Wednesday, December 15, 2010

Hakim syarie dipenjara 10 tahun

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

IPOH 14 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie (gambar) dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun Hassan Basri, 56, yang menjadi hakim syarie pertama didakwa atas tuduhan rasuah hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana tiga daripada hukuman tersebut berjalan serentak.

Hakim Tan Hooi Leng menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.

"Mahkamah tidak dapat menerima keterangan bahawa bayaran yang diterima oleh tertuduh adalah bayaran hutang kerana ia tidak disokong oleh keterangan saksi, rakaman perbualan, video atau dokumen.

"Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas semua pertuduhan,'' katanya dalam penghakiman ringkas beliau.

Pertuduhan pertama, Hassan Basri dipenjara tiga tahun dan denda RM15,000 atau penjara tiga bulan kerana meminta suapan RM3,000 daripada Mohamad Imran Abdullah.

Ia didakwa sebagai dorongan melepaskan ikat jamin kepada pemilik pub, Yoong Hor Kit berhubung lima kes jenayah syariah di Restoran Wawa, Tambun, pukul 8.15 malam, 15 Ogos 2007.

Pertuduhan seterusnya, tertuduh menerima hukuman yang sama kerana menerima wang suapan itu daripada Mohamad Imran dalam sebuah kereta di Taman D.R. Seenivasagam, di sini pada pukul 3.25 petang, 6 September 2007.

Kedua-dua hukuman berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Pertuduhan ketiga pula, Hassan Basri dipenjara lima tahun dan denda RM100,000 atau penjara 20 bulan kerana meminta suapan wang RM20,000 daripada Hor Kit melalui Mohd. Sharif Abdul Ghani bagi mengurangkan hukuman dan memulangkan wang ikat jamin berhubung lima kes jenayah syariah.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Menembak Perak, pukul 8.30 malam pada 7 Ogos 2006.

Tuduhan keempat pula, Hassan Basri dihukum penjara lima tahun dan denda RM50,000 atau penjara 10 bulan kerana menerima suapan itu sebanyak RM10,000 daripada Hor Kit.

Hukuman bagi kesalahan ketiga dan keempat berjalan serentak selepas selesai hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Tuduhan kelima, tertuduh dipenjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan kerana meminta suapan RM1,100 daripada Mohamad Imran bagi membantu Mohammad Asri Abu Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Bagi tuduhan keenam, Hassan Basri menerima hukuman yang sama kerana bersetuju menerima suapan RM1,100 daripada Mohamad Imran bagi mengeluarkan surat perintah kebenaran berkahwin kepada Mohammad Asri untuk membolehkannya berkahwin dengan Nor Farihan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran BFN 9060 di tepi Hotel Hill City di sini pada pukul 6 petang, 17 Ogos 2007.

Hukuman bagi kesalahan kelima dan keenam berjalan serentak selepas selesai hukuman bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Bagi pertuduhan ketujuh, Hassan Basri dipenjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan kerana bersetuju menerima suapan RM1,100 daripada Mohamad Imran untuk mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Mohd. Jefri Afandi Ahmad tanpa melalui prosedur yang sah di dalam sebuah kereta bernombor BFN 9060 di tempat letak kereta Taman D.R. Seenivasagam, di sini, pukul 3.20 petang, 6 September 2007.

Hukuman tersebut berjalan secara berasingan dari hukuman-hukuman lain.

Peguam bela T. Shan yang mewakili tertuduh memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

Hakim Hooi Leng membenarkan permohonan tersebut dan menambah nilai wang ikat jamin kepada RM35,000 iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau juga memerintahkan Hassan Basri menjelaskan bayaran denda RM210,000 hari ini.

Terdahulu, sebelum dijatuhkan hukuman, Hassan Basri yang kelihatan tenang sepanjang prosiding hari ini, mencelah meminta kebenaran untuk mengatakan sesuatu.

''Saya minta dilaksanakan keadilan. Semasa kejadian, saya tidak pakai tali pinggang. Macam mana hendak letak duit (tertuduh didakwa oleh saksi meletakkan duit dalam beg pada pinggangnya).

''Pasal poligami, saya hanya mengikut arahan Ketua Hakim Syarie,'' ujarnya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa meminta Mahkamah mengenakan hukuman maksimum kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah sangat serius dan telah menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi mahkamah.

Friday, December 10, 2010

Kegusaran Raja Melayu dan demokrasi

(Utusan Online 11 disember 2010)

SABAN hari perbincangan tentang kedudukan Sultan dan Raja-raja Melayu menjadi topik hangat dalam perdana atau media elektronik. Ia seolah-olah memperlihatkan budaya politik hari ini sedikit demi sedikit mula mengambil kesempatan untuk mempertikaikan titah raja-raja Melayu.

Sehinggakan pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) sendiri turut menggesa supaya semua parti politik menghormati titah tersebut dan amat signifikan untuk diberi perhatian umum. Pendekatan yang diutarakan ini perlu disambut baik demi kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat.

Malaysia merupakan sebuah negara yang paling aman yang berupaya merealisasikan kehendak dan keperluan seluruh masyarakat yang telah sebati dengan kemajmukannya.

Sejarah politik Malaysia sudah membuktikan permulaan isu Raja-Raja Melayu ini apabila keengganan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin melepaskan jawatan tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap keutuhan sistem politik negara.

Perkenan sultan Perak telah ditolak oleh barisan kepimpinan Dewan Undangan Negeri Perak sehingga meminta pertimbangan semula keputusan yang telah dibuat oleh pihak istana bagi memberi laluan yang lebih demokratik iaitu melalui sistem pilihan raya. Proses penerimaan dan penolakan ini membimbangkan semua pihak yang terlibat terutamanya rakyat.

Kemelut pakatan pembangkang yang kelihatan parah ini menjelaskan pergelutan politik yang berlaku antara kerajaan BN dan pembangkang yang masing-masing mahu memastikan negeri Perak menjadi 'taklukan' mereka. Satu persatu isu seperti tanah orang Melayu, pembelian kenderaan rasmi kerajaan negeri, rasuah dan sebagainya dicanang bagi mencetuskan kekecohan.

Penulisan kolum pada kali ini bukanlah hendak menyingkap sejarah lama negeri Perak. Tetapi kesan yang ditinggalkan dalam peristiwa yang berlaku harus dijadikan iktibar dan inisiatif oleh pihak-pihak yang terlibat untuk sentiasa mengambil langkah berwaspada daripada berlakunya peristiwa yang tidak diingini. Ternyata tren politik pada hari ini telah mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia. Namun apa yang telah berlaku ini mendapat sokongan yang kuat daripada barisan pembangkang yang mahu mempertahankan hak mereka.

Justeru, mereka memilih saluran undang-undang untuk mencapai matlamat. Perlakuan menegakkan benang yang basah dengan menafikan keputusan perletakan jawatan oleh Sultan Perak dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan kepada institusi beraja. Malah, demonstrasi di hadapan istana oleh para penyokong parti politik melambangkan keberanian mereka untuk bertindak mengikut lunas-lunas ruang demokrasi.

Ini ditambah dengan sikap kerajaan negeri Perak pada ketika itu iaitu PAS dan DAP mengambil sikap sambil lewa dengan membelakangkan keputusan istana telah menunjukkan keakuran dan ketaatan terhadap institusi kesultanan Melayu itu sudah mula dicabar. Kisah ini tidak pernah lekang daripada dipaparkan dalam mana-mana media sedia ada sama ada di dalam atau luar negara.

Perkara ini menjadi semakin serius apabila terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memanipulasi pemikiran masyarakat dengan menyebarkan unsur-unsur negatif yang berbaur perkauman dan bermain dengan ideologi agama untuk mencemarkan kerukunan dan keamanan negara. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah rakyat atau pemimpin politik melihat institusi beraja di negara Malaysia sudah tidak relevan lagi dalam konteks Perlembagaan Malaysia?

Tren politik semasa telah menjelaskan betapa pemimpin politik kelihatan terdesak sehingga berani menggunakan pelbagai kaedah bagi mencapai matlamat masing-masing. Perkara sebegini telah merencatkan keharmonian proses demokrasi Malaysia. Kedudukan Raja-Raja Melayu sentiasa dilindungi oleh Perlembagaan dan setiap warganegara Malaysia perlu hormat dan sama sekali tidak boleh menafikan kedudukan mereka walaupun berlaku perubahan pemerintahan politik pada masa depan.

Raja-Raja Melayu bukanlah ancaman kepada mana-mana pihak kerana mereka dikekalkan dalam Perlembagaan sebagai sole protector kepada orang Melayu dan juga masyarakat Malaysia secara umumnya. Kehadiran Raja-Raja Melayu tidak ubah seperti penyemak dan pengimbang dalam demokrasi pemerintahan negara.

Sekiranya isu ini diterjemahkan dalam ruang pemikiran yang sempit, pertikaian akan berterusan dan sukar dibendung. Kuasa yang diberikan kepada Raja-Raja Melayu tidak sehebat sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan jika dibandingkan dengan kuasa dan dikotomi politik yang dimiliki oleh parti-parti politik yang menang pada pilihan raya.

Raja-Raja Melayu juga pemerintah yang hebat seperti mana yang dibaca dalam sejarah dunia. Mereka akan terus kekal hebat menjadi pemerintah di negara kita kerana merekalah yang menjadi tulang belakang kepada perpaduan rakyat dan kelancaran pentadbiran negara

Sistem undi pos ditukar kepada pengundian awal

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/12/11
SPR kaji penggunaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13

KUALA LUMPUR: Sistem undi pos yang mempunyai beberapa kelemahan teknikal akan ditukar dan dinamakan sebagai 'pengundian awal' yang dijangka mula digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti. Melalui sistem yang masih dalam kajian itu, proses pengundian akan dipermudahkan dan pengundi terbabit tidak perlu memasukkan kertas undi dalam sampul serta mengisi borang identiti seperti sistem undi pos sedia ada. Sebaliknya, pengundi terbabit layak mengundi awal melalui proses pengundian biasa, termasuk anggota tentera dan polis, seperti mana proses pengundian awal dilakukan di Thailand.

Namun, diplomat asing, pengundi di negara luar dan anggota keselamatan bertugas di perbatasan atau misi luar negara akan menggunakan sistem undi pos sedia ada.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tujuan utama pelaksanaan sistem pengundian awal adalah bagi mengatasi masalah teknikal dan persepsi negatif terhadap sistem undi pos yang diguna pakai, sebelum ini.

“Sistem pengundian awal masih dalam kajian dan SPR sasarkan dapat dilaksanakan pada PRU13, sekiranya semua proses terbabit termasuk pindaan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang berkaitan dapat diselesaikan,” katanya, semalam.
Beliau memberi contoh masalah teknikal seperti kesalahan mengisi maklumat dan kesilapan memasukkan sampul ke dalam karung undian menyebabkan banyak undi pos tidak diterima, misalnya di pilihan raya kecil Batu Sapi, sebanyak 150 undi pos terpaksa ditolak atas kesalahan sama.

Di Thailand, peraturan pilihan raya negara itu membenarkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal, terutama mereka yang mendaftar di wilayah lain tetapi tidak dapat pulang pada hari pilihan raya umum dan mahu mengundi lebih awal di tempat mereka bekerja atau bermastautin.

Dilaporkan hampir tiga juta daripada 45 juta pengundi berdaftar di negara itu mengundi lebih awal pada dua hari ditetapkan pada pilihan raya umum 2007. Difahamkan melalui kajian sistem pengundian awal itu, SPR akan mengesyorkan kemasukan kategori lain seperti wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari sebagai pemilih.

Ketika ini, mereka yang layak mengundi pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan di luar negara.

Dianggarkan kira-kira 200,000 pengundi pos membabitkan tentera, polis dan pemilih di luar negara.

Terdahulu ketika ditemui selepas rakaman Program Bicara Rakyat anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Auditorium, Muzium Negara, Abdul Aziz berkata hampir 60 peratus daripada 11 juta pengundi berdaftar di negara ini mengundi di luar kawasan mastautin, terutama di kampung masing-masing, menyebabkan ada pihak menyalah anggap golongan itu sebagai ‘pengundi hantu’.

Katanya, peratusan itu berdasarkan andaian hanya 40 daripada 100 surat dihantar SPR sampai kepada penerimanya, manakala selebihnya tidak diterima kerana pengundi berdaftar tidak menetap di alamat yang didaftarkan dalam kad pengenalan mereka.

Mengenai persiapan pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan tidak lama lagi, beliau berkata SPR bersiap sedia menjalankan pilihan raya negeri itu pada bila-bila masa, dan menunggu peruntukan perbelanjaan diluluskan.

10 terpilih Sekolah Amanah

Oleh Azrina Ahzan
edisimingguan@bharian.com.my
2010/12/11


MUHYIDDIN berbual dengan Syed Ibrahim Syed Ishak, 12, dari Sekolah Kebangsaan Bandar Bharu Uda 2, Johor selaku pembaca doa pembukaan majlis pelancaran Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR di Putrajaya, semalam.Projek perintis pertingkat akademik hasil perkongsian awam-swasta

PUTRAJAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kementerian Pelajaran semalam melancarkan inisiatif bersama dikenali Sekolah Amanah bertujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik sekolah menerusi konsep perkongsian awam-swasta (PPP). Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak 10 sekolah, masing-masing lima di Johor dan Sarawak dipilih menyertai projek perintis itu di bawah program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR. Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, SMK Gelang Patah, SK Kampong Layau, SM Sains Kuching, SMK Bandar Kuching 2, SK Tabuan, SK Empila dan SK Combine.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah terbabit terdiri daripada sekolah berprestasi lemah, sederhana dan baik serta merentasi pelbagai latar belakang sosio ekonomi.

"Sekolah Amanah bukanlah sekolah elit kerana natijah akhir program ini untuk memastikan setiap sekolah dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan bantuan khususnya kewangan daripada Khazanah.

"Oleh itu, satu unit Sekolah Amanah sudah diwujudkan di kementerian bagi mengawal, menyelia dan memastikan objektif program dicapai selain penubuhan Yayasan AMIR di bawah Khazanah bagi mengendalikan projek perintis ini dalam tempoh lima tahun," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR, di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, menerusi program berkenaan, Khazanah akan memberi bantuan nasihat, kepakaran dan kewangan dalam usaha menaikkan lagi prestasi sekolah terbabit dan setakat ini beberapa syarikat korporat serta swasta lain menyatakan minat menyertai program terbabit.

Sementara itu, Azman berkata, Khazanah memperuntukkan RM20 juta setahun bagi melaksanakan program Sekolah Amanah itu selaras komitmennya menyokong usaha kerajaan mentransformasi sistem pendidikan.

Beliau berkata, Johor dan Sarawak menjadi pilihan projek perintis kerana Khazanah banyak menjalankan projek pembangunan di selatan Semenanjung, manakala Sarawak pula kerana pihaknya mahu pembangunan seimbang antara Semenanjung dan Malaysia Timur kerana program itu akan turut dikembangkan ke Sabah.

INFO: Sekolah Amanah


•Mengamalkan konsep perkongsian antara awam dan swasta seperti yang diamalkan di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, England dan Sweden.


•Sekolah awam akan diurus bersama oleh rakan kongsi swasta yang berkelayakan dan pengetua daripada perkhidmatan awam di bawah naungan Kementerian Pelajaran.


•Menggabungkan ciri-ciri terbaik daripada sektor awam dan swasta bagi menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih baik untuk pelajar supaya dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.


•Berbeza dengan Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah SMART dan Sekolah Wawasan kerana ia menggunakan model pengurusan serta operasi yang berbeza iaitu berteraskan perkongsian awam-swasta.


•Terus mengekalkan status awam tetapi lebih bebas untuk bekerjasama dengan rakan kongsi swasta berkelayakan (menerusi yayasan bukan berasaskan keuntungan) yang mempunyai kepakaran, sumber, dana dan kualiti kepimpinan bagi menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang bersesuaian.


•Rakan kongsi swasta boleh tergolong daripada institusi pendidikan tinggi, kumpulan alumni dan juga syarikat swasta.


•Diberi kelonggaran bagi membuat keputusan mengenai penyampaian kurikulum, pembangunan profesional berterusan, kewangan dan pemerolehan serta pengurusan sumber manusia bagi mempertingkatkan inovasi dan memenuhi keperluan komuniti setiap sekolah.


•Menetapkan beberapa sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan peningkatan hasil pelajar dalam rangka masa lima tahun merangkumi aspek akademik dan bukan akademik seperti keputusan peperiksaan, kemajuan pelajar dan sekolah, perkembangan watak (kepimpinan dan kreativiti) dan kepuasan pihak yang berkepentingan iaitu pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar