Tuesday, July 22, 2008

FTA: Rundingan catat kemajuan

KUALA LUMPUR 21 Julai - Rundingan pusingan kelapan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mencapai kemajuan, dengan kedua-dua pihak bersedia menyelesaikan isu-isu tertangguh.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, kedua-dua pihak juga menggariskan pelan kerja susulan khusus yang disasarkan siap menjelang 1 Oktober bagi mempermudahkan lagi siri rundingan pada masa depan.

Rundingan FTA Malaysia FTA-AS pusingan kelapan berlangsung dari 14 hingga 18 Julai di Washington yang memberi tumpuan terhadap enam kumpulan kerja yang kini menangani isu-isu mengenai perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelektual, pertanian, sanitasi dan langkah- langkah fitosanitasi serta peruntukan perundangan muktamad.

Kumpulan terbabit meneruskan perbincangan mengenai isu-isu penting yang tertangguh, kata kementerian itu.

Mengenai perkhidmatan, Malaysia sedang menimbang untuk membenarkan penyertaan US dalam sektor-sektor pelaburan serta teknologi, dan kepakaran akan diperlukan untuk meningkatkannya.

Kedua-dua negara juga mengkaji kemungkinan meneroka peluang-peluang kerjasama dalam bidang perniagaan dan pembangunan kapasiti dalam sektor perkhidmatan dalam kerangka kerja FTA Malaysia-AS, katanya.

Katanya, Malaysia-AS juga bersetuju mengkaji semula kedudukan masing- masing dalam isu-isu tertangguh bagi mencapai penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak menjelang bulan depan.

Kementerian itu berkata kedua-dua negara juga bersetuju membekalkan maklumat tambahan bagi memudahkan pertimbangan mengenai kedudukan masing- masing.

No comments: