Tuesday, August 14, 2007

PM: Isu tuntutan bertindih Malaysia-Brunei dijangka selesai


Daripada Rozaman Ismail



ABDULLAH Ahmad Badawi dan Sultan Hassanal Bolkiah berbincang sambil berjalan seiringan ketika kedua-dua pemimpin itu melakukan senaman pagi di Taman Rekreasi Tasek Lama di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, semalam. – Gambar BERNAMA.




BANDAR SERI BEGAWAN 14 Ogos – Malaysia yakin isu tuntutan bertindih ke atas persempadanan maritim Malaysia-Brunei dapat diselesaikan dan ia tidak akan mengambil masa yang panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perbincangan beliau dengan Sultan Hassanal Bolkiah memperlihatkan perkembangan yang baik dalam isu tersebut hasil persefahaman dan kerjasama rapat kedua-dua buah negara selama ini.
‘‘Kita sudah bincang isu ini dengan Brunei. Kedua-dua pihak juga sudah mengemukakan cadangan-cadangan baru dan bersetuju agar ia diselesaikan secepat mungkin,’’ katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya Perundingan Tahunan Ke-11 Malaysia-Brunei di sini hari ini.
Isu tuntutan bertindih itu mula ditimbulkan apabila syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas menemui simpanan minyak di kawasan kira-kira 150 kilometer dari pesisir pantai Sabah pada 2002 dan kawasan tersebut dianggarkan mengandungi simpanan minyak lebih 700 juta tong.
Malaysia telah lama menuntut kawasan itu sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) manakala Brunei turut mengemukakan tuntutan ke atas kawasan yang sama.
Abdullah berkata, beliau tidak mahu memperincikan butiran perbincangan isu tersebut tetapi menegaskan kedua-dua pihak mahu menyelesaikan masalah berkaitan tuntutan bertindih itu.
Beliau yakin isu itu dapat diselesaikan walaupun sebarang masalah berhubung tuntutan bertindih antara Malaysia dan Brunei bukanlah sesuatu yang senang hendak diselesaikan.
“Kita sedang melakukan yang terbaik dan oleh kerana hubungan baik antara kedua-dua negara, kita dapat lihat kemajuan dan ia mampu diselesaikan,’’ katanya sambil menambah kedua-dua negara tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk menyelesaikannya.
Pada sidang akhbar yang sama, Abdullah memberitahu Malaysia dan Brunei setuju untuk memperkenalkan kad kekerapan perjalanan (FTC) bagi memudahkan penduduk Sarawak dan Brunei berulang- alik melalui jalan darat antara kedua-dua buah negara tanpa perlu menggunakan pasport.
Katanya, majlis pelancaran kemudahan itu akan diadakan pada 10 September depan di sini.
Mengenai hasil Perundingan Tahunan Ke-11 antara Malaysia dan Brunei, Perdana Menteri berkata, beliau amat gembira dengan pertemuan tersebut yang membuktikan hubungan dan persefahaman yang amat kuat antara kedua-dua negara.
Menurut Abdullah, Brunei menyatakan minat mendalam untuk turut serta dalam pembangunan beberapa wilayah pembangunan baru di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Koridor Utara serta Koridor Pembangunan Sabah dan Sarawak.
‘‘Dan Malaysia amat mengalu-alukan penyertaan Brunei dalam pembangunan ekonomi Malaysia,’’ kata beliau lagi.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis makan tengah hari dengan masyarakat Malaysia di Brunei Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian negara setakat ini.
‘‘Kita tidak boleh sekadar berpuas hati dan tidak berbuat apa-apa lagi. Kalau kita tidak terus berusaha, kita akan ketinggalan dan ditinggalkan oleh negara-negara lain,’’ tegasnya.

No comments: