Friday, December 10, 2010

Sistem undi pos ditukar kepada pengundian awal

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/12/11
SPR kaji penggunaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13

KUALA LUMPUR: Sistem undi pos yang mempunyai beberapa kelemahan teknikal akan ditukar dan dinamakan sebagai 'pengundian awal' yang dijangka mula digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti. Melalui sistem yang masih dalam kajian itu, proses pengundian akan dipermudahkan dan pengundi terbabit tidak perlu memasukkan kertas undi dalam sampul serta mengisi borang identiti seperti sistem undi pos sedia ada. Sebaliknya, pengundi terbabit layak mengundi awal melalui proses pengundian biasa, termasuk anggota tentera dan polis, seperti mana proses pengundian awal dilakukan di Thailand.

Namun, diplomat asing, pengundi di negara luar dan anggota keselamatan bertugas di perbatasan atau misi luar negara akan menggunakan sistem undi pos sedia ada.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tujuan utama pelaksanaan sistem pengundian awal adalah bagi mengatasi masalah teknikal dan persepsi negatif terhadap sistem undi pos yang diguna pakai, sebelum ini.

“Sistem pengundian awal masih dalam kajian dan SPR sasarkan dapat dilaksanakan pada PRU13, sekiranya semua proses terbabit termasuk pindaan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang berkaitan dapat diselesaikan,” katanya, semalam.
Beliau memberi contoh masalah teknikal seperti kesalahan mengisi maklumat dan kesilapan memasukkan sampul ke dalam karung undian menyebabkan banyak undi pos tidak diterima, misalnya di pilihan raya kecil Batu Sapi, sebanyak 150 undi pos terpaksa ditolak atas kesalahan sama.

Di Thailand, peraturan pilihan raya negara itu membenarkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal, terutama mereka yang mendaftar di wilayah lain tetapi tidak dapat pulang pada hari pilihan raya umum dan mahu mengundi lebih awal di tempat mereka bekerja atau bermastautin.

Dilaporkan hampir tiga juta daripada 45 juta pengundi berdaftar di negara itu mengundi lebih awal pada dua hari ditetapkan pada pilihan raya umum 2007. Difahamkan melalui kajian sistem pengundian awal itu, SPR akan mengesyorkan kemasukan kategori lain seperti wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari sebagai pemilih.

Ketika ini, mereka yang layak mengundi pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan di luar negara.

Dianggarkan kira-kira 200,000 pengundi pos membabitkan tentera, polis dan pemilih di luar negara.

Terdahulu ketika ditemui selepas rakaman Program Bicara Rakyat anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Auditorium, Muzium Negara, Abdul Aziz berkata hampir 60 peratus daripada 11 juta pengundi berdaftar di negara ini mengundi di luar kawasan mastautin, terutama di kampung masing-masing, menyebabkan ada pihak menyalah anggap golongan itu sebagai ‘pengundi hantu’.

Katanya, peratusan itu berdasarkan andaian hanya 40 daripada 100 surat dihantar SPR sampai kepada penerimanya, manakala selebihnya tidak diterima kerana pengundi berdaftar tidak menetap di alamat yang didaftarkan dalam kad pengenalan mereka.

Mengenai persiapan pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan tidak lama lagi, beliau berkata SPR bersiap sedia menjalankan pilihan raya negeri itu pada bila-bila masa, dan menunggu peruntukan perbelanjaan diluluskan.

No comments: