Friday, August 17, 2007



Oleh Azli Ayob


Kemampuan harungi krisis 1997 bukti kejayaan negara urus ekonomi: Sachs

Tokoh ekonomi terkemuka, Profesor Jeffrey D Sachs (gambar), berkata pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dan konsisten meletakkan Malaysia pada landasan kukuh untuk mencapai matlamatnya menjadi negara maju menjelang 2020.

Sachs yang kini Pengarah The Earth Institute, Columbia University, Amerika Syarikat berkata, Malaysia juga membuktikan kemampuannya menguruskan ekonomi apabila ia menangani dengan jayanya krisis sehebat kegawatan ekonomi Asia pada 1997/98.

“Saya yakin jika Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi seperti yang dicatatkannya ketika ini, iaitu sekitar enam peratus setahun, negara ini akan mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan ‘Pertumbuhan Malaysia dengan Dasar Pengagihan: Mengurangkan Jurang Sosioekonomi dan Kemiskinan” pada seminar 50 tahun Pembangunan Malaysia anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU), di Jabatan Perdana Menteri, di Kuala Lumpur, semalam.

Sachs yang pernah menjadi penasihat bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, bagi projek membasmi kemiskinan dunia berkata, ekonomi Malaysia disokong asas kukuh selain menyaksikan kemajuan begitu menggalakkan dalam sektor pertanian dan perkhidmatan.

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya dan dibelanjakan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pendidikan tinggi.

Sachs bagaimanapun menggariskan beberapa cabaran yang perlu ditangani Malaysia ke arah mencapai status negara maju, termasuk memajukan lagi bidang inovasi di negara ini.

Inovasi katanya, bukan sekadar membabitkan pembangunan peralatan terkini, tetapi memanfaatkan inovasi dalam segenap bidang kehidupan harian.

Malaysia juga katanya, perlu mengeksploitasi sepenuhnya kedudukan geografi yang strategik antara dua negara pertumbuhan ekonomi utama dunia iaitu China dan India.

“Dengan penduduk yang mempunyai persamaan bahasa dan budaya dengan kedua-dua negara itu, Malaysia sebenarnya mempunyai peluang besar untuk menikmati limpahan pembangunan dari negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi tempatan, Datuk Dr Zainal Aznam Yusof dalam sidang pleno pada seminar itu pula berkata, apabila Malaysia sudah mencapai status negara maju, pertumbuhan ekonomi negara akan menurun kepada antara tiga hingga 3.5 peratus setahun.

“Kita tidak akan lagi menikmati pertumbuhan pada kadar sekarang, tetapi separuh daripada itu sama seperti negara maju lain selepas revolusi perindustrian,” katanya.

Ketika itu katanya, penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah sektor perkhidmatan, sementara sumbangan daripada sektor pertanian pula akan menurun.

“Kemiskinan juga akan terhapus menjelang tempoh itu,” katanya.

No comments: