Tuesday, March 31, 2009

Proton pasang kereta elektrik

OLEH CYNTHIA YEOH
cynthia.yeoh@utusan.com.my

PUTRAJAYA 30 Mac - Proton Holdings Bhd. (Proton) mengunjurkan perolehan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang menerusi perjanjian strategik perlesenan dan kontrak pemasangan kereta elektrik dengan Detroit Electric Holdings Ltd (Detroit Electric) hari ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, unjuran itu berdasarkan purata pengeluaran sebanyak 40,000 buah kereta elektrik setahun.

Menurutnya, Proton telah diberi hak untuk menjual kereta elektrik di bawah jenama Proton dalam pasaran ASEAN dan juga negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di bawah kontrak perjanjian selama lima tahun itu.

''Perjanjian ini memberikan peluang untuk kami belajar dan memahami teknologi yang digunakan untuk kereta elektrik supaya dapat mengeluarkan kereta seumpama itu dengan sendiri pada masa depan.

''Kami juga berpeluang meningkatkan kapasiti pengeluaran di Tanjung Malim dengan memperkenalkan lebih komponen selain meningkatkan profail serta kemampuan Proton berikutan kereta elektrik itu akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeteraikan perjanjian dengan Detroit Electric yang diwakili oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Lam.

Turut hadir merasmikan majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Zainal Abidin berkata, Proton akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menubuhkan yayasan dan infrastruktur bagi membina kereta elektrik.

Sementara itu, Lam berkata, syarikatnya yang berpengkalan di Belanda bercadang untuk menjual sebanyak 40,000 buah kereta elektrik bagi tahun pertama

''Kami menyasarkan untuk menambah pengeluaran sebanyak 270,000 buah setahun dalam empat tahun lagi," ujarnya.

Beliau berkata, Detroit Electric dijangka membayar kira-kira RM1.2 bilion kepada Proton bagi tahun pertama pengeluaran tetapi tidak mendedahkan jumlah kos untuk kontrak selama lima tahun itu.

Tambahnya, kereta elektrik itu dijangka dikeluarkan pada akhir suku pertama tahun 2010 dan akan dieksport ke AS dan UK enam bulan kemudian.

''Usaha untuk mengeluarkan kereta elektrik besar-besaran adalah julung kali buat mana-mana pihak dan menempatkan pada kedudukan utama untuk menembusi permintaan kian meningkat bagi teknologi 'hijau'," katanya.

Lam menjelaskan, kereta elektrik akan dipasang menggunakan platform Proton Persona dan Gen-2 dengan pengubahsuaian kecil serta berkuasa bateri litium ion yang dibangunkan oleh Detroit Electric dan dipasar di bawah jenama syarikat itu.

''Kami yakin dengan sasaran jualan dan rasa ia realistik kerana pasaran ini akan terus berkembang ekoran kebimbangan terhadap alam sekitar sehingga menyebabkan kebanyakan kerajaan menggubal undang-undang untuk teknologi lebih bersih," ujarnya.

Detroit Electric menjangkakan permintaan tahunan bagi kereta elektrik sekarang antara 120,000 dan 150,000 sebuah.

Lam berkata, kereta itu akan dijual antara AS$23,000 (RM82,800) dan AS$33,000 (RM118,800) sebuah, bergantung kepada saiz bateri yang menentukan jarak destinasi.

''Kami juga merancang melabur kira-kira AS$41 juta (RM150 juta) untuk menubuhkan dua kilang di Malaysia.

''Kami masih berbincang dengan kerajaan untuk menempatkan semula kilang membuat motor dan bateri kereta dan diharapkan dapat keputusan itu dalam tempoh enam bulan," kata beliau.

No comments: