Thursday, February 2, 2012
Saman pemula 4 beranak pohon isytihar murtad dibicarakan
02/02/2012 6:09pm
Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA 2 Feb. – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan saman pemula empat beranak keturunan India Muslim bagi mendapat perisytiharan bahawa mereka bukan lagi beragama Islam, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan.
Zaina Abidin Hamid @ S. Maniam, 60, dan tiga anaknya iaitu Surindran a/l Zaina Abidin, Mohanasubash a/l Zaina Abidin dan Chandrika a/p Zaina Abidin memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa mereka telah murtad selepas mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.
Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara mengembalikan saman pemula itu ke Mahkamah Tinggi tanpa mendengar lima persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh empat beranak itu.
Antara persoalan itu - sama ada ibu bapa bagi anak-anak yang berusia di bawah 18 tahun berhak menentukan agama anak masing-masing menurut Perkara 11 dan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan mereka bagi merujuk isu undang-undang tidak sesuai dikemukakan pada peringkat itu kerana masih terdapat pertikaian berhubung fakta dalam saman pemula itu.
Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Datuk Hashim Yusof; Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar; dan Hakim Datuk Hasan Lah.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Zaina Abidin dan anak-anaknya merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan. - UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment