Friday, September 7, 2007

BPR tahan Hakim Mahkamah Syariah lepaskan GRO

Oleh Zaini Raban dan Amizul Tunizar Ahmad Termizi

IPOH 6 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan seorang hakim syarie atas dakwaan menerima rasuah untuk ‘menyelesaikan’ satu kes melibatkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang dikendalikannya.

Beliau ditahan oleh sepasukan pegawai BPR di sekitar bandar raya ini kira-kira pukul 3.30 petang selepas didakwa menerima wang berjumlah kira-kira RM4,000.

Menurut sumber, hakim berkenaan sebelum ini dikatakan menerima bayaran itu secara berperingkat-peringkat daripada pihak yang menghadapi dakwaan tersebut.

‘‘Beliau dipercayai telah menerima beberapa bayaran daripada pihak terbabit tetapi jumlah keseluruhan wang itu belum diketahui.

‘‘Berdasarkan maklumat, BPR juga yakin beliau telah lama melakukan ‘kerja’ (rasuah) ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, hakim berkenaan kini disoal siasat oleh pegawai penyiasat BPR.

Jelas beliau, jika proses itu tidak selesai, pihak BPR berkemungkinan besar akan memohon perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret, esok.

Katanya, ini kerana hakim berkenaan juga disyaki terlibat dengan beberapa kes rasuah lain.

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan penahanan hakim syarie itu tetapi enggan mengulas lanjut.

No comments: