Wednesday, August 29, 2012

Rasuah: Peniaga dipenjara 6 tahun, denda RM1 juta

29 Ogos 2012 SHAH ALAM- Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menawar dan memberi suapan RM100,000 kepada seorang pegawai polis, dua tahun lepas. Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Tertuduh, Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 24, juga boleh dipenjara enam tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda. Asmadi turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM500,000 atau dua tahun penjara ke atas bapa saudara tertuduh, Mohd Kamal Mohd Zin, 41, selepas dia didapati bersalah bersubahat dengan tertuduh memberi suapan kepada pegawai polis berkenaan. Wan Muhammad Azlan didakwa menawarkan suapan itu kepada Inspektor V.Mohana Sundaram yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, sebagai dorongan untuk tidak menyerahkan tertuduh kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan lanjut berhubung pengakuannya sebagai pengedar dadah jenis pil kuda di Kelantan. Wan Muhammad Azlan didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Balai Polis Bukit Puchong, kira-kira 7.30 malam pada 27 Sept 2010. Dia juga didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Mohana Sundaram melalui Mohd Kamal sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama pada kira-kira 1.45 petang, 28 Sept 2010 di tempat sama. Wan Muhammad Azlan dan Mohd Kamal didakwa mengikut Seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. Dalam penghakimannya, Asmadi berkata selepas membuat penilaian maksimum, beliau mendapati kedua-dua tertuduh gagal mematahkan tanggapan pertuduhan di bawah Akta SPRM itu. "Jika betul dakwaan (pembelaan) bahawa saksi memasang perangkap, sudah pasti mereka tidak akan lapor kepada ketua masing-masing sebelum mengambil tindakan. Jika saksi ada niat jahat, pasti mereka akan bertindak diam-diam dan tidak maklumkan pada ketua mereka. "Tertuduh kedua (Mohd Kamal) bersubahat bantu tertuduh pertama (Wan Muhammad Azlan) dalam beri rasuah kepada saksi (Mohana Sundaram) dan dia (Mohd Kamal) turut mengira wang yang dibawa yang diberikan sebagai rasuah kepada saksi (Mohana Sundaram). "Mahkamah dapati pendakwaan berjaya buktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap kedua-dua tertuduh," katanya. Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menolak permohonan mereka untuk penangguhan pembayaran denda. Beliau turut menaikkan jumlah jaminan ke atas Wan Muhammad Azlan daripada RM60,000 kepada RM80,000 dan Mohd Kamal dari RM30,000 kepada RM40,000 selain memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kota Baharu, Kelantan, pada Ahad pertama setiap bulan. Sepanjang perbicaraan, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan enam orang saksi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Zaki Mohd Salleh dan Pegawai Pendakwa Wan Ahmad Nidzam Wan Omar sementara Wan Muhammad Azlan diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal dan Mohd Kamal diwakili peguam Hanif Hassan. -Bernama

Thursday, August 16, 2012

OIC ambil tiga ketetapan

Najib Tun Razak mendengar ucapan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam, Ekmeleddin Ihsanoglu pada sidang kemuncak luar biasa pertubuhan itu di Mekah, semalam. - BERNAMA MEKAH 16 Ogos - Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berakhir hari ini mengambil tiga ketetapan iaitu menggantung keanggotaan Syria, gesaan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat dan membela nasib umat Islam Rohingya. Di samping ketetapan yang membayangkan kebimbangan terhadap masyarakat Islam di negara-negara berkenaan, sidang turut menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud supaya diwujudkan Pusat Dialog Islam bagi membincangkan isu-isu berkaitan fahaman mazhab. Malaysia yang turut serta dalam persidangan itu menyokong penuh ketetapan dan cadangan tersebut di samping menghargai bantuan kemanusiaan AS$50 juta oleh Raja Abdullah bagi membantu masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa keganasan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berharap pihak-pihak terlibat akan memberi sokongan untuk menjayakan ketetapan dan cadangan tersebut demi kepentingan Islam dan umat itu sendiri. Lebih istimewa katanya, ketetapan dan cadangan itu dibuat sepanjang dua hari persidangan yang berlangsung di kota suci Mekah pada 26 dan 27 Ramadan, tarikh yang penuh fadilat bagi umat Islam sepanjang Ramadan ini. ''Pemilihan tarikh persidangan itu menimbulkan keinsafan dan kesedaran kepada pemimpin-pemimpin OIC betapa besarnya tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap mereka demi menjaga kesucian Islam dan kemajuan ummah," katanya pada sidang akhbar di sini pagi ini. Sidang kemuncak itu berlangsung mulai 11 malam setiap hari iaitu sesudah selesai solat tarawih di Masjidilharam dan berakhir pada pukul 2 pagi diikuti dengan bersahur. Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, Malaysia menyokong penggantungan Syria daripada keanggotaan badan itu sambil menyifatkan keganasan di Syria amat menyedihkan, mengejutkan dan memalukan. Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia berpegang kepada prinsip tidak campur tangan masalah dalaman sesebuah negara tetapi konflik berterusan yang boleh membawa kepada perang saudara yang lebih dahsyat memerlukan tindakan penyelesaian segera oleh Syria. ''Penggantungan itu diharap menjadi isyarat yang jelas kepada Syria supaya mengambil tindakan segera menghentikan pertumpahan darah dan memulakan usaha mencari keamanan," katanya. Dalam konteks ini juga, Malaysia menggesa negara anggota terutama dalam kalangan negara Arab terus memainkan peranan konstruktif dengan semua pihak di Syria untuk mencari keamanan dan penyelesaian berkekalan untuk negara itu. Perdana Menteri memberitahu, adalah amat sukar untuk membayangkan bagaimana selepas begitu ramai yang dibunuh dan rakyat mengalami penderitaan yang teramat sangat, pemimpinnya masih terus memegang kuasa tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab. Syria, menurut Najib, perlu diperingatkan supaya menghentikan pengeboman ke atas rakyatnya terutama di kawasan awam yang turut memaksa penduduk tempatan meninggalkan negara sendiri dan menjadi pelarian di negara orang. Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia masih percaya Pelan Damai Enam Perkara yang digariskan oleh Utusan Bersama PBB-Liga Arab ke Syria, Kofi Annan sebagai pilihan terbaik untuk menyelesaikan konflik di negara itu. Justeru, beliau berharap, OIC dapat meneruskan usaha tersebut kerana yakin pelan itu dapat memulihkan keselamatan dan kestabilan di negara itu. Beliau juga mahu semua pihak terutama pemimpin Syria supaya memberi sokongan penuh terhadap usaha mencari keamanan dan pada masa yang sama menghormati resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 3 Ogos lalu yang mahu penduduk Syria menentukan sendiri masa depan negara mereka melalui demokrasi. Dalam pada itu, Najib tidak mahu tumpuan terhadap konflik di Syria menjejaskan agenda membela nasib rakyat Palestin yang menghadapi ketidakadilan yang teruk sejak enam dekad lalu akibat kedegilan berterusan Israel. Perdana Menteri juga mengajak OIC supaya tidak melupakan isu masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dan sebagai jiran terdekat, Malaysia amat memberi perhatian berat terhadap penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap Muslim Rohingya.

Wednesday, August 1, 2012

Jawatan mahkamah: Ketua Hakim Negara tegur JPA

1 Ogos 2012 Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria PUTRAJAYA - Hakim-hakim Mahkamah Sesyen dan majistret kanan tidak boleh dilantik bagi mendengar saman sivil membabitkan tuntutan wang yang tinggi kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum meluluskan jawatan seperti yang diharapkan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Beliau berharap perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin kerana ia adalah penting bagi membolehkan pentadbiran badan kehakiman melaksanakan pindaan kepada Akta Mahkamah Rendah 1948 yang diluluskan Parlimen dua tahun lalu. "Saya berharap (JPA) tidak akan mengambil masa yang lama," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah atas pelantikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebagai pesuruhjaya kehakiman. Arifin, yang kelihatan tidak gembira, berkata Kabinet meluluskan pelantikan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret kanan. "Kami mahu hakim mahkamah sesyen dan majistret dengan pengalaman empat hingga lima tahun sebelum mereka boleh mendengar kes-kes sivil agar keputusan dan penghakiman yang diberikan di mahkamah-mahkamah rendah adalah berkualiti," katanya. Badan kehakiman menunggu respons JPA berhubung rayuannya bagi menaikkan gred bagi jawatan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret-majistret kanan yang tidak diluluskan seperti apa yang diharapkan badan kehakiman. Majistret dengan kuasa yang ada sekarang terhad untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM25,000, akan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan sehingga RM100,000 mengikut pindaan itu. Sementara itu pindaan itu memberi kuasa kepada hakim-hakim mahkamah sesyen untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM1 juta. Pada masa ini bidang kuasa mereka terhad kepada RM250,000 dan ke bawah. Arifin berkata pegawai badan kehakiman yang berpengalaman boleh dilantik bagi menguatkuasa pindaan itu yang mana akan mengurangkan bilangan hakim-hakim mahkamah tinggi untuk mendengar tuntutan sivil dan dengan itu membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan ke atas badan kehakiman. Dalam perkembangan lain, Arifin berkata versi rasmi bagi peraturan gabungan bagi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-Mahkamah Rendah yang baharu dikuatkuasakan adalah versi Bahasa Malaysia dan jika wujud sebarang pertikaian berhubung tafsiran peraturan-peratuan itu, mahkamah akan merujuk kepada versi Bahasa Malaysia. Beliau berkata ini merupakan kali pertama versi Bahasa Malaysia dijadikan teks yang berwibawa. Peraturan-peraturan mahkamah bertujuan bagi memudah dan menyeragamkan prosedur mengenai litigasi sivil bagi peguam-peguam dan orang awam mula berkuatkuasa hari ini. Arifin berkata ia mengambil masa tiga tahun bagi badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil peguam Malaya, Sabah dan Sarawak untuk merumuskan peraturan-peraturan itu. Sebelum itu, Abdul Karim, 53, bekas ketua pengarah Jabatan Insolvensi di Pejabat Perdana Menteri menerima surat pelantikan daripada Arifin dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. Beliau akan ditempatkan sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Melaka. - Bernam