Oleh Reezal Merican Naina Merican
Pembangunan wilayah berkesan hadapi saingan globalisasi, tingkat taraf hidup
BERASASKAN ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) baru-baru ini, jelas memaparkan harapan Perdana Menteri untuk melihat segala macam idea dan perancangan strategik dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Selepas kejayaan merasmikan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, NCER akan membawa satu lagi lembaran baru pembangunan Malaysia yang lebih menyeluruh dan untuk kepentingan semua. Lebih penting, beberapa koridor pembangunan baru yang diperkenalkan kerajaan inilah yang bakal menyediakan negara untuk persaingan pada masa akan datang. Idea pembinaan koridor pembangunan baru adalah bersifat jangka panjang dan sangat strategik.
Sememangnya, sesuatu yang tidak begitu wajar, sekiranya pembangunan ekonomi menjadi terlalu tertumpu kepada sesuatu kawasan geografi semata-mata. Berbanding WPI yang lebih menjurus kepada usaha penarikan pelaburan bersifat teknologi tinggi, NCER mempunyai sentuhan pembangunan sosial yang lebih nyata. Perbezaan orientasi dan cita pembangunan antara kedua-dua wilayah pembangunan baru ini tidak seharusnya dilihat sebagai wujudnya kelas tertentu dalam pelaksanaan strategi ekonomi baru. Lebih penting, semua perancangan rapi ini menjadi pelengkap kepada usaha Malaysia menjadi lebih kompetitif dalam landskap ekonomi dunia.
Sarjana dari Harvard, Dr Michael E Porter, dalam bukunya bertajuk The Competitive Advantage of Nations (1990) mencadangkan bahawa pembangunan ekonomi berteraskan kluster adalah strategi tepat untuk sesebuah negara bangkit sebagai sebuah ekonomi yang lebih kompetitif. Porter cukup yakin bahawa hanya dengan mempunyai pengkhususan dan kepakaran dalam kluster tertentu - sesebuah negara mampu mewujudkan suatu kelebihan berbanding negara lain. Melalui strategi diperkenal oleh Porter, sekumpulan ahli strategi di Arizona sudah membuat kajian mengenai makna sebenar pembangunan berasaskan kluster ini. Kumpulan ini akhirnya bersetuju dan memperkenalkan suatu teori yang diperkenalkan sebagai ‘The Vital Cycle’ yang membayangkan bagaimana sebuah strategi ekonomi yang baik akan dapat dilaksanakan dengan kewujudan kluster tepat - dan asas ekonomi yang baik. Definisi mudah kluster ekonomi adalah menjurus kepada konsentrasi geografi di mana wujudnya sekumpulan firma/syarikat yang kompetitif, menjalankan perniagaan secara bersama. Kepada mereka yang percaya dengan pembangunan bersifat kluster seperti ini, kewujudan sekumpulan firma/syarikat dan kewujudan industri hiliran yang saling membantu - lebih baik dan kompetitif berbanding wujudnya sebuah firma di sesuatu kawasan, tidak kira walau sebesar mana sekalipun syarikat terbabit. Asas ekonomi pula lebih menjurus kepada infra yang wujud bagi memperkasa kluster sedia ada. Infra nyata seperti kemudahan pengangkutan, pelabuhan, sistem percukaian, birokrat yang wibawa - juga disokong dengan infra modal insan seperti sistem pendidikan, budaya keusahawanan dan kemahiran; akan saling membantu mewujudkan kitaran penting tadi. Koridor Pembangunan Baru, sama ada WPI atau NCER adalah suatu terjemahan baru kepada konsep ekonomi berasaskan kluster. Terjemahan baru kerana ia jelas lebih holistik dan mampu mengangkat suasana ekonomi kompetitif lebih berselerak di seluruh negara. Lebih menarik lagi, kekuatan sedia ada di lingkaran geografi terbabit bakal diguna pakai secara tersusun dan dinamik. Pengwujudan WPI, NCER dan koridor pembangunan lain nanti harus dilihat sebagai usaha untuk membawa pembangunan ekonomi mantap ke seluruh negara. Sebaik mungkin, kita tidak mahu sebarang hambatan dijadikan alasan kepada usaha memperkasa koridor pembangunan yang lebih berjaya. Idea mewujudkan koridor pembangunan dengan kluster ekonomi tertentu adalah sangat tepat, sejajar dengan trend ekonomi semasa. Trend yang sama dikatakan sedang membugar di seluruh dunia. Dalam kajian yang dilaksanakan pada 2003, dikatakan wujud perkembangan pelbagai inisiatif ekonomi berasaskan kluster, dalam pelbagai saiz dan skop di seluruh dunia (rujuk: http://www.dinarstandard.com/innovation/Clusters). Kalangan negara membangun juga mempunyai pelbagai inisiatif ekonomi berasaskan kluster, seperti di Panama (Knowledge City), Doha (Education City), Oman (Knowledge Oasis) dan tidak ketinggalan Cyberjaya (Malaysia). Idea ini jugalah yang menjadi teras pembangunan di WPI nanti. Hidup mati dan kayu pengukur kepada kejayaan WPI akan banyak bergantung kepada kemampuan menampilkan WPI sebagai wilayah pembangunan masa hadapan dalam erti kata yang sebenarnya. WPI, menurut sasaran disediakan Khazanah Nasional, akan dihuni 1.35 juta rakyat (48.2 peratus Melayu; Cina (35.8); India (9.4) dan bangsa lain (6.6). Suatu petanda bahawa WPI akan sebenar-benarnya menyediakan daerah persaingan yang serba terbuka kepada semua kaum. Jika dilaksanakan sepenuhnya nanti, WPI akan sebenar-benarnya menjadi `metropolis keilmuan dan kewibawaan' kepada Malaysia dan rantau sebelah sini. WPI akan pastinya cuba menggunakan kepentingan kerjasama yang wujud dalam hubungan Indonesia - Malaysia - Singapura (Pertumbuhan Segi Tiga IMS) dalam menyediakan platform pelaburan terbaik di rantau ini. NCER, tidak terkecuali akan turut menyediakan platform kepada kerjasama sedia wujud dalam IMT GT. Inilah peluang terbaik dan terbesar untuk membentuk kerjasama sesama negara Asean. Mungkin ada yang mengatakan apakah keperluan mewujudkan Koridor Pembangunan sekiranya dunia sememangnya sudah benar-benar menjadi sebuah `kampung global'. Namun, idea pembangunan koridor baru pembangunan ini adalah suatu manifestasi - bahawa keperluan mewujudkan suasana kondusif, dengan segala kelengkapan bersifat terkini akan pantas mewujudkan komuniti perniagaan berdaya saing dan maju. WPI, NCER dan koridor pembangunan lainnya nanti tidak akan mampu mencatatkan kejayaan dalam sekelip mata. Kesemua perancangan ini memerlukan komitmen, kesungguhan dan kerja secara menyeluruh daripada semua pihak. Yang lebih penting, kebanyakan perancangan ini adalah khusus untuk menyediakan `asas tepat' kepada generasi muda Malaysia pada masa akan datang. WPI misalnya, akan hanya memasuki fasa `manfaat sepenuhnya' pasca tahun 2020 nanti. WPI bukan untuk pembangunan lima tahun, malahan jauh menjangkau tempoh waktu yang lebih lama. Demikianlah juga keadaannya dengan NCER. Walaupun NCER dibangunkan atas asas yang sedia ada, banyak usaha pelengkap yang perlu dijayakan dalam memastikan semua manfaat akan dijayakan seperti direncanakan. WPI, NCER, Koridor Pantai Timur dan apa yang direncana untuk Sabah dan Sarawak adalah khusus untuk membawa Malaysia jauh ke hadapan. Generasi muda Malaysia harus bersedia menerima cabaran untuk menjadi kumpulan yang mengisi `tanggungjawab dan peranan' dalam menjayakan matlamat jangka panjang koridor pembangunan ini. WPI dan NCER akan banyak mengajar dan melatih kita untuk bersaing dalam ruang lebih kompetitif dan berdaya saing. Generasi muda Malaysia tidak boleh gagal dalam mengecap segala nikmat pembangunan yang ada dalam cabaran membina kluster ekonomi masa depan. Tidak ada maknanya jika kita hanya menjadi pemerhati kepada segala pembangunan yang ada di halaman kita sendiri. Minda kita jangan terlalu tertumpu kepada persoalan `pengagihan', tanpa melihat peranan besar yang boleh dimainkan sebagai sebahagian daripada pemain dalam koridor pembangunan baru. Usaha mesti dilakukan untuk kita mencerap seberapa banyak tenaga mahir untuk sama-sama berada dalam arus pembangunan yang baru seperti ini. WPI, NCER dan koridor pembangunan lain akan menyediakan prasarana `kelas pertama' yang menuntut asas pemikiran dalam kelompok yang sama. Jurang antara keduanya, akan sekali lagi menjadikan kita ketinggalan dan gagal untuk berada sezaman dengan kemajuan. Tidaklah begitu bermakna agaknya, jika segala bentuk kehebatan yang bakal dibawa oleh koridor baru pembangunan masih lagi menjadikan kita di kalangan yang menjadi pemerhati. NCER misalnya, akan membawa rangsangan pembangunan di halaman anak muda di Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang. Dengan wujudnya peluang di halaman sendiri, kita tidak perlu lagi berebut-rebut berada di Lembah Klang bagi mengadu nasib untuk berjaya dengan cemerlang. Ruang itu sudah dibawa kepada kita melalui NCER – dan cabarannya akan banyak bergantung kepada kemampuan dan kemahuan kita. Generasi muda bangsa Melayu perlu banyak bermuhasabah mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam mengisi cabaran pembangunan baru ini. Jangan kita terlalu manja sehingga mahu disuap setiap masa. WPI dan NCER harus dianggap sebagai asas kepada kebangkitan bangsa. Inilah cermin kepada persaingan sebenar dunia global. Kita mesti terbabit sama dalam mengisi maksud koridor pembangunan baru - sekali gus memberi erti sebenar kepada makna kemerdekaan. Datuk Reezal Merican adalah Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment