Wednesday, August 22, 2007

Hakim juga boleh dipecat

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memberi amaran bahawa hakim yang tidak menunaikan tanggungjawab dengan sempurna boleh dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipecat.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa antara faktor yang membolehkan seseorang hakim itu dipecat bukan saja kerana kegagalannya memberi penghakiman bertulis, tetapi juga kerana memiliki sikap tidak baik, termasuk mudah melenting.

Mengulas laporan sebuah akhbar tentang tindakan seorang banduan bilik akhir yang meringkuk selama lebih sembilan tahun memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan pembebasannya kerana kegagalan Mahkamah Tinggi memberi penghakiman bertulis terhadap kesnya, Ahmad Fairuz berkata, beliau sedang menyiasat perkara itu.

“Siasatan awal saya menunjukkan bahawa hakim berkenaan telah membaca asas penghakimannya di mahkamah terbuka pada tahun 2002. Tapi, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Jadi, kami perlu buat siasatan. Mungkin ada yang tak kena,” katanya selepas merasmikan seminar bertajuk Ahmad Ibrahim: Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sebuah hotel di sini hari ini.

Merujuk laporan yang sama, Ahmad Fairuz berkata: “Anda tahu tentang bahaya besar apabila seseorang itu berkata sesuatu yang tidak benar. Dalam Islam, ini dipanggil ‘fitnah’. Amat buruk perbuatan seseorang yang mengatakan sesuatu perkara yang tidak benar.”

Bekas peniaga ikan dan sayur-sayuran di Pasar Pasir Mas, Kelantan, Baha Jambol, 45, memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan supaya menyemak nota perbicaraan dalam rekod rayuannya dan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya kerana mengedar dadah dengan alasan hakim perbicaraan gagal memberi alasan penghakimannya walaupun diberi peringatan beberapa kali.

Baha kini dikurung berseorangan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ahmad Fairuz bagaimanapun menafikan laporan sebuah akhbar lain kononnya seorang hakim Mahkamah Persekutuan gagal memberi penghakiman terhadap 30 kes sepanjang tempoh beliau menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, termasuk bagi kes dadah dan bunuh.

Mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, hakim perbicaraan perlu memberi asas penghakiman untuk dimasukkan ke dalam rekod rayuan dan tanpa asas penghakiman secara bertulis, Mahkamah Rayuan tidak boleh mendengar rayuan berkenaan.

“Saya sudah semak dan mendapati berita yang mengatakan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak menulis 30 asas penghakiman jelas sekali tidak terdapat dalam rekod kami.

“Tak ada perkara seperti itu dalam rekod kami. Tidak ada hakim Mahkamah Persekutuan yang gagal menulis asas penghakiman sebanyak itu. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena di situ,” kata beliau.

Ahmad Fairuz berkata, beliau juga sedang meneliti perilaku semua hakim dan mempunyai rekod mengenai hakim yang tidak menulis asas penghakiman mereka.

“Malah, pada masa lepas, hakim yang tidak menulis asas penghakiman tidak akan dinaikkan pangkat sehinggalah beliau menyiapkan asas penghakimannya,” kata beliau.

Ditanya sama ada benar semasa beliau menjadi Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan ada hakim yang dinaikkan pangkat walaupun mereka tidak menyediakan asas penghakiman secara bertulis ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Fairuz berkata:

“Tunjukkan kepada saya. Anda tunjukkan kepada saya bahawa mereka ini telah dinaikkan pangkat walaupun banyak asas penghakiman yang belum selesai mereka tulis.”

Beliau berkata, kenaikan pangkat bagi hakim dibuat berasaskan meritokrasi, bukan saja berdasarkan prestasinya, termasuk kejayaan menyediakan asas penghakiman (walaupun ini adalah antara faktornya), tetapi juga faktor lain.

Kata beliau, faktor yang diambil kira termasuk perilaku seseorang hakim itu secara peribadi, pergaulannya dengan masyarakat, sama ada beliau bergaul dengan orang korporat, kerap bersikap berat sebelah, sama ada beliau mampu menjadi hakim yang baik, telah menyelesaikan banyak kes dan mampu mengawal kemarahan.

– Bernama

No comments: