Friday, September 21, 2007

NASIONAL Isu pelantikan Dr Badariah ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan interpretasi Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahihan pelantikan Dr Badariah Sahamid sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim yang membuat keputusan itu dalam kamarnya, turut membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia supaya saman pemula difailkan Majlis Peguam terhadapnya ditangguh sehingga isu perlembagaan itu diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Julai lalu, Majlis Peguam mengemukakan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pelantikan Badariah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sejak Mac lalu, batal dan tidak sah.

Badan itu mendakwa pelantikan Badariah bertentangan dengan Artikel 122AB dibaca bersama Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman perlu mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai pengamal undang-undang.

Badan itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

Melalui afidavit diikrarkan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan bagi menyokong permohonan itu, beliau mendakwa, Badariah yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman berkuat kuasa 1 Mac lalu, tidak pernah memohon Sijil Amalan atau Sijil Annual yang diwajibkan sebagai peguam cara dan peguam bela.

Beliau berkata, Badariah hanya pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) dan tidak berkhidmat di bawah Jabatan Kehakiman dan Perundangan sebelum pelantikannya.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan supaya isu yang dipertikaikan berhubung interpretasi Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut afidavit Peguam Kanan Persekutuan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan Badariah memenuhi semua kelayakan bagi jawatan itu.

Beliau berkata, Badariah berkelulusan Ijazah Undang-Undang kelas pertama daripada UM pada 1978 dan menerima Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada University of London setahun kemudian. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran pada 2001 juga daripada UM.

No comments: