Wednesday, August 8, 2007

Makin ramai wanita Amerika susu bayi

Kadar pemberian susu ibu hampir cecah sasaran: Kajian

WASHINGTON: Peratusan wanita Amerika Syarikat (AS) yang menyusukan bayi mereka mencecah rekod paling tinggi di tengah-tengah pertambahan bukti ia memberi banyak faedah kesihatan kepada anak, kata pegawai.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata, 74 peratus wanita AS yang melahirkan anak pada 2004 menyusukan bayi mereka sekurang-kurangnya beberapa waktu, meneruskan arah aliran meningkat amalan itu sejak awal 1990-an.“Kami agak berjaya,” kata Pakar Epidemiologi CDC, Dr Celeste Philip, mengenai penyusuan bayi.Kadar penyusuan bayi hampir mencecah sasaran kerajaan sebanyak 75 peratus, mengikut laporan tetapi ramai wanita tidak menyusukan bayi mereka secara eksklusif dalam beberapa bulan pertama selepas kelahiran seperti dicadangkan pakar, sebaliknya turut bergantung kepada susu formula.Akademi Pediatrik Amerika mencadangkan wanita yang tidak mempunyai masalah kesihatan menyusukan bayi mereka secara eksklusif selama sekurang-kurangnya enam bulan pertama, dengan penyusuan berterusan sekurang-kurangnya sepanjang tahun pertama hayat bayi mereka ketika memperkenalkan makanan lain.CDC menyokong cadangan itu, kata Philip. Laporan CDC mendapati di kalangan bayi yang lahir pada 2004, kadar penyusuan eksklusif sepanjang tiga bulan pertama selepas kelahiran ialah 31 peratus, kurang daripada sasaran kerajaan sebanyak 60 peratus, dan sepanjang enam bulan 11 peratus, di bawah 25 peratus sasaran kerajaan.Laporan memperincikan kaum dan perbezaan sosioekonomi di kalangan wanita yang menyusukan bayi mereka secara eksklusif dalam beberapa bulan pertama, dengan wanita kulit hitam, usia remaja, tinggal di pedalaman, kurang berpendidikan, berpendapatan rendah dan tidak berkahwin kurang berbuat demikian.Philip berkata, dia berharap statistik baru akan mendorong doktor memperbaharui usaha memujuk ibu supaya menyusukan bayi mereka. Katanya, CDC bekerjasama dengan hospital untuk menggalakkan sokongan penyusuan sebaik selepas bersalin.Kadar 74 peratus penyusuan bayi pada 2004 adalah yang tertinggi sejak statistik seumpama pertama kali dikumpulkan bagi wanita Amerika pada tahun 1950-an, kata Philip.Kadar terendah ialah pada 1971, apabila cuma 25 peratus ibu menyusukan bayi mereka di tengah-tengah pertukaran budaya besar melanda negara itu.CDC mengenal pasti penyusuan bayi dikaitkan dengan pengurangan risiko banyak penyakit, termasuk jangkitan telinga, jangkitan laluan pernafasan, sindrom kematian bayi tiba-tiba, obesiti, ekzema dan cirit-birit. Ia juga memberi faedah kepada wanita, termasuk risiko rendah bentuk diabetes paling biasa, barah ovari dan barah payu dara. – Agensi

No comments: