Friday, April 10, 2009

Pengimpal besi ditahan tanam pokok ganja

BALIK PULAU- 09 April 2009: Polis menahan seorang pengimpal besi kerana memiliki tujuh batang pokok ganja yang ditanam di dalam rumahnya di Sungai Pinang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Hatta Md Zain berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, polis melakukan serbuan di rumah berkenaan pada kira-kira jam 5.45 petang serta menahan lelaki berusia 22 tahun itu.

"Polis menemui tujuh batang pokok ganja yang dianggarkan berusia kira-kira dua bulan yang ditanam di dalam pasu di rumah yang disewa lelaki berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui satu paket plastik yang mengandungi ganja dan resin ganja di rumah lelaki yang juga penduduk kawasan berkenaan.

"Pokok-pokok berkenaan dipercayai ditanam menggunakan benih ganja dan setiap pokok yang mencapai tempoh matang dalam masa lima bulan ke atas boleh menghasilkan 200 gram ganja," katanya.

Hatta berkata, polis sudah mengambil semua pokok ganja itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

"Kita kini sedang mengenal pasti sama ada lelaki berkenaan menanamnya untuk kegunaan sendiri, dijual atau ada tujuan lain," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang positif ganja itu kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. - Bernama

No comments: