Thursday, July 24, 2008

Zaid enggan umum bayaran ex-gratia kepada bekas hakim

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengumumkan jumlah bayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain.

Beliau berkata tindakan itu sebagai menghormati permintaan hakim-hakim berkenaan yang memohon supaya jumlah berkenaan dirahsiakan daripada umum.

“Mereka (bekas hakim itu) bimbang jika jumlah itu disebut akan menimbulkan pelbagai persoalan. Mereka cakap boleh tak kalau tak umum dan kerajaan bersetuju. Bukan niat nak rahsiakan (jumlah ex-gratia)...sekarang nak tunai janji dengan hakim tersebut.



“Ini bukan soal takut nak dedahkan berapa jumlah bayaran ex-gratia yang diterima... tapi nak lindungi maruah dan menghormati permintaan mereka yang tercapai semasa perbincangan dengan mereka sebelum keputusan pembayaran itu dibuat,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 di Dewan Negara hari ini.

Antara mereka yang mendesak untuk mengetahui jumlah bayaran itu ialah Senator Datuk Abd Rashid Ngah, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 itu kemudiannya diluluskan Dewan Negara, yang antaranya bagi membolehkan seseorang hakim itu dihitung tempoh perkhidmatannya bermula dari tarikh beliau memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, bagi maksud perkiraan jumlah pencen.

Bekas hakim yang menerima pembayaran ex-gratia ialah bekas Hakim Mahkamah Agung iaitu Datuk George Seah dan Tan Sri Suleiman Pawanteh, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.

Pada persidangan Dewan Rakyat 15 Julai lalu, Zaid yang didesak Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) turut enggan mendedahkan jumlah bayaran itu atas alasan sama. — Bernama

No comments: