ALOR STAR 3 Ogos – Kira-kira 200 wakil media dari seluruh negara termasuk negara Afrika akan berkampung hampir seminggu di Langkawi bagi membuat liputan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2007) yang akan bermula Ahad ini.
Sekretariat penganjuran LID 2007 turut menyediakan sebuah pusat media untuk kegunaan para petugas media yang terlibat termasuk kemudahan internet dan komputer di tempat berlangsungnya dialog berkenaan iaitu di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dijadual merasmikan pembukaan Pusat Media Antarabangsa (IMC) LID 2007 esok sekali gus menandakan pembukaan dialog yang dianjurkan oleh Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia itu.
Kira-kira 500 peserta termasuk sekurang-kurangnya 16 ketua-ketua kerajaan negara Afrika dan ASEAN telah mengesahkan penyertaan mereka pada LID 2007 dengan sebahagiannya dijangka tiba di pulau peranginan itu mulai esok.
Dialog kali ini merupakan penganjuran kali kelapan diadakan sejak kali pertama pada tahun 1995 dengan penganjuran sebelum ini pada tahun 2004
LID 2007 yang bertemakan ‘Pembasmian Kemiskinan, Pembinaan Keupayaan dan Pembangunan Modal Insan’ akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada satu majlis makan malam di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Padang Matsirat Ahad ini.
Antara lain, dialog antarabangsa itu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara negara-negara Selatan khususnya menerusi kerjasama pintar bagi pembangunan ekonomi dan sosial selain berkongsi pengalaman dalam mencapai kemajuan.
Selain mesyuarat tidak rasmi dan perbincangan dalam aspek berkaitan, isteri ketua-ketua kerajaan juga mempunyai agenda mereka tersendiri khususnya membincangkan pelbagai aspek sosial, kekeluargaan dan juga pembangunan wanita di negara masing-masing.
Dialog tersebut juga menjadi platform untuk komuniti perniagaan mencari peluang dan melihat kerjasama yang boleh dijalinkan dalam meneroka manfaat bersama antara negara-negara terlibat.
LID 2007 akan berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos ini dengan para peserta berpeluang untuk berinteraksi antara satu sama lain dalam pelbagai aktiviti dan dialog yang akan bermula Sabtu ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment