(Sumber : Utusan Online)
Daripada: WAN NORAZAH WAN CHIK
MANILA 2 Ogos – Forum Serantau ASEAN (ARF) yang dihadiri 27 negara hari ini mencapai persetujuan supaya semua isu pertikaian berkaitan hak kedaulatan di Laut China Selatan diselesaikan secara bersama dan bukannya menerusi rundingan antara dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid berkata, ARF bersetuju sebarang pertikaian, misalnya tuntutan ke atas kepulauan Spratly diselesaikan menerusi dialog bersama negara-negara yang menuntut kepulauan itu.
Hak ke atas kepulauan Spratly dituntut oleh enam negara iaitu China dan lima negara ASEAN yang terdiri daripada Malaysia, Vietnam, Brunei, Filipina dan Indonesia.
“Pertindihan tuntutan itu menyebabkan kita bersetuju supaya penyelesaian ke atas sebarang pertikaian atau konflik perlu diselesaikan melalui rundingan yang dihadiri oleh semua negara terlibat,” tegas beliau.
Menurut Syed Hamid, ARF turut membincangkan isu keselamatan dan kerjasama maritim di Selat Melaka yang sempadannya dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura dengan menekankan kepada kepentingan kerjasama di antara ketiga-tiga negara berkenaan.
“Kita juga menjemput negara-negara yang menggunakan Selat Melaka untuk memberi kerjasama tetapi pada masa yang sama perlu menghormati kedaulatan dan hak negara pesisiran,” jelasnya.
Sementara itu, ARF turut mengutuk sekeras-kerasnya penculikan ke atas rakyat Korea Selatan oleh pergerakan Taliban di Afghanistan dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Kita minta Taliban melepaskan orang yang masih dalam tahanan mereka tanpa apa-apa syarat dan turut menyampaikan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa.
“Negara-negara Islam juga tidak mahu ia dikaitkan dengan agama dan penganut agama ini kerana perbuatan seperti itu tidak pernah direstui oleh Islam,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Australia, Alexander Downer pada sidang medianya meminta Korea tidak memenuhi sebarang tuntutan yang dibuat oleh kumpulan penculik berkenaan.
“Kita tidak mahu amalan membayar wang tebusan menjadi penggalak kepada perbuatan culik seperti itu,” kata Downer.
Beliau turut memuji usaha Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina untuk menangani isu keganasan di negara masing-masing.
“Sejak beberapa tahun lalu, negara-negara itu terutamanya Indonesia dan Filipina berjaya mencapai kejayaan besar dalam usaha menangani pengganas dan dalam sesetengah kes, mereka berjaya menahan dan menghukum para pengganas tersebut,” kata Downer.
Menteri Luar Australia itu merujuk kepada usaha menangani keganasan terutama yang membabitkan Jemaah Islamiah (JI) di Indonesia dan Abu Sayyaf di Filipina.
– Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment