Tuesday, August 21, 2007

Perjalanan badan kehakiman

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

ISU yang membelenggu kehakiman negara barangkali boleh dikatakan banyak sepanjang negara melewati usia 50 tahun kemerdekaan.

Sekadar memberi beberapa contoh untuk menyegarkan ingatan, negara pernah terkejut dengan hal pemecatan bekas Ketua Hakim Tun Mohd. Salleh Abbas pada tahun 1988.

Sejak itu kehakiman negara dilanda imej yang agak kurang menyenangkan. Peristiwa berkenaan masih menggegarkan sistem keadilan negara selain mencetuskan polemik antarabangsa walaupun sudah hampir dua dekad berlalu.

Itu belum dikira perihal kedudukan Mahkamah Syariah, yang dipertikai kewibawaan serta integriti disebabkan beberapa kes yang ditanganinya.

Terdapat juga kes-kes tertunggak, perbicaraan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk didengar, sehingga membawa pula kepada timbulnya isu kekurangan hakim.

Begitu juga kes penyelewengan hakim-hakim, yang turut memberi sisi hitam buat institusi kehakiman.

“Banyak bezanya kehakiman dahulu dan sekarang. Bukan dari segi prosedur pelantikan semata-mata tetapi kelainannya turut ketara dari segi kebolehan serta kecekapan dalam mengendalikan kes-kes,” kata Tan Sri Abdul Aziz Zain semasa ditemu bual oleh Utusan Malaysia di rumahnya di Bangsar Baru, baru-baru ini.

Beliau ditanya mengenai perbezaan di antara kehakiman dahulu (sebelum merdeka) dan pandangannya tentang institusi berkenaan bagi tempoh akan datang.

Abdul Aziz Zain ialah orang yang tepat untuk bercerita mengenai kehakiman dahulu kerana beliau ialah hakim termuda di negara ini yang dilantik di bawah Perlembagaan Malaysia, iaitu pada usia 42 tahun.

Sejarah itu tercatat pada tahun 1955. Beliau bermula dengan menjadi majistret di Taiping, selepas tamat menuntut bidang perundangan di luar negara.

Selain pernah menjadi Hakim di Mahkamah Tinggi pada tahun 1964, beliau ialah Penasihat Perundangan bagi negeri Kelantan dan Terengganu (1958), Peguam Kanan Persekutuan (1960), dipinjamkan sebagai Peguam Negara di Brunei (1961), Peguamcara Negara (1963) dan paling tinggi Hakim Mahkamah Persekutuan (sehingga tahun 1971).

Perlu diingatkan jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan merupakan yang paling tinggi dalam sistem kehakiman negara dan layak dipertimbangkan untuk menjadi Ketua Hakim Negara.

Kata Abdul Aziz, sebelum merdeka, hakim-hakim yang dilantik dibekalkan dengan banyak latihan. Jika tidak cukup latihan yang ada di dalam negara, mereka dihantar ke luar negara bagi memperdalamkan pengetahuan mengenai kehakiman selain cara menangani kes-kes secara lebih matang dan bijak.

Beliau sendiri, katanya, telah menjalani latihan tetapi tetap dihantar untuk latihan susulan bagi memantapkan diri demi menjadi seorang hakim yang cekap.

Katanya, kerana latihan itu (untuk memahami selok-belok pendakwaan) diadakan di Old Bailey, London pada tahun 1956, beliau terlepas meraikan detik-detik menghitung kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.

“Pada 31 Ogos 1957, telah tamat latihan dan saya berada di dalam kapal wap S.S Corfu untuk pulang ke tanah air. Tapi sayang, saya tiba dua hari kemudian, jadi terlepas detik Tunku Abdul Rahman, kebetulan rakan rapat saya, mengangkat tangan penuh semangat melaungkan kemerdekaan sebanyak tujuh kali,” kata beliau yang sempat mengimbas kenangan kemerdekaan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kes-kes yang dirujuk kepada mahkamah dahulu (sebelum merdeka) tidak variasi. Maknanya, kes-kes yang datang, paling membahayakan sekalipun, lebih menjurus kepada hal-hal bersubahat dengan komunis dan memiliki senjata api. Dua kes ini, hukumnya ialah gantung.

Itu diceritakan beliau dalam buku Memoir Tan Sri Abdul Aziz Zain – Negarawan Tujuh Zaman (2005), tulisan Zainatul Shuhaida Abd. Rahman.

Dalam buku itu, beliau dipetik sebagai berkata, antara kes-kes yang diadili beliau semasa sebelum merdeka ialah bersubahat dengan komunis dan memiliki senjata api.

“Dua kes (kategori) ini memang banyak. Tetapi hukumannya ialah gantung sampai mati,” jelasnya sekali lagi.

Abdul Aziz turut mengakui semasa berkhidmat menjadi hakim, beliau telah menjatuhkan lebih 50 hukuman mati terhadap pesalah di negara ini.

Terdapat juga kes-kes lain yang lebih ringan dan berbeza di antara satu bangsa dengan bangsa lain.

Contohnya, melibatkan pembahagian harta, masalah tanah kebiasaannya dirujuk oleh orang Melayu, kes-kes perkahwinan campur atau matrimoni kerap dibawa oleh kaum Cina dan India.

Perbalahan

Begitu juga kes melibatkan masalah dowri (mas kahwin) dan perbalahan rumah tangga, walaupun kebiasaannya sering ditimbulkan oleh keluarga, kebanyakannya bukan datang daripada pasangan suami isteri itu sendiri.

Walaupun kes tidak pelbagai, jumlah hakim pula bukan ramai pada masa itu.

“Tetapi seperkara boleh dipuji, mereka cekap mengendalikan kes-kes, menyebabkan tidak banyak yang ditimpa hambatan kes tertunggak,” katanya sambil memberitahu banyak juga kes yang sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Polis juga tidak ketinggalan handal dalam mengendalikan tugas mereka. Mereka ini hanya akan membawa kes ke mahkamah selepas benar-benar yakin adanya kes.

Pendek kata, itu sedikit sebanyak menolong hakim pada ketika itu, ujar beliau.

Abdul Aziz bersara daripada bidang perundangan pada tahun 1971, selepas menempuhi liku selama 30 tahun. Ia ternyata satu keputusan yang memberikan kejutan kepada negara pada masa itu.

Selepas merdeka, kata beliau, kes-kes yang datang ke mahkamah begitu banyak, pelik-pelik dan lebih daripada itu ialah banyak undang-undang kita telah lapuk, ertinya tidak sesuai lagi dipakai pada masa sekarang.

Sambil mengakui masih lagi mengikuti secara rapat isu-isu berkaitan kehakiman di negara ini, Abdul Aziz berkata, masalah kes tertunggak tidak boleh dipersalahkan di atas faktor kekurangan hakim semata-mata.

“Banyak soal lain, tetapi saya percaya kurang cekap menyebabkan perjalanan tidak lancar. Itu pula terbit daripada kekurangan latihan,” ujar beliau secara jujur.

Kata Abdul Aziz lagi, sepatutnya banyak yang perlu dikaji semula dalam soal perundangan di negara ini.

Sebagai contoh, undang-undang trafik, perbandaran dan kerajaan tempatan.

Misalnya undang-undang trafik, yang memperuntukkan Akta Pengangkutan Jalan di mana kes kemalangan menyebabkan kematian, hukumannya ialah denda sahaja sedangkan kalau membunuh atau bersubahat membunuh di bawah Akta Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman mati.

Dalam hal ini, kata beliau, dua tahun selepas negara merdeka, terdapat satu suruhanjaya dikenali sebagai Suruhanjaya Menyemak Semula Undang-Undang di mana tugasnya ialah memperhalusi mana-mana undang-undang yang tidak lagi sesuai digunakan.

Bukan setakat hukuman, jika denda juga tidak sesuai dikenakan pada kesalahan, ia menjadi tugas suruhanjaya ini untuk semakan semula.

Tetapi sekarang, katanya, suruhanjaya itu tidak lagi wujud.

No comments: