontraktor pula dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya.

Menurut beliau, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar, Perbadanan Nasional Bhd dan Bank Rakyat pula dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sementara Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TekunN) pula ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain itu, katanya, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan University (Maju) pula dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi.

MECD dibubarkan berikutan pelantikan anggota pentadbiran yang baru di bawah Kabinet pada 10 April lalu selepas Najib dilantik Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Badawi. - 15/4/2009

Friday, April 10, 2009

Pengimpal besi ditahan tanam pokok ganja

BALIK PULAU- 09 April 2009: Polis menahan seorang pengimpal besi kerana memiliki tujuh batang pokok ganja yang ditanam di dalam rumahnya di Sungai Pinang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Hatta Md Zain berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, polis melakukan serbuan di rumah berkenaan pada kira-kira jam 5.45 petang serta menahan lelaki berusia 22 tahun itu.

"Polis menemui tujuh batang pokok ganja yang dianggarkan berusia kira-kira dua bulan yang ditanam di dalam pasu di rumah yang disewa lelaki berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui satu paket plastik yang mengandungi ganja dan resin ganja di rumah lelaki yang juga penduduk kawasan berkenaan.

"Pokok-pokok berkenaan dipercayai ditanam menggunakan benih ganja dan setiap pokok yang mencapai tempoh matang dalam masa lima bulan ke atas boleh menghasilkan 200 gram ganja," katanya.

Hatta berkata, polis sudah mengambil semua pokok ganja itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

"Kita kini sedang mengenal pasti sama ada lelaki berkenaan menanamnya untuk kegunaan sendiri, dijual atau ada tujuan lain," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang positif ganja itu kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. - Bernama

Thursday, April 9, 2009

SPR berhak isytihar kedudukan tiga kerusi di Perak

09/04/2009 2:34pm


PUTRAJAYA 9 April – Mahkamah Persekutuan memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah entiti yang paling berhak mengisytiharkan kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Ini bermakna tiga ADUN bebas, Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Mohd. Osman Jailu (Changkat jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) masih merupakan ADUN yang sah bagi ketiga-tiga kawasan itu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff. - Utusan

Senarai penuh barisan Kabinet baru Datuk Seri Najib

09/04/2009 4:23pm


KUALA LUMPUR 9 April - Berikut ialah senarai penuh barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

PERDANA MENTERI : Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin

JABATAN PERDANA MENTERI:

Menteri:

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T. Murugiah

KEMENTERIAN KEWANGAN:

Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

Menteri II: Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan Menteri:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr. Awang Adek Hussin

KEMENTERIAN PELAJARAN:

Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Dr. Mohd Puad Zarkashi

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN:

Menteri: Datuk Ong Tee Keat

Timbalan Menteri:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

KEMENTERIAN PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Menteri: Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN DALAM NEGERI:

Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Menteri: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim

Timbalan Menteri:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Menteri: Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan Menteri: Noriah Kasnon

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan Menteri:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:

Menteri: Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr. Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Menteri: Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Menteri: Datuk Dr. Maximus Ongkili

Timbalan Menteri: Fadillah Yusof

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Menteri: Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup

KEMENTERIAN PELANCONGAN:

Menteri: Datuk Ng Yen Yen

Timbalan Menteri: Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Menteri: Datuk Noh Omar

Timbalan Menteri:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PERTAHANAN:

Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN KERJA RAYA:

Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN KESIHATAN:

Menteri: Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:

Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan Menteri:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA:

Menteri: Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan: Datuk Maznah Mazlan

KEMENTEIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Menteri: Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Menteri: Datuk Kong Cho Ha

Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Menteri: Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan Menteri: Datin Paduka Chew Mei Fun

KEMENTERIAN LUAR:

Menteri: Datuk Anifah Aman

Timbalan Menteri:

1. A. Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:

Menteri: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan Menteri: Datuk M. Saravanan

Wednesday, April 8, 2009

Mahkamah Persekutuan tentukan isu Perlembagaan Perak

08/04/2009 4:26pm


PUTRAJAYA 8 April - Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan bahawa ia akan mendengar dan membuat keputusan berhubung isu perlembagaan mengenai siapa yang berkuasa mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sebagai kosong.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang mengetuai panel lima hakim, membuat keputusan bahawa mahkamah itu mempunyai bidang kuasa mendengar isu berhubung Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, dan sebulat suara menolak bantahan awal Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar, yang mencabar perkara itu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Empat hakim lain yang bersidang bersama beliau ialah Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Datuk S. Augustine Paul, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk James Foong.

Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Perak — Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) — telah memohon agar saman mereka terhadap Sivakumar dirujuk ke Mahkamah Persekutuan berdasarkan Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak 1957.

Isnin lepas, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Sivakumar, membantah permohonan itu dengan alasan Mahkamah Persekutuan tidak ada bidang kuasa berurusan mengenai Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak kerana ianya satu undang-undang yang digubal sebelum Merdeka. - Bernama

Friday, April 3, 2009

Najib pelengkap teori 'Rahman'

HARI ini tercatat satu lagi sejarah apabila Datuk Seri Najib Razak, 55, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-6, muda setahun daripada usia Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mula menyandang jawatan itu pada 1981.

Tetapi ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein lebih muda ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri pada 1970 ketika berusia 52 tahun, manakala Tun Hussein Onn berumur 54 tahun ketika mengangkat sumpah jawatan sama pada 1976.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berumur 54 tahun apabila dilantik ke jawatan itu sebaik negara merdeka pada 1957.

Ini bermakna semua Perdana Menteri berusia 56 tahun ke bawah, kecuali Perdana Menteri ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang berusia 63 tahun ketika mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Negara pada 31 Oktober 2003, sebulan sebelum menyambut hari lahir ke-64.

Dengan Najib mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pagi ini, diikuti majlis penyerahan jawatan antaranya dan Abdullah di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada sebelah petang, maka lengkaplah peralihan kuasa kepemimpinan negara iaitu kesinambungan penyerahan kuasa antara yang paling tersusun dalam sejarah politik Asia.

Hari Jumaat – penghulu segala hari bagi umat Islam dan Jumaat jugalah ketika Abdullah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri lima tahun enam bulan lalu, diikuti majlis penyerahan kuasa daripada Dr Mahathir di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Najib dijangka membuat pengumuman penting tetapi ringkas pada ucapan pertamanya dalam rakaman khas selepas majlis penyerahan kuasa petang ini untuk disiarkan di televisyen pada kira-kira jam 8 malam ini.

"Ucapan ini cuma mengambil masa tiga atau empat minit tetapi padat dengan pengumuman. Bagaimanapun, ucapan sulungnya untuk rakyat, yang sedang dirangka akan dilakukan pada suatu tarikh yang belum ditetapkan," kata pembantunya.

Ini juga bermakna, sudah dua kali upacara penyerahan kuasa berlaku di Tingkat Lima Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya itu – pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang diasaskan oleh Dr Mahathir.

Penyerahan kuasa antara Tun Hussein dan Dr Mahathir pada 16 Julai 1981 berlangsung di Jabatan Perdana Menteri yang ketika itu terletak di Jalan Dato Onn di ibu negara. Pada sebelah pagi tarikh itu, Tun Hussein menyaksikan Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, majlis serupa penyerahan kuasa antara Perdana Menteri kedua dan ketiga tidak berlaku berikutan kematian mengejut Tun Razak pada 14 Januari 1976 ketika masih memegang jawatan. Tun Hussein mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketiga di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Yahya Petra, sehari selepas Tun Razak meninggal dunia.

Tetapi Tunku menyaksikan Tun Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai penggantinya pada 22 September 1970, hari yang sama Tunku menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kedah yang juga anak saudaranya. Ia adalah juga tugas rasmi pertama Tuanku Abdul Halim, sehari selepas baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima.

Jika tiada aral melintang dan Dr Mahathir hadir di Istana Negara pagi ini, bermakna beliau sempat menyaksikan majlis angkat sumpah dua Perdana Menteri ketika hayatnya, tetapi Tunku sempat menyaksikan tiga Perdana Menteri berbuat demikian iaitu Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Mahathir.

Dengan itu juga, lengkaplah teori 'Rahman' – bermula dengan huruf 'R bermaksud Tunku Abdul Rahman, diikuti Abdul Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan diakhiri huruf 'N' untuk Najib.

Selepas Rahman apa pula? Bagaimana pula jika kita ciptakan perkataan 'Mahathir' untuk kepemimpinan seterusnya? Apakah huruf 'M' nanti akan bermaksud Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 62, yang bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri apabila Najib mengumumkan rombakan Kabinetnya tidak lama lagi.

Selepas 'M' ialah 'A' yang boleh dikaitkan dengan nama Naib Presiden Umno paling kanan sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 56, manakala huruf 'H' selepas itu, boleh dipadankan dengan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 47.

Selepas 'H', adalah huruf 'A', 'T', 'H', 'I' dan 'R'. Sudah tentu penyokong kuat Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak bersetuju dengan teori 'Mahathir' ini kerana tiada huruf 'K' di situ. Namun, ia cuma suatu teori yang tidak semestinya boleh dipercayai atau menjadi kenyataan.

Kita tidak tahu sebenarnya siapa pencipta teori 'Rahman' itu, tetapi pada suatu ketika apabila Tun Musa Hitam dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri selepas Dr Mahathir, teori itu sudah nampak tempang atau mula kelihatan tidak menjadi.

Selama lima tahun, orang tidak bercakap mengenai teori itu sejak Musa dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1981 sehinggalah meletak jawatan pada 1986 ketika berusia 52 tahun. Tempatnya kemudian digantikan oleh Tun Abdul Ghafar Baba (1986-Oktober 1993), barulah teori itu muncul semula tetapi ramai juga ketika itu tidak yakin Ghafar akan naik menjadi Perdana Menteri kerana beliau dilihat lebih kepada tempoh peralihan sementara menunggu calon sesuai.

Bagaimanapun, teori itu kelihatan mula menjadi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menggantikan Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 Oktober 1993. Sepanjang lima tahun itu, Anwar seakan-akan bakal pengganti Dr Mahathir sehinggalah musibah menimpanya pada 1998.

Rupa-rupanya, huruf 'A' selepas 'M' dalam teori 'Rahman' itu ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, orang yang paling gembira hari ini ialah Tun Rahah Mohd Noah, ibu Najib – keluarga yang melahirkan dua Perdana Menteri. Tun Rahah yang kini berusia 75 tahun mungkin tidak pernah terfikir Najib akan menjadi menteri apatah lagi Perdana Menteri seperti ayahandanya. Bagaimanapun, alhamdulillah Najib mengikut jejak ayahandanya apabila mencapai tahap tertinggi dalam kerjaya politik.

Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa menasihatkan anak supaya rajin belajar dan mendapat keputusan bagus dalam pelajaran, selain mesti bekerja kuat seperti beliau kerana Allahyarham memang seorang yang kuat bekerja.

Keperibadian Tun Abdul Razak yang ada pada Najib ialah kedua-duanya kuat bekerja dan dedikasi untuk berkhidmat kepada masyarakat. Dalam hati Allahyarham memang kuat bekerja untuk berkhidmat kepada masyarakat dan itu yang dilakukan Najib sekarang.

Tuesday, March 31, 2009

Proton pasang kereta elektrik

OLEH CYNTHIA YEOH
cynthia.yeoh@utusan.com.my

PUTRAJAYA 30 Mac - Proton Holdings Bhd. (Proton) mengunjurkan perolehan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang menerusi perjanjian strategik perlesenan dan kontrak pemasangan kereta elektrik dengan Detroit Electric Holdings Ltd (Detroit Electric) hari ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, unjuran itu berdasarkan purata pengeluaran sebanyak 40,000 buah kereta elektrik setahun.

Menurutnya, Proton telah diberi hak untuk menjual kereta elektrik di bawah jenama Proton dalam pasaran ASEAN dan juga negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di bawah kontrak perjanjian selama lima tahun itu.

''Perjanjian ini memberikan peluang untuk kami belajar dan memahami teknologi yang digunakan untuk kereta elektrik supaya dapat mengeluarkan kereta seumpama itu dengan sendiri pada masa depan.

''Kami juga berpeluang meningkatkan kapasiti pengeluaran di Tanjung Malim dengan memperkenalkan lebih komponen selain meningkatkan profail serta kemampuan Proton berikutan kereta elektrik itu akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeteraikan perjanjian dengan Detroit Electric yang diwakili oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Lam.

Turut hadir merasmikan majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Zainal Abidin berkata, Proton akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menubuhkan yayasan dan infrastruktur bagi membina kereta elektrik.

Sementara itu, Lam berkata, syarikatnya yang berpengkalan di Belanda bercadang untuk menjual sebanyak 40,000 buah kereta elektrik bagi tahun pertama

''Kami menyasarkan untuk menambah pengeluaran sebanyak 270,000 buah setahun dalam empat tahun lagi," ujarnya.

Beliau berkata, Detroit Electric dijangka membayar kira-kira RM1.2 bilion kepada Proton bagi tahun pertama pengeluaran tetapi tidak mendedahkan jumlah kos untuk kontrak selama lima tahun itu.

Tambahnya, kereta elektrik itu dijangka dikeluarkan pada akhir suku pertama tahun 2010 dan akan dieksport ke AS dan UK enam bulan kemudian.

''Usaha untuk mengeluarkan kereta elektrik besar-besaran adalah julung kali buat mana-mana pihak dan menempatkan pada kedudukan utama untuk menembusi permintaan kian meningkat bagi teknologi 'hijau'," katanya.

Lam menjelaskan, kereta elektrik akan dipasang menggunakan platform Proton Persona dan Gen-2 dengan pengubahsuaian kecil serta berkuasa bateri litium ion yang dibangunkan oleh Detroit Electric dan dipasar di bawah jenama syarikat itu.

''Kami yakin dengan sasaran jualan dan rasa ia realistik kerana pasaran ini akan terus berkembang ekoran kebimbangan terhadap alam sekitar sehingga menyebabkan kebanyakan kerajaan menggubal undang-undang untuk teknologi lebih bersih," ujarnya.

Detroit Electric menjangkakan permintaan tahunan bagi kereta elektrik sekarang antara 120,000 dan 150,000 sebuah.

Lam berkata, kereta itu akan dijual antara AS$23,000 (RM82,800) dan AS$33,000 (RM118,800) sebuah, bergantung kepada saiz bateri yang menentukan jarak destinasi.

''Kami juga merancang melabur kira-kira AS$41 juta (RM150 juta) untuk menubuhkan dua kilang di Malaysia.

''Kami masih berbincang dengan kerajaan untuk menempatkan semula kilang membuat motor dan bateri kereta dan diharapkan dapat keputusan itu dalam tempoh enam bulan," kata beliau.

Wednesday, March 18, 2009

Penangguhan kes bukan sebab mahkamah saja: Zaki

LANGKAWI: Majoriti penangguhan kes di mahkamah bukan berpunca daripada pihak mahkamah semata-mata, tetapi turut didorong beberapa faktor sampingan lain, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Musa Azmi.

Zaki yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, berkata kajian pihaknya menunjukkan hanya 20 peratus daripada kes yang ditangguhkan di Kuala Lumpur berpunca daripada pihak mahkamah, manakala selebihnya disebabkan faktor pihak lain.

"Antaranya disebabkan pihak peguam sendiri yang gagal hadir ke mahkamah termasuk akibat amalan 'double parking' (pengendalian terlalu banyak kes dalam satu masa), terutama apabila kes terbabit berlangsung serentak di dua lokasi berbeza.

"Selain itu ia turut didorong kegagalan pihak pendakwa raya menampilkan saksi atau berpunca daripada pihak tertuduh sendiri.

"Mahkamah sentiasa bersedia untuk mendengar kes. Cuma, soal prosiding ini membabitkan banyak pihak dan kegagalan salah satu daripadanya menyebabkan kes terpaksa ditangguh.

"Justeru, jangan terus salahkan mahkamah semata-mata dalam soal ini," katanya selepas menghadiri Persidangan Hakim-Hakim 2009 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Allauddin Mohd Sheriff; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria serta Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Hasnah Hashim.

Thursday, March 12, 2009

Kelas Tingkatan Enam wajar penjenamaan semula

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
TINGKATAN Enam semakin tidak popular. Pelbagai program untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antaranya matrikulasi, kursus asasi dan diploma, prauniversiti serta program persediaan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta menjadikan calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkurangan.

Kemerosotan ini memerlukan perhatian Kementerian Pelajaran kerana dikhuatiri program Tingkatan Enam yang diwujudkan sejak sekian lama untuk calon STPM yang dahulunya dikenali High School Certificate (HSC) sepi ditelan zaman.

Laporan Majlis Peperiksaan Malaysia mendapati jumlah calon menduduki peperiksaan itu menurun daripada 73,690 pada 2006, kepada 66,048 (2007) dan 53,638 tahun lalu.



Berdasarkan situasi itu perlu ada proses penjenamaan semula supaya ia lebih menarik dan mempunyai nilai komersial bagi memastikan lepasan sekolah yang menyertainya kekal berdaya saing sama ada untuk memasuki pasaran pekerjaan mahupun meneruskan pengajian di IPT.

Cadangan kerajaan mewujudkan kolej Tingkatan Enam seperti diumumkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, adalah langkah terbaik dalam memaksimumkan keupayaan pelajar senior dalam sistem pendidikan negara.

Jika di negara jiran, pelajar kategori ini akan mengikuti pengajian di kolej junior sebelum melanjutkan pengajian ke universiti tempatan mahupun luar negara.

Kajian semula perlu memberi penekanan kepada proses pembelajaran ala kampus sebagai persiapan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran IPT selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM.

Pelajar yang rata-ratanya berusia di antara 18 hingga 19 tahun ini mempunyai keistimewaan kerana masing-masing sudah melalui proses pembelajaran secara berperingkat selama 11 tahun bermula Tahun Satu.

Banyak pengetahuan serta pengalaman diperoleh sepanjang tempoh berkenaan hingga menjadikan mereka lebih bersedia berhadapan situasi mengarahkan mereka berdikari mendapatkan bahan bacaan serta rujukan tambahan.

Cadangan menyediakan asrama pula relevan kerana pergerakan mereka mudah dipantau kerana golongan ini mudah terjebak dengan unsur negatif, selain dapat mengoptimumkan alam persekolahan mereka dengan mengikuti aktiviti lebih bermakna.

Begitu juga cadangan menyediakan sekolah khas untuk pelajar Tingkatan Enam, ada baiknya hanya satu sekolah dalam sesuatu daerah melaksanakan program itu. Guru dan pelajar diasingkan supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Jika mereka berada dalam satu premis dikhuatiri wujud senario tidak kondusif dalam proses pengajaran membabitkan guru biasa dengan guru Tingkatan Enam yang sebahagian mereka memiliki gred lebih tinggi dengan tahap minimum pada DG44 hingga DG54 dan Jusa C bagi pengetua kanan.

Walaupun sesetengah pihak menganggap isu ini remeh namun bakal menimbulkan pelbagai konflik yang menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di antara guru lama yang masih berada pada gred lebih rendah berbanding rakan baru yang sudah dinaikkan ke gred lebih tinggi.

Lazimnya setiap kali kerajaan melaksanakan proses menaiktaraf pastinya akan ada lantikan baru serta kenaikan gred, keadaan itu menimbulkan reaksi positif dan negatif pelbagai pihak.

Penjenamaan semula memerlukan penelitian kerana ia membabitkan banyak pihak dari segi penyelarasan kelas hinggalah lantikan guru oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Penyelarasan serta kajian semula memerlukan nasihat pakar dalam mahupun luar negara termasuk mendapatkan pandangan daripada tokoh pendidik, selain mengadakan perbincangan dengan anggota masyarakat, industri dan IPT.

Program pelajaran selama satu tahun setengah itu perlu dipenuhi pelbagai pendidikan serta dilengkapkan dengan aktiviti nilai ditambah bukan hanya memberi tumpuan akademik semata-mata.

Pada peringkat ini, pelajar Tingkatan Enam boleh dijurus kemahiran serta pengetahuan kepada aktiviti sampingan menerusi kokurikulum yang dapat memupuk kemahiran kepimpinan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pelajar ini boleh ditugaskan untuk melaksanakan sesuatu projek untuk dimanfaatkan semua pihak antaranya untuk memajukan masyarakat sekitar.

Sebagai contoh, beliau berkata, jika sekolah menyarankan pelajar menjalani projek kemasyarakatan serta pembangunan sesuatu kawasan, mereka boleh ditugaskan menyediakan kertas kerja untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

Tahap pemikiran mereka sudah matang dan mempunyai keupayaan membuat keputusan, selain mempunyai kelebihan berkomunikasi.

"Inilah ciri istimewa yang diharapkan kerajaan kepada generasi muda hari ini, mereka bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi keadaan seimbang termasuk memiliki kemahiran insaniah.

"Kami yakin jika pelajar diberi kepercayaan pada peringkat sekolah, masing-masing mudah menyesuaikan diri apabila berada di pusat pengajian tinggi serta mampu menjadi insan lebih peka kepada persekitaran," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas hanya guru yang mempunyai gred tertentu mengajar pelajar Tingkatan Enam, Alimuddin berkata, JPA sudah mengeluarkan surat lantikan kepada guru berkenaan. Pelajar Tingkatan Enam hanya akan diajar guru gred minimum DG44. Guru berkenaan pula hanya mengajar pelajar Tingkatan Enam. Ia bagi memastikan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan.

Sebelumnya, ada guru yang mengajar Tingkatan Enam perlu mengajar pelajar lain menyebabkan masing-masing berhadapan bebanan tugas yang banyak.

Penyelarasan ini memberi peluang guru meningkatkan kemahiran serta mutu pengajaran pelbagai kaedah termasuk menyediakan perbincangan serta perbahasan dalam sesuatu topik yang dikemukakan menerusi proses pembelajaran interaktif.

Minda Pengarang: STPM perlu relevan dengan keperluan pendidikan negara

Berita Harian Online 12 Mac 09

TAHNIAH kepada 236 pelajar berjaya mencatat keputusan terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kelmarin. Namun, jika dilihat secara menyeluruh keputusan itu kurang memberangsangkan, terutama kemerosotan dari segi jumlah calon yang memperoleh prinsipal A, selain prestasi kurang memuaskan di kalangan calon sekolah luar bandar. Daripada 53,638 calon yang mengambil peperiksaan itu, hanya 3,437 calon atau 6.85 peratus lulus penuh lima mata pelajaran, manakala 18,686 calon atau 37.25 peratus lulus empat mata pelajaran. Selebihnya hanya lulus tiga atau dua prinsipal, sekali gus menyukarkan mereka memasuki pusat pengajian tinggi awam. Dalam pada itu, kita melihat arah aliran pelajar memasuki Tingkatan Enam dan mengambil STPM juga semakin merosot iaitu daripada 66,048 calon pada 2007 kepada 58,048 tahun lalu. Jika kedua-dua petunjuk ini dijadikan asas untuk melihat masa depan peperiksaan STPM, ia sesuatu yang membimbangkan dan memerlukan penelitian khusus kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran. Peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil STPM melalui Tingkatan Enam semakin merosot setiap tahun, khususnya bagi kelas Sains iaitu hanya 9,093 calon tahun lalu berbanding aliran Sastera 44,545 calon. Malah, jika kita melihat daripada 400,000 pelajar yang menduduki SPM setiap tahun, hanya lapan peratus atau sekitar 50,000 saja memasuki kelas Tingkatan Enam dan mengambil peperiksaan STPM, ia sepatutnya membuka mata semua pihak mengenai hala tuju peperiksaan berkenaan.

Sebahagian pelajar lepasan SPM mengelak memasuki Tingkatan Enam atau mengambil STPM, sebaliknya memilih menyertai program diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), kolej matrikulasi atau kolej komuniti di seluruh negara. Sebagai contoh, daripada 442,936 calon SPM tahun lalu yang keputusannya diumumkan hari ini, seramai 130,000 calon memohon ke IPTA melalui online Unit Pusat Universiti. Itu belum dikira pelajar yang memohon mengikuti kursus diploma dan sijil yang dianggarkan berjumlah 28,000, manakala 27,500 lagi akan ditawarkan tempat di kolej matrikulasi. Kini terpulang kepada Kementerian Pelajaran untuk memastikan kelas Tingkatan Enam dan peperiksaan STPM terus relevan sebagai laluan ke IPTA. Ini berikutan terlalu banyak saluran untuk lepasan SPM memasuki IPTA dan IPTS bagi menyambung pelajaran pada masa ini. Sehubungan itu, ura-ura penjenamaan semula peperiksaan STPM, termasuk cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam dan pemilihan guru berjawatan DG44 untuk mengajar pelajar STPM memang kena pada masanya dan amat dialu-alukan. Dalam pada itu, kita juga mahu MPM mengkaji semula sukatan 23 mata pelajaran yang ditawarkan di Tingkatan Enam supaya selari dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran di IPTA. Subjek ditawarkan itu kebanyakannya sudah ketinggalan zaman dan tidak menarik minat pelajar mempelajarinya. Sudah sampai masanya peperiksaan STPM digilap semula supaya menjadi keutamaan pelajar sebagai saluran memasuki universiti, bukan pilihan terakhir seperti tanggapan pelajar pada masa ini.

Friday, February 27, 2009

Negara D8 perlu pastikan makanan cukup



Abdullah Ahmad Badawi bersama Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon (tengah) bergambar bersama rakan sejawatan mereka sebelum memulakan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-3 di Pattaya, Thailand, semalam. - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu anggota Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) membantu antara satu sama lain menggerakkan dana secara bersepadu dan cekap untuk memastikan jaminan makanan dalam kumpulan itu.

Perdana Menteri menegaskan, D8 perlu mewujudkan kerjasama baru dalam pengeluaran makanan dan produk pertanian kerana tidak ada satu negara pun boleh mendakwa mempunyai keupayaan memenuhi keperluan makanan rakyat.

''Perkumpulan ini memerlukan kerjasama semua negara anggota untuk memastikan bekalan pertanian seperti baja, makanan haiwan dan anak benih dapat dipenuhi.

''D8 juga perlu terus meningkatkan mekanisme bagi menggalakkan penyertaan sektor awam dan swasta untuk negara-negara membangun menggunakan kekuatan dan kelebihan bagi membantu negara anggota lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri D8 mengenai Jaminan Makanan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian Indonesia, Dr. Ir. Anton Apriyantoo; Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Turki, Mehmet Medhi Eker serta Menteri Negara bagi Pertanian dan Sumber Air Nigeria, Fidelia Akuabata Njeze.

Mesyuarat dua hari itu melibatkan Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turki, Mesir dan Nigeria.

Indonesia, Turki dan Nigeria di wakili Menteri Pertanian manakala Iran diwakili Timbalan Menteri Pertanian, Dr. Jafar Khalgani; Bangladesh diwakili Setiausaha Kementerian Pertanian, Sheikh Enayetullah; Pakistan diwakili Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Tahir Mahmud Qazi dan Mesir diwakili oleh Duta ke Malaysia, Hani Abdel Kader Shash.

Abdullah memberitahu, walaupun D8 belum setanding dengan kumpulan-kumpulan ekonomi serantau lain, Malaysia percaya ia berpotensi untuk menjadi perkumpulan ekonomi yang mempunyai suara bagi negara-negara membangun di peringat antarabangsa.

Namun katanya, untuk D8 berjaya mencapai hasrat itu ia memerlukan usaha semua negara anggota dan sektor swasta bagi meningkatkan kerjasama perniagaan serta perdagangan.

''D8 perlu mempertimbang dan mencadangkan projek khas bagi mewujudkan kerjasama di antara negara anggota dalam jaminan makanan dan memberikan komitmen sesuai bagi sektor swasta melabur dalam projek tersebut," katanya.

Perdana Menteri berharap mesyuarat itu akan membolehkan negara anggota berkongsi pengalaman untuk menyelesaikan isu jaminan makanan dan mengadakan projek bersama untuk memperkukuhkan ekonomi serta menjadikan D-8 lebih berdaya tahan berhadapan dengan cabaran menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.

Ujar beliau, mesyuarat itu juga diharap akan dapat menggalakkan sektor swasta mewujudkan syarikat usahasama untuk membina kilang baja, makanan haiwan dan bank anak benih.

''Negara anggota juga perlu menerima dan mengiktiraf standard sama bagi baja serta makanan haiwan yang dapat meningkatkan pengeluaran pertanian serta memulihara alam

sekitar, kesihatan manusia, meningkatkan pertukaran teknologi, menerima teknologi baru dan penyelidikan bersama," katanya.

Bekas juruteknik TM Net dihukum gantung kerana kanabis

27/02/2009 11:02am


SHAH ALAM 27 Feb. 2009 - Seorang bekas juruteknik perkhidmatan pelanggan TM Net dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar 1,800 gram kanabis, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman ke atas M. Saravanan Muthu setelah mendapati pembelaannya tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.

Saravanan didapati mengedar kanabis tersebut pada pukul 9 malam, 9 Mac 2006 di Stesen Minyak Esso, Jalan Utara, Petaling Jaya dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2). Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan mengemukakan tujuh orang saksi memberikan keterangan. Saravanan memberikan keterangan daripada kandang saksi tanpa mengemukakan keterangan lain untuk menyokong pembelaannya. - Utusan

Wednesday, February 25, 2009

Institusi Raja perkasa kedaulatan negara

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

IDEA Raja Berperlembagaan lahir daripada cadangan Suruhanjaya Reid (1956). Suruhanjaya ini diberi mandat untuk menggubal Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu seperti termaktub dalam Perjanjian London 1956.

Di antara cadangan dikemukakan ialah negara hendaklah berlandaskan prinsip demokrasi, mewujudkan sebuah Kerajaan Pusat dan Raja Berperlembagaan.

Laporan Suruhanjaya Reid diterbitkan pada Februari 1957 dan Parlimen British menerima cadangan itu pada Mei 1957. Ia kemudiannya disahkan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu pada 17 Ogos 1957.

Sebenarnya, idea Raja Berperlembagaan yang berasaskan perlembagaan Barat mula bertapak di Johor apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor diperkenalkan oleh Sultan Abu Bakar pada 1895. Undang-undang terbabit menyerap unsur demokrasi dan sistem Raja Berperlembagaan.

Misalnya, dalam aspek pentadbiran negeri, Raja dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menyerupai Parlimen. Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Majlis Negeri dan Jemaah Menteri.

Untuk memastikan kedudukan Raja menjadi lebih mantap dan dihormati, maka pada 18 Januari 1993 kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kekebalan (immunity) Raja-Raja kerana pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang-undang tidak lagi dilihat selari dengan perubahan zaman.

Rakyat perlu juga dilindungi daripada dianiaya atau dizalimi oleh Raja. Pastinya, kita tidak mahu berlaku seperti dicatat dalam kitab Sejarah Melayu mengenai Raja Muhammad, anak Sultan Mansur Shah membunuh Tun Besar hanya disebabkan destarnya tercampak ditimpa bola raga yang disepak oleh Tun Besar.

Akibat tindakan zalim anak raja itu, rakyat Melaka tidak sanggup berajakan putera berwatak ganas itu seperti diungkap Bendahara: 'Hamba Melayu tiada pernah durhaka, tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini". Malah, Sultan Mansur Syah tidak menyebelahi anaknya. Baginda bertitah: 'Celakalah si Muhammad ini. Hai Muhammad, apalah dayaku, engkau ditolak bumi Melaka".

Apa pun, kita tidak mahu institusi raja berpindah ke muzium seni dan budaya seperti diungkap Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

Justeru, kefahaman rakyat terhadap Raja Berperlembagaan mestilah jelas. Anggapan bahawa peranan Raja hanya bersifat 'ceremonial' atau sebagai simbol untuk keraian semata-mata adalah tersasar daripada peranannya yang sebenar. Peranan institusi Raja di negara kita jauh berbeza dengan Raja di England apabila fungsi Queen adalah sepenuhnya berbentuk 'ceremonial'.

Di sisi yang lain pula, Raja kita berbeza dengan kedudukan Raja di Arab Saudi iaitu Raja di negeri terbabit memiliki kuasa eksekutif dan kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan langsung.

Di negara kita, Raja mempunyai kuasa tersendiri mengikut peruntukan Perlembagaan tetapi menjalankan tugas serta mengambil tindakan di atas nasihat Perdana Menteri (Menteri Besar untuk negeri).

Artikel 38 (4) jelas menyatakan bahawa keistimewaan dan kedudukan Raja tidak boleh disentuh oleh mana-mana undang-undang kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Sultan dan Raja bukan ahli politik yang sentiasa menonjol diri di pentas politik. Namun, dalam sejarah tanah air, institusi Raja memainkan peranan cukup penting dalam mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu.

Sejarah membuktikan bahawa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Majlis Raja-Raja diberi kuasa untuk meneliti pelbagai perkara berkenaan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika itu. Raja seolah-olah bertindak sebagai wakil kepada rakyat untuk mengimbangi kuasa British waktu itu.

Beberapa institusi Melayu yang wujud hari ini seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu, tanah rizab Melayu dan Rejimen Askar Melayu Diraja adalah diperjuangkan oleh Raja Melayu kerana ketika itu parti politik Melayu belum wujud. Perkara terbabit adalah identiti dan jati diri negara yang dimaktubkan dikuatkuasakan dalam Perlembagaan dan undang-undang.

Justeru, cubaan mempertikai, apalagi cubaan menghapuskannya adalah suatu usaha jahat yang harus ditentang. Perlembagaan yang ada hari ini juga meletakkan peranan Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa tertentu berdasarkan bidang kuasa diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 38(2) dan beberapa peruntukan lain.

Lebih jauh daripada itu, Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan mengizinkan Raja-Raja membincangkan apa saja hal berkepentingan nasional. Namun, baginda ada caranya tersendiri. Misalnya, pada setiap kali sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat, maka titah ucapan baginda turut menyentuh perkara berkaitan hal nasional termasuk menegur hal berkaitan pentadbiran kerajaan yang kemudiannya akan dibahas oleh ahli Dewan Rakyat.

Selaku institusi yang bertindak sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan (Artikel 32), maka tidak wajar bagi mana-mana pihak mempersoalkan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja, apatah lagi bersikap biadab dan tidak berakhlak terhadap baginda.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang memayungi seluruh rakyat dan negeri di dalam persekutuan dan kedudukan Sultan-Sultan sebagai ketua negeri dan pelindung kepada rakyat harus dihormati semua pihak. Jangan kerana kebencian politik, maka Sultan dan Raja-Raja Melayu dicaci dan dihina.

Sayugia diingat, dengan ada institusi Raja inilah, maka negeri yang ada dalam persekutuan menikmati kestabilan, kemakmuran dan pembangunan. Raja juga adalah lambang kedaulatan negara. Kesetiaan kepada Raja dan negara adalah sebahagian daripada konsep 'kedaulatan' yang sudah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pencapaian dan keagungan Melaka sebagai pusat politik kesultanan Melayu dikaitkan secara langsung dengan kuasa, keperibadian dan wibawa Raja. Dari sini lahirlah lafaz kalimat 'daulat Tuanku' iaitu istilah konseptual dalam budaya dan politik Melayu. Yang nyata, proses dan organisasi pentadbiran kerajaan Kesultanan Melaka atau mana-mana kesultanan Melayu ketika itu akan berjalan dengan licin dan lancar apabila kuasa dan wibawa Raja dilaksana dengan baik.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

Tuesday, February 24, 2009

D8 akan tumpu tiga inisiatif bagi jaminan makanan

24/02/2009 6:20pm


KUALA LUMPUR 24 Feb. — Apabila menteri, pembuat keputusan dan pemimpin perniagaan dari lapan negara Islam berhimpun di sini dari esok bagi mesyuarat selama tiga hari, perbincangan mereka akan bertumpu pada tiga inisiatif penting berkaitan jaminan makanan.

Tiga inisiatif itu ialah penubuhan bank benih, pengeluaran dan bekalan baja berkualiti dan makanan ternakan, telah dikenal pasti sebagai input penting yang dapat menjamin peningkatan pengeluaran produk pertanian berkualiti di kalangan anggota negara Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8).

Malaysia, selaku tuan rumah Mesyuarat Menteri-menteri D8 mengenai Jaminan Makanan, telah menyusun mesyuarat dan aktiviti relevan di mana para perwakilan dapat berbincang dan memperkemaskan sebarang kekurangan yang ada bagi pelaksanaan inisiatif itu.

Antara objektif mesyuarat itu ialah mewujudkan modul bagi kerjasama yang diterajui swasta di kalangan negara anggota dalam projek pertanian, peningkatan perdagangan pertanian dan memperkukuhkan lagi kapasiti pembinaan dan kerjasama teknikal.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata peserta akan menumpukan perbincangan kepada inisiatif yang dicadangkan diterajui sektor swasta iaitu pengeluaran dan bekalan makanan ternakan, baja dan pembangunan bank benih pada skala besar.

“Projek yang akan dilaksanakan di bawah tiga inisiatif itu oleh sektor swasta dijangka mengambil kira keperluan semua negara D8.

“Kerjasama ini akan memastikan skala pengeluaran yang lebih efisien kerana negara D8 akan terbabit dalam pengeluaran yang mereka mempunyai kelebihan,” katanya.

D8 dianggotai Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turki, Mesir dan Nigeria.

Sebagai sebahagian mesyuarat itu, Mesyuarat Pemimpin Perniagaan akan diadakan esok membabitkan ketua pegawai eksekutif dan wakil syarikat, Pertubuhan Makanan dan Pertanian FOA) dan Dewan Perniagaan dan Industri dari negara anggota D8.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuk cabaran krisis ekonomi global dan jaminan makanan serta mewujudkan persekitaran bagi kerjasama sektor swasta.

“Kami menjangkakan sektor swasta akan mengemukakan cadangan projek spesifik yang mungkin bukan projek baru tetapi juga projek sedia ada dan kini syarikat menawarkan untuk meningkatkan pengeluarannya untuk memenuhi permintaan dan keperluan negara D8,” kata Mustapa.

Beliau berkata sektor swasta D8 juga mempunyai peluang untuk menerokai dan mengenal pasti bidang kerjasama yang dapat dibangunkan berdasarkan pelbagai sumber yang ada di setiap negara.

“Peluang mewujudkan rangkaian perniagaan di kalangan negara D8 amat bernilai kepada sektor swasta,” katanya.

Pada akhir mesyuarat itu nanti, pelan tindakan bersama dikenali sebagai

“Kenyataan-KL: Inisiatif Bagi Penyelesaian Jaminan Makanan oleh negara anggota D-8” dijangka diterima pakai oleh negara anggota D8.

— BERNAMA

Wednesday, February 18, 2009

Kemelut di Perak tonjol Pakatan Rakyat cetek undang-undang

Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

Peralihan kuasa kepada BN berlaku di luar kuasa Dewan Undangan Negeri: Nazri

KEMELUT membelenggu politik Perak yang dianggap berakhir selepas pelantikan Menteri Besar yang baru dan barisan Exconya, terus berkocak dengan tindakan terbaru Pakatan Rakyat mengeluarkan notis saman hadir barisan kepemimpinan diketuai Datuk Dr Zambry Abdul Kadir itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sekali lagi, isu ini mencetuskan perdebatan kuasa atau perundangan. Persoalannya apakah Zambry boleh dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan inilah yang dipertikaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bertanggungjawab ke atas Parlimen dan hal ehwal undang-undang.

Menurut Nazri, Zambry tidak boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana semua perkara yang berlaku, terutama membabitkan peralihan kuasa daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional (BN) berlaku di luar kuasa DUN Perak.

"Dia nak rujuk Zambry atas kelakuan apa kerana semua kejadian di Perak sepanjang minggu lalu berlaku di luar DUN. Lebih serius kerana pelantikan sebagai Menteri Besar memang dalam bidang kuasa Sultan Perak. Bagaimana sesuatu yang berlaku di luar DUN boleh dirujuk kepada jawatankuasa DUN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan Speaker DUN Perak, V Sivakumar, yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan, bahawa jawatankuasa sudah mengeluarkan notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Dr Mah Hang Soon, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin.

Jawatankuasa terbabit membuat keputusan itu selepas menerima surat aduan Adun Canning, Wong Kah Woh, Khamis lalu, yang meminta supaya ketujuh-tujuh Adun BN yang juga anggota Exco kerajaan negeri baru Perak itu, dirujuk kepada mereka kerana didakwa menghina dewan.

"Selepas bersidang, pihak jawatankuasa berpendapat ada asas atau prima facie terhadap aduan yang dibuat YB Wong Kah Woh. Oleh yang demikian jawatankuasa sebulat suara membuat keputusan untuk merujuk semua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN," kata Sivakumar.

Sivakumar enggan memperincikan aduan yang dikemukakan Wong, tetapi difahamkan Adun Canning daripada DAP itu dalam surat aduannya mendakwa proses pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan barisan Exconya sudah mencabuli Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Pengerusi DAP Perak dan Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham pula berkata, Sivakumar mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap Menteri Besar baru Perak dan enam Exco berkenaan jika mereka tidak hadir di hadapan jawatankuasa itu hari ini.

Menjawab soalan, Nazri berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak seperti juga Parlimen hanya boleh merujuk kelakuan atau perkataan seseorang Adun sekiranya ia dilakukan di dalam Dewan.

"Tidak ada bezanya antara DUN Perak dan Parlimen. Oleh itu, Zambry tidak perlu menghadap jawatankuasa berkenaan kerana apa yang berlaku minggu lalu, terjadi di luar DUN Perak. Speaker kena ingat, sebarang tindakan atau kelakuan yang dilakukan ahli Dewan di luar (Dewan) ia terletak di bawah bidang kuasa undang-undang negara," tegas Nazri.

Mengulas lanjut mengenai krisis politik di Perak yang masih panas, Ahli Parlimen Padang Rengas ini juga menasihatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin, ahli politik dan rakyat Perak supaya jangan membuat tuduhan melulu, terutama membabitkan keputusan yang dibuat dan direstui Sultan Perak.

"Siapa Nizar untuk mohon menderhaka dan mempertikai keputusan Sultan Azlan Shah yang merestui kerajaan negeri baru Perak? Saya harap dia berhati-hati dalam membuat kenyataan selepas ini.

"Dia memang dipilih rakyat untuk menjadi wakil rakyat, tetapi dia bukan dipilih rakyat untuk menjadi Menteri Besar kerana tidak ada sebarang pertandingan untuk jawatan Menteri Besar. Sultan Perak yang memilih siapa dikehendaki menjadi Menteri Besar Perak.

"Lebih serius, Sultan Perak adalah bekas Ketua Hakim Negara selama 25 tahun lalu dan baginda amat teliti dalam membuat sebarang keputusan. Siapa Nizar atau Karpal (Singh) atau mana-mana ustaz untuk mempertikai keputusan seorang Sultan yang juga bekas Ketua Hakim Negara," kata Nazri.

Krisis politik di Perak melalui kemelut amat serius apabila keputusan Sultan Azlan Shah yang memberi kebenaran pada BN membentuk kerajaan negeri baru selepas parti ini mengambil alih kuasa majoriti selepas mendapat sokongan tiga Adun pembangkang, bukan saja dipertikai, malah ada usaha untuk menyaman baginda.

Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh, untuk menyaman Sultan Perak mencetus kemarahan rakyat dan dianggap penderhaka kerana Sultan adalah lambang ketuanan Melayu yang memang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Siapa Karpal untuk mempertikai keputusan Sultan Perak. Jika Sultan Azlan Shah sebagai Ketua Hakim Negara 25 tahun lalu, Karpal hanya sebagai seorang peguam yang terpaksa menerima sebarang keputusan hakim, apa lagi dengan kedudukan baginda sebagai Sultan Perak hari ini," katanya sinis terhadap tindakan Karpal yang menderhaka.

Kembali kepada soalan, Nazri menjelaskan ramai orang lupa bahawa pelantikan Menteri Besar sebenarnya adalah hak Sultan. Selepas pilihan raya, parti yang mencatat majoriti dan boleh membentuk kerajaan akan menyerahkan senarai nama calon daripada kalangan Adun yang menang kepada Sultan untuk dilantik menjadi Menteri Besar.

Dalam kes kerajaan campuran Pakatan Rakyat yang mencatat majoriti tipis di Perak selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu, tiga nama diserahkan kepada Sultan Perak iaitu Nizar daripada Pas, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP) dan Jamaluddin Mohd Radzi daripada Pakatan Keadilan Rakyat (PKR).

"Daripada senarai itu Nizar yang dipilih Sultan Perak, bagaimana dia boleh mendabik dada dia dipilih rakyat Perak untuk menjadi Menteri Besar? Kerana itu saya berharap mana-mana Menteri Besar jangan terlalu bangga berkata, rakyat memilih 'aku' sebagai Menteri Besar, kerana yang memilih mereka ialah Sultan," jelasnya.

Nazri berkata, ketika krisis peralihan kuasa tempoh hari, Sultan Azlan Shah amat berhati-hati ketika membuat keputusan dan hanya berpuas hati selepas baginda bertemu semua Adun BN serta menghabiskan masa lebih setengah jam dengan tiga Adun pembangkang yang menyokong BN.

"Perlembagaan yang kita miliki hari ini amat adil. Inilah yang dinamakan 'ketuanan Melayu' sebenarnya. Ramai tersalah anggap dengan perkataan ketuanan Melayu ini. Ketuanan Melayu adalah raja-raja kerana mereka adalah 'tuanku'.

"Ketuanan Melayu bukan bermakna 'malay supremacy' (keagungan Melayu) atau bangsa Melayu lebih agung daripada bangsa lain, tetapi adalah 'malay lordship' – kedudukan raja-raja yang menjadi 'tuan' kepada rakyat Malaysia," kata Nazri.

Friday, February 13, 2009

‘Jangan biadab’

Petikan dari Utusan Online 13 Feb 2009

KENYATAAN AKHBAR KHAS PENEGASAN TERHADAP PERGOLAKAN POLITIK YANG BERLAKU DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa pada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan beta Perkara ini lebih-lebih lagi dirasai oleh beta kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah ayahanda saudara beta. Malah, keluarga diraja kedua-dua buah negeri ini mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman baginda, sesuai dengan kedudukan baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara. Baginda dan keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit.

Apa yang kita dapat saksikan yang telah dan sedang berlaku semenjak minggu lalu di negeri Perak amat membimbangkan sesiapapun yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama.

Kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya “mob" amat memalukan.

Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, “barulah kita kenal siapa kaca siapa permata”. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang “marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar”.

Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita. Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Kegawatan ekonomi yang semakin meruncingkan di peringkat global dan serantau menuntut kita supaya memantapkan perpaduan sesama kita walaupun ada perbezaan pendirian. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana.

Kepada mereka yang telah berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi raja-raja, maka beta ingin menasihatkan supaya rakyat menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan seterusnya.

(DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ)
SULTAN SELANGOR
13 Februari 2009