(Sumber : Utusan online)
KUALA LUMPUR 2 Ogos – Bekas Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar Urusan Teknologi Wawasan Sdn. Bhd. (UTW) masing-masing dihukum penjara enam bulan dan denda RM100,000 dan RM97,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan bersetuju menerima rasuah, enam tahun lalu.
Bagaimanapun, selepas menimbangkan permohonan kedua-dua peguam yang meminta budi bicara mahkamah untuk membenarkan tertuduh membayar denda secara ansuran, Hakim Rosenani Ab. Rahman memerintahkan Nor Azmi Wahab, 45, dan Ab. Patah Omar, 57, membayar denda masing-masing dalam tempoh enam bulan.
Mereka diarahkan membuat pembayaran RM10,000 pertama bagi denda itu dalam tempoh dua bulan.
Tertuduh pertama, Nor Azmi, bekas Pengurus Besar syarikat tersebut berasal dari Negeri Sembilan didakwa bersetuju menerima wang tunai RM20,000 daripada Sofiyan Yahya iaitu Pengarah Urusan Syarikat Kijangmaju Sdn. Bhd., sebagai dorongan untuk mempercepatkan pelepasan cek bayaran terakhir RM142,200 berkaitan dengan satu subkontrak pembekalan pekerja mahir bagi kerja penyelengaraan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Dia didakwa melakukan kesalahan itu lebih kurang pukul 9 malam, 30 Mac 2001 di Maria Coffee House, Mint Hotel, KM 8, Lebuh raya Kuala Lumpur Seremban di sini.
Tertuduh kedua, Ab. Patah, bekas Timbalan Pengurus Besar syarikat itu didakwa melakukan kesalahan serupa di tempat dan masa yang sama iaitu bersetuju menerima RM19,500 daripada Sofiyan bagi tujuan yang sama.
Nor Azmi dan Ab. Patah dibuktikan bersalah selepas perbicaraan yang melibatkan 36 saksi.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Nor Azmi yang diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed membuat rayuan agar anak guamnya diringankan hukuman memandangkan dia mengalami tekanan mental dan fizikal sepanjang tempoh perbicaraan lima tahun dan kehilangan punca pendapatan.
Ab. Patah pula diwakili peguam K. Kulasekar, memohon agar anak guamnya dijatuhkan hukuman ringan atas alasan dia telah kehilangan pekerjaan dan terpaksa menanggung keluarganya seramai enam orang.
Tambah mereka, anak guaman mereka tidak pernah gagal untuk menghadirkan diri ke mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.
Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), Farah Azlina Latif, membantah rayuan kedua-dua tertuduh atas alasan kehadiran mereka ke mahkamah sebagai satu syarat untuk meringankan hukuman.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan kedua-dua menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan jaminan RM20,000 tiap seorang sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment