Friday, August 24, 2007

Malaysia mahu mantapkan Dasar Pandang Ke Timur



ERAT...Abdullah Ahmad Badawi berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe selepas menandatangani pernyataan bersama sempena sambutan ulang tahun hubungan kedua-dua negara di Putrajaya, semalam. – Bernama.
--------------------------------------------------------------------------------


PUTRAJAYA 24 Ogos – Malaysia mahu Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan sejak 25 tahun lalu dimantapkan dengan meneruskan program penghantaran pelajar dan pelatih ke Jepun dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia amat menghargai kerjasama Jepun dalam menjayakan dasar tersebut kerana ia ternyata berjaya memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi negara ini.

Hasrat itu disambut baik oleh Jepun, apabila Perdana Menterinya, Shinzo Abe menyatakan bahawa negaranya akan terus memberikan sokongan, bantuan dan kerjasama kepada Malaysia dalam program pembangunan sumber manusia di bawah dasar berkenaan.

Kedua-dua pemimpin negara itu menyatakan demikian dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat delegasi dua hala di sini hari ini.

‘‘Perdana Menteri Abe mengucapkan tahniah atas ulang tahun ke-25 Dasar Pandang Ke Timur dan melahirkan rasa hormat yang mendalam di atas usaha berterusan Malaysia kerana menghantar kira-kira 11,000 pelajar dan pelatih ke Jepun sejak 25 tahun lalu.

“Kedua-dua pemimpin itu menyatakan bahawa dasar itu berjaya mewujudkan hubungan kukuh antara rakyat Malaysia dan Jepun dan ikatan sedemikian merupakan asas utama hubungan mereka,” kata pernyataan bersama itu.

Dalam pernyataan itu, kedua-dua pemimpin juga memberitahu mereka akan memberikan perhatian kepada program pertukaran belia termasuk pelaksanaan Program Pertukaran Pelajar dan Belia Jaringan Jepun-Asia Timur (JENESYS) yang diumumkan oleh Abe pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) kedua di Cebu, Filipina pada Januari lalu.

‘‘Kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan program pertukaran antara universiti-universiti yang dijelaskan dalam kerja-kerja persediaan untuk menubuhkan Universiti Teknologi Antarabangsa Jepun-Malaysia (MJIUT) sebagai pusat pembangunan sumber manusia,” katanya.

Mengenai kerjasama ekonomi, Malaysia berharap Jepun dapat meningkatkan penyertaannya dalam pembangunan di selatan dan utara negara ini bagi mengambil kesempatan ke atas peluang-peluang ekonomi yang ditawarkan.

‘‘Kedua-dua pemimpin menyatakan jangkaan mereka bahawa lawatan Abe akan meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia dan Jepun,” kata pernyataan itu.

Dalam pada itu, Malaysia dan Jepun bersepakat tentang keperluan untuk mengurangkan separuh daripada kadar pelepasan gas global sedia ada menjelang tahun 2050.

Abdullah menyatakan penghargaan atas inisiatif Abe yang menyeru supaya disediakan satu kerangka kerja berkaitan isu perubahan cuaca hingga melepasi tahun 2012 dengan penyertaan semua negara dalam Konvensyen Kerangka Kerja Perubahan Cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Kedua-dua pemimpin tersebut mengiktiraf bahawa isu-isu alam sekitar dan tenaga termasuk perubahan cuaca menjadi cabaran kepada dunia secara keseluruhan dan usaha bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang tersebut amat diperlukan.

‘‘Kedua-dua pemimpin itu menegaskan tentang kepentingan untuk meletakkan sasaran dan merangka tindakan bagi meningkatkan penggunaan tenaga yang berkesan berdasarkan Deklarasi Cebu Mengenai Keselamatan Tenaga Asia Timur pada EAS kedua Januari lalu.

‘‘Mereka mengalu-alukan inisiatif dua hala berterusan dalam bidang tenaga bagi kepentingan kedua-dua buah negara dan ia melibatkan kerjasama dalam bidang pengeluaran tenaga bio menggunakan teknologi hydrocracking ,” katanya.

No comments: