KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah Perbadanan Putrajaya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah berupa tiket kapal terbang ke London.
Datuk Shahoran Johan Ariffin, 56, didakwa menerima tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke London bernilai RM3,022 daripada seorang kontraktor, Yaacob Hassan melalui Azizi Johan Ariffin sebagai dorongan untuk memberikan kerja projek Taman Putra Perdana kepada Fortress Synergy Sdn Bhd yang dimiliki Yaacob melalui Kenas Prima Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Landskap dan Taman Awam, Bahagian Perancangan Bandar, Perbadanan Putrajaya.
Shahoran turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan menerima rasuah daripada Yaacob yang diketahuinya adalah pemilik syarikat Fortress Synergy Sdn Bhd yang ada kena mengena dengan urusan rasminya sebagai pengerusi Mesyuarat Penilaian Tender bagi kerja penyelenggaraan projek Taman Putra Perdana di Putrajaya.
Syarikat Yaacob itu memperoleh kerja berkenaan melalui Kenas Prima Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KL International Hotel, di sini pada 4 hingga 5 Mei 2005.
Bagi tuduhan utama, Shahoran didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi dan bagi tuduhan pilihan dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika rayuan, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Shahoran memohon anak guamnya dijamin sebanyak RM3,000 tanpa menyerahkan pasport antarabangsa.
Wong berkata Shahoran bakal menunaikan haji dalam masa terdekat dan beliau juga tiada kemungkinan untuk melarikan diri memandangkan sepanjang 28 tahun berkhidmat dalam jabatan kerajaan, Shahoran tidak pernah mempunyai rekod jenayah dan ini adalah kali pertama didakwa di mahkamah.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), Anthony Kevin Morais mencadangkan mahkamah menetapkan RM5,000 untuk kesemua tuduhan dan menyerahkan pasportnya dan tertuduh boleh membuat permohonan di mahkamah sekira memerlukan pasportnya.
Hakim Fathiyah Idris kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan Shahoran juga tidak perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Tarikh perbicaraan ditetapkan 9 hingga 11 Februari tahun depan. - Bernama
Monday, July 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment