Thursday, September 6, 2007

Persidangan APICC 2007: Selat Melaka topik utama


Kaedah terbaik dicari tingkat keselamatan perairan daripada ancaman pengganas


KUALA LUMPUR: Keselamatan Selat Melaka, antara laluan perkapalan utama dunia dijangka menjadi antara topik perbincangan sepanjang empat hari Persidangan Ketua Perisikan Pertahanan Asia Pasifik (APICC) 2007, bermula semalam.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata isu itu dijangka menjadi tumpuan berikutan kawasan perairan berkenaan didakwa terdedah kepada ancaman pengganas dan serangan lanun.

“Kajian mendapati 30 peratus daripada aktiviti perdagangan global, selain 50 peratus sumber tenaga dunia dieksport melalui Selat Melaka setiap tahun. Malah, 34 peratus daripada hasil pengeluaran dunia dijangka diperoleh dari rantau ini menjelang 2010.

“Ia sekali gus menarik perhatian kumpulan pengganas, termasuk lanun untuk mengambil kesempatan dan keadaan ini dikhuatiri boleh menyebabkan perairan itu tidak selamat digunakan jika langkah menanganinya tidak diambil segera,” katanya.

Justeru, APICC 2007 akan mencari pendekatan terbaik dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan kawasan perairan itu melalui perkongsian maklumat perisikan pertahanan, selain pengalaman dan kepakaran negara peserta.

“Tugas menjaga keselamatan Selat Melaka tidak seharusnya diserahkan kepada Malaysia semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama semua negara peserta persidangan, yang turut menggunakan perairan itu sebagai laluan perdagangan.

“Program kerjasama ini juga tidak sepatutnya bertumpu kepada Selat Melaka semata-mata, malah semua perairan lain di rantau ini, termasuk Laut China Selatan yang turut digunakan sebagai laluan perdagangan,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia menyambut baik penubuhan Pusat Menangani Aktiviti Pengganas Asia Tenggara (SEARCCT) sejak empat tahun lalu dalam usaha menangani ancaman pengganas pada peringkat serantau.

Malah, Abdul Aziz berharap penubuhan pusat itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani isu keselamatan serantau.

“Kita memerlukan aspek penyelarasan lebih baik dalam menangani masalah pengganas dan serangan lanun. Ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan pusat ini dengan bertukar maklumat perisikan pertahanan, pengalaman dan kepakaran di kalangan negara serantau,” katanya.

No comments: