Wednesday, August 8, 2007

Ketua Polis Pahang berang siasatan 'janji siap'

(Sumber : Berita harian Online)

KUANTAN: Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed, semalam berang dengan sikap pegawai polis yang menjalankan siasatan secara `janji siap' berkaitan satu kes pembunuhan sehingga menyebabkan mahkamah terpaksa membebaskan dua tertuduh, kelmarin.Ayob dikatakan mengadakan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, pagi semalam, sebelum mengadakan mesyuarat tergempar di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri (IPK) pada sebelah petang.

Beberapa pegawai polis, termasuk yang terbabit dalam kes berkenaan turut dipanggil bagi memberi penjelasan terperinci berhubung kaedah siasatan yang dilakukan.Ayob ketika dihubungi, berkata siasatan terperinci akan dilakukan segera bagi mencari jalan terbaik untuk meningkatkan prosedur siasatan, sekali gus memperbaiki hasil siasatan dan memperkukuhkan pendakwaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada polis sudah mengambil sebarang tindakan proaktif bagi menahan pihak yang terbabit dalam kes pembunuhan itu.Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Halim Aman, menegur sikap pegawai polis yang menjalankan siasatan secara `janji siap' sehingga menyebabkan mahkamah terpaksa melepas dan membebaskan dua tertuduh dalam kes pembunuhan seorang lelaki di Felda Lepar Hilir 2, Gambang, tahun lalu.Ketika membuat keputusan melepas dan membebaskan Syed Halil Syed Mohamad, 23, dan Mohd Nazri Jailani, 23, beliau berkata, kekuatan kes itu bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan polis, tetapi dalam kes berkenaan siasatan Asisten Superintendan Noorleyda Ahmad hanya sebagai memenuhi `pelengkap cara'.Syed Halil dan Mohd Nazri, kedua-duanya buruh ladang di Felda Lepar Hilir 2, bersama lima lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Jamzi Afzan Ahmad, 22 antara jam 12.01 pagi hingga 2.15 pagi, 7 Julai 2006 dalam kebun getah Blok 12, Lot 1349 ladang berkenaan.Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amy Ling Huoy Yi.Syed Halil diwakili peguam Bob Arumugam, manakala Mohd Nazri diwakili Sairil Ahmd Abdul Manaf.Sementara itu, bapa mangsa pembunuhan berkenaan, Ahmad Hassan, 47, mahu polis terus mencari pembunuh anaknya bagi menegakkan keadilan."Kami mahu pihak berkuasa menegakkan keadilan selepas anak saya mati dalam keadaan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya yang juga seorang peneroka Felda.

No comments: