Tuesday, August 14, 2007

Jawatankuasa Pengurusan Aset ditubuh

(Sumber: Utusan Online)
Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

Abdullah Ahmad Badawi menyaksikan pertukaran dokumen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara antara Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Dr. Judin Abdul Karim (kiri) dan Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali sambil diperhatikan oleh S. Samy Vellu dan Yahya A. Jalil pada penutup Konvensyen Nafam 2007 di PWTC, semalam. – Gambar RAJA JAAFAR ALI.


KUALA LUMPUR 14 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Aset bagi melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan pada Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara (Nafam) 2007 yang berakhir hari ini.
Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad dan Akauntan Negara, Datuk Mohd. Salleh Mahmud.
Kata Perdana Menteri, ia adalah latihan penting yang berlandaskan kepada kesedaran bahawa sesuatu perlu dilakukan kerana perbelanjaan RM7 bilion untuk menangani masalah yang disebabkan oleh kekurangan penyelenggaraan aset adalah amat buruk.
“Ia memalukan, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Adalah amat penting bagi memastikan jawatankuasa ditubuh agar pengurusan aset akan dilakukan dengan baik dan sempurna,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup konvensyen tersebut di sini.
Konvensyen dua hari itu dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Advanced Maintenance Precision Management Sdn. Bhd. (AMPM) untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu dan cabaran berhubung pengurusan aset kerajaan.
Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.
Dalam hal ini, Abdullah berkata, semua pihak perlu memastikan penelitian aset dilaksanakan secara mendalam dengan tindakan serta-merta diambil jika apa-apa kerosakan ditemui.
“Kalau ada apa-apa tanda sesuatu bangunan itu akan runtuh dan nyawa manusia akan terancam, tindakan serta-merta mesti diambil. Jangan tangguh dan jangan buang masa,” tegasnya.
Beliau gembira dengan penyertaan aktif daripada sektor awam dan swasta sepanjang sesi perbincangan konvensyen itu dan percaya ia melambangkan perubahan ketara pada sikap orang ramai kepada isu pengurusan aset, khususnya dalam mewujudkan bangunan dan infrastruktur kelas pertama.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa pengurusan aset merupakan tanggungjawab bersama semua pihak yang perlu sentiasa bersedia menghulurkan bantuan.
“Dengan sikap ini, kita tidak akan menghadapi lagi masalah penyelenggaraan di masa depan. Mungkin ada sedikit masalah tetapi ia akan dapat ditangani dengan segera,” ujarnya.
Bagi memastikan perkara ini dapat dicapai, beliau menekankan kepentingan pelaksanaan reka bentuk, perancangan dan pembinaan yang sempurna bagi memastikan struktur binaan mereka kukuh dan sifar kerosakan.
Abdullah menegas, semua pihak seperti arkitek, juruukur mahupun jurutera perlu sama-sama bertanggungjawab bagi pembinaan suatu struktur termasuk dalam aspek perolehan bahan binaan yang berkualiti.
Dalam hal ini, beliau mencadangkan penggunaan senarai semak bagi memastikan setiap bahagian bangunan diperiksa dan diperbaiki pada masanya.
“Pemeriksaan mesti dilakukan. Adalah tidak cukup untuk memikirkan semuanya berada dalam keadaan sempurna,” ujarnya.

No comments: