ISNIN ini, Pulau Langkawi sekali lagi dibanjiri para pemimpin pelbagai negara bagi menjayakan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) Kelapan selama empat hari setelah menyepi selama tiga tahun.
Bahang dialog perkongsian bijak ini menghimpunkan ketua-ketua kerajaan yang kebanyakannya datang dari Afrika untuk berkongsi pengalaman dalam bidang kerajaan, ekonomi dan sosiopolitik nyata belum malap.
Kali ini, dengan berpaut pada perjuangan yang dekat kepada hati Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seramai 263 peserta dari 16 negara akan mendalami isu-isu pembasmian kemiskinan, pembinaan keupayaan dan pembangunan modal insan.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam wawancara bersama wartawan RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan NIZAM YATIM serta jurugambar ASWAD YAHYA di Kuala Lumpur, Khamis lalu berkata, dialog kali ini mahu menghasilkan pelan tindakan yang praktikal melalui perbincangan bebas bagi melahirkan situasi menang-menang.
“Ini satu-satunya forum di mana matlamatnya bukan matlamat politik tetapi berbentuk ekonomi, khususnya sosioekonomi dan pembangunan ekonomi untuk melahirkan rangkaian menang-menang antara negara-negara yang mengambil bahagian,” katanya.
Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) yang terakhir berlangsung pada tahun 2004. Mengapakah LID 2007 ini diadakan pada tempoh yang agak lama dari yang terdahulu?
SYED HAMID: Ia berhubung kait dengan soal persediaan.
Setelah menghubungi pihak Perkongsian Komanwel mengenai Pengurusan Teknologi (CPTM) yang banyak terlibat dengan penganjuran dialog ini, mereka berpendapat bahawa tarikh yang kita mula-mula hendak adakan LID kelapan, iaitu pada akhir tahun 2006 atau awal 2007 adalah tidak sesuai dan banyak ketua negara mungkin tidak dapat menghadiri dialog tersebut.
Oleh itu kita telah ganjakkan tarikhnya mengikut masa yang dianggap lebih sesuai, yang akan membolehkan penglibatan seramai mungkin ahli-ahli dari negara-negara Afrika ke LID.
Tetapi kenapa jurang masanya terlalu besar?
Tidak, ia macam ni. LID selalu diadakan tiap-tiap dua tahun di Malaysia dan satu tahunnya bersilih ganti dengan negara-negara di selatan Afrika.
Bila kita buat macam itu bermakna kita seharusnya adakan LID kelapan ini pada tahun 2006 tetapi tarikh yang kita ada pada 2006 dikatakan tidak sesuai kerana dekat dengan akhir tahun, jadi susah untuk mendapat penglibatan ketua-ketua kerajaan yang ingin menghadirinya.
Oleh itu kita ganjakkan kepada awal tahun 2007, iaitu bulan Januari, lepas itu Mac, tetapi itu juga dianggap tidak sesuai.
Akhirnya kita bagi tarikh mengikut apa yang sesuai dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu pada bulan Ogos.
Jarak masanya tidak berapa jauh. Kalau kita tengok dari segi tahun ke tahun, hanya pada tahun 2006 ia tidak diadakan tetapi diadakan pada tahun 2007, dan ini juga tidak bermakna kita berhenti daripada memberikan keutamaan kepada LID.
Ada cakap-cakap yang menyatakan bahawa seolah-olah kita tidak lagi memberi tumpuan kepada LID sebagai satu forum yang bermanfaat.
Ini adalah tidak benar, kerana ia lebih melibatkan soal pentadbiran dan kehadiran.
Kementerian Luar juga diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mengambil alih penganjuran LID atas asas ia adalah sebahagian daripada beberapa mekanisme yang mempunyai kaitan rapat dengan Komanwel seperti Mesyuarat Komanwel Peringkat Menteri dan Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Apakah pembaharuan yang akan berlaku di LID, apatah lagi Kementerian Luar pula mengambil alih penganjuran buat pertama kali?
Dulu tumpuan dialog selalunya kepada pembangunan teknologi dan perkongsian bijak, tanpa tema-tema tertentu, tapi pada kali ini oleh kerana Perdana Menteri kita begitu ghairah dengan tajuk pembasmian kemiskinan, bina upaya dan modal insan, maka pada kali ini forum diadakan secara bertajuk.
Bertajuk bermakna LID 2007 dianggap lebih praktikal dan akan membolehkan kita mengaitkan teknologi kepada program-program yang hendak kita laksanakan dan rumusan yang hendak kita capai.
Dan diharapkan habis daripada ini akan ada satu pelan tindakan, jadi ini mungkin akan lebih menarik kepada mereka yang mengambil bahagian kerana sekurang-kurangnya mereka nampak lebih tertumpu.
Pada masa yang sama, kita tidak meninggalkan perkongsian pintar ataupun penggunaan teknologi bagi menghasilkan pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial yang dapat mengeluarkan rakyat daripada paras kemiskinan.
Selain itu, kita dapat membina keupayaan dan modal insan supaya negara-negara membangun dapat mengambil bahagian secara berkesan dalam proses yang sedang berlaku, yang tidak dapat dihentikan, iaitu proses globalisasi, proses pasaran terbuka, dunia yang berasaskan kepada perdagangan dan rejim perdagangan.
Jadi, ini semua memerlukan keterampilan yang akan membolehkan negara membangun mengambil bahagian melalui perkongsian pengalaman dan model-model yang berjaya.
Mesyuarat ini akan dibuat dalam bentuk meja bulat dan perbincangannya akan dibawa kepada satu perbincangan yang akan membolehkan kita merumus di peringkat plenari dan perkara itu akan dibentangkan kepada ketua kerajaan untuk diterima pakai.
Nampaknya ada kelainan pada LID 2007, jadi apakah temanya kali ini?
Pembasmian Kemiskinan, Pembinaan Keupayaan dan Pembangunan Modal Insan.
Ini adalah subjek kegemaran Perdana Menteri dan saya fikir dia letakkan pembangunan sesebuah negara itu bergantung kepada pembangunan insan itu sendiri dan kalau mahu keluarkan orang daripada kemiskinan, kita mesti mengatasi kejahilan dan kita mesti memberikan keupayaan dari segi pengisian ilmu.
Itu tajuk utama yang akan dibahaskan.
Ia juga bertujuan melahirkan rangkaian melalui perkongsian pintar di antara pemimpin lama yang menjadi Felo Emeritus dengan kumpulan sumber, pegawai-pegawai kerajaan, ahli perniagaan, usahawan industri dan golongan akademik.
Melalui cara itu, kita dapat mengupas dan menganalisis perkara-perkara yang penting dan boleh kita utamakan.
Oleh sebab tiga tahun tidak diadakan, bagaimana sambutan penyertaan untuk LID kali ini?
Amat baik. Seramai 263 peserta telah mengesahkan penyertaan. Apa yang penting bukan sahaja bilangan peserta tetapi juga kualiti mereka.
Kalau kita tengok pada tahun 2004, kehadiran di LID pada peringkat ketua kerajaan atau ketua negara ialah empat orang dan menteri 17 orang.
Kali ini, 14 ketua negara atau ketua kerajaan dan 35 menteri akan hadir, yang mana 12 ialah dari Malaysia dan 23 dari negara luar.
Selain itu, seramai lima Felo akan hadir, 25 kumpulan sumber daripada CPTM, 66 pegawai kerajaan kanan (45 dari Malaysia dan 21 dari luar negara), 105 wakil industri (58 dari Malaysia dan 47 dari luar negara) dan 10 ahli akademik akan turut hadir.
Mereka datang dari Gambia, Kenya, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, St. Vincent & The Grenadines, Sudan, Swaziland, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.
Empat adalah dari negara ASEAN, iaitu Kemboja di peringkat menteri kanan dan Thailand pada peringkat Perdana Menteri dan tiga menteri, Vietnam dan Malaysia.
Tak semuanya dari negara-negara Komanwel, tapi asas perkembangan pada mula-mula LID diperkenalkan ialah penglibatan negara-negara Komanwel sebagai kumpulan pokok.
Tapi tidak semestinya (hanya terhad kepada negara-negara Komanwel) kerana LID lebih tertumpu kepada kerjasama dan melahirkan rangkaian di kalangan Negara Selatan-Selatan dan negara-negara membangun.
Antara peserta LID adalah Felo Emeritus iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Presiden Mozambique, Joaqim Alberto Chissano dan bekas Perdana Menteri Botswana, Ketumile Masire serta isteri-isteri mereka seperti Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Selain itu kita juga ada Naib Presiden Malawi dan Sir Charles Masefield dari BAE Systems yang akan mewakili syarikat United Kingdomnya ke sini, selain nama-nama besar Malaysia seperti Petronas, Telekom dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Mereka akan bercampur dengan pegawai kerajaan kerana kita nak ada penglibatan di antara pembuat dasar, pelaksana dasar dengan penerima dasar.
Dengan itu, mereka dapat berbincang dengan lebih berkesan lagi.
Adakah Felo Emeritus setakat hadir atau mereka sama-sama dapat menyertai perbincangan meja bulat?
Mereka boleh turut serta, tiada apa yang menghalang mereka daripada berbuat demikian.
Kita ada dua bahagian. Yang pertama, sesi meja bulat yang melibatkan ketua-ketua kerajaan yang mana mereka boleh turut serta.
Selain itu ada juga kumpulan mereka sendiri, yang dipanggil perkongsian pintar, iaitu Mesyuarat Felo dan Felo Emeritus yang akan diadakan sebanyak dua sesi, itu di antara mereka sahaja.
Tapi antara mereka pun, saya fikir semua ketua kerajaan sekarang adalah Felo, jadi mereka akan sentiasa berbincang sama-sama.
Bagaimanakah bentuk dialog kali ini?
Idea dan konsep perbincangan dalam meja bulat ini adalah semuanya berasaskan kepada perbincangan bebas, jadi dia (pemimpin) tidak boleh membaca daripada ucapan atau kenyataan yang telah disediakan.
Semuanya adalah berasaskan interaksi dan dia reaktif kepada bahan yang dibincangkan dan isi perbincangan yang berjalan di dalam proses itu.
Tiap-tiap negara akan memimpin sesi-sesi yang telah kita tetapkan.
Apakah sesi dialog yang bakal menarik perhatian?
Kita ada satu sesi yang sangat menarik yang telah diperkenalkan pada tahun 2004 dan akan diteruskan kali ini iaitu pembalikan media.
Ini bermakna, daripada media mewawancara ketua kerajaan, kini ketua-ketua kerajaan pula akan mewawancara wakil-wakil media.
Sesi terakhir telah dipimpin oleh saya tetapi kali ini saya tidak tahu lagi.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyuruh Pengerusi Bernama, Datuk Mohamed Annuar Zaini untuk mempengerusinya.
Apa yang dapat diperoleh daripada sesi sebegitu?
Agak menarik, sesetengah pemimpin berubah menjadi tegas apabila berhubung dengan media, sesetengah wakil media menjadi takut kerana kini pemimpin yang bercakap mengenai mereka.
Pada kali terakhir, saya telah meminta pemimpin untuk bercakap mengenai pendapat mereka mengenai media, perkara-perkara yang mereka mahu paparkan dalam media, pendapat mereka mengenai liputan berita dan saya kemudiannya membenarkan wakil-wakil media, iaitu ketua-ketua pengarang memberi maklum balas.
Kemudian mereka memberi maklum balas mengapa mereka berbuat sesuatu dalam cara yang tertentu, atau mungkin mereka tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin dan memberikan pendapat mengenai mereka.
Selain daripada itu, apa lagi acara yang akan diadakan sempena LID 2007?
Akan ada pameran inovasi dan teknologi serta teknologi maklumat (IT) yang kebanyakannya datang dari syarikat-syarikat Malaysia.
Yang ini, kita berikan kepada Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (Might) terus melakukannya dengan berperanan sebagai sekretariat sokongan, di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Kita juga ada program untuk isteri ketua-ketua kerajaan yang pertama kalinya akan melibatkan Datin Seri Jeanne Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan bertindak sebagai moderator dan sesi mereka akan melibatkan soal peranan kanak-kanak dan kedudukan mereka dalam konteks pembangunan.
Di akhir dialog ini, apakah objektif dan hasil yang diharapkan?
Bagaimana kita dapat melahirkan satu situasi di mana kedua-dua belah pihak, merasakan menang-menang iaitu boleh melahirkan peluang perniagaan, boleh melahirkan model-model pembangunan yang berjaya dan apakah tindakan yang memperlihatkan keberkesanan perkongsian pintar.
Sebab itu akan ada pelan tindakan di akhir dialog untuk melihat kepada pelaksanaannya.
Kali ini kita nak lebihkan (perkara tersebut), ia akan menjadi tindakan praktikal dan bukannya berbincang sahaja.
Jika tidak, orang kata dialog sahaja dan ada orang mempunyai tanggapan LID ini banyak buang masa, buang duit, tapi orang tidak nampak sumbangannya yang sebenar, secara langsung dan tidak langsung.
Melaluinya kita dapat melahirkan rangkaian dalam hubungan diplomatik, ekonomi, politik, perdagangan dan pelaburan.
Rangkaian ini adalah satu unsur yang penting dan Malaysia berjaya memasuki pasaran baru di Afrika kerana kita ada hubungan-hubungan melalui forum-forum sebegini rupa.
Dengan kehadiran Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont ke LID 2007, adakah isu selatan Thailand akan dimasukkan dalam perbincangan pembasmian kemiskinan?
Saya fikir tak bincang secara khusus (perkara itu), pasal kita akan lihat pada model-model dan kalau dah ada, ada minat untuk adakan usaha sama atau untuk syarikat melabur.
Kita sudah ada senarai, sekurang-kurangnya ada jaringan kerja, dia tahu, kenal dan faham orang-orang yang terlibat.
Kita tak bincang isu-isu politik. Forum ini adalah satu forum pembangunan sosioekonomi.
Sebab itu kita jemput Sudan, walaupun ia bukan dalam Komanwel dan ada negara tak suka Sudan, dan kita jemput Zimbabwe.
Daripada asal lagi Zimbabwe adalah ahli LID dan tujuannya adalah untuk kita bangunkan.
Kita tidak boleh melihat dalam konteks politik, kita mesti melihat daripada manfaat yang akan diperoleh melalui perkongsian, pandangan, pendapat dan melihat kepada contoh Malaysia, misalnya, kita melalui program seperti menawarkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) .
Ada yang tak seronok dengan kehadiran Zimbabwe dan Sudan, lebih-lebih lagi Zimbabwe kerana ia bukan ahli Komanwel, ia disingkir kerana dikatakan telah melanggar hak asasi manusia dan kebebasan demokrasi.
Ada negara menyuarakan kenapa dijemput (dua negara berkenaan). LID kita adalah satu forum untuk membincangkan pembangunan.
Ada pihak yang tak setuju tapi tidaklah menarik diri kerana yang tak puas hati ialah orang yang tak hadir.
Saya tak mahu namakan mana-mana negara (yang tidak bersetuju), kita cari kawan bukan nak cari musuh.
Apa pun kita buat, ada matlamatnya, macam matlamat politik.
Ini satu-satunya forum di mana matlamatnya bukan matlamat politik tetapi berbentuk ekonomi, khususnya sosioekonomi dan pembangunan ekonomi untuk melahirkan rangkaian menang-menang antara negara-negara yang mengambil bahagian.
Saturday, August 4, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment