DIAM tak diam, sidang kemuncak yang berlangsung di Kuala Lumpur Selasa lalu adalah yang keenam sejak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) ditubuhkan di Istanbul, Turki, 11 tahun lalu.
Sedekad telah berlalu, pencapaian D-8 yang ditubuhkan di bawah payung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan pembukaannya, adalah sederhana.
Setiausaha Agung D-8, Dr. Dipo Alam sendiri mengakui perlembagaan D-8 yang longgar antara penyebab langkah kumpulan itu agak perlahan dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Malah banyak cadangan dan idea yang dilontarkan tinggal di atas kertas selepas habis sidang tanpa ada susulan.
Justeru Deklarasi Kuala Lumpur yang diluluskan kelmarin patut menjadi kitab pegangan D-8 untuk merencana masa depan kumpulan itu, lebih-lebih lagi ketika menghadapi cabaran dunia hari ini termasuk krisis makanan dan harga minyak mentah yang melambung tinggi.
Pelbagai program praktikal yang telah digariskan untuk dilaksanakan di bawah peta haluan D-8 untuk tempoh 10 tahun akan datang, perlu dipastikan berjalan seperti yang dirancang.
Cadangan penubuhan Tabung Makanan, begitu juga usaha sama mengeluarkan baja, makanan ternakan dan benih, mungkin nampak remeh dan terlalu ringkas tetapi jika tidak ditangani, dari sinilah bermulanya peningkatan kos pengeluaran makanan yang kini menjerut poket rakyat dan memaksa kerajaan menstruktur semula perbelanjaan untuk pembangunan.
Bayangkan jika kelapan-lapan negara berganding bahu meningkatkan pengeluaran untuk keperluan pasaran sesama anggota, masalah kekurangan makanan sudah pasti tidak wujud dalam kamus kumpulan itu. D-8 yang mewakili kekuatan ummah lebih 900 juta orang sepatutnya mampu memberi lebih daripada itu.
Komitmen untuk menangani krisis tenaga termasuk membangunkan sumber alternatif perlu menjadi usaha bersama negara anggota D-8 dan tidak dilakukan bersendirian.
Walaupun Iran selaku pengeluar minyak dan gas dunia menganggap krisis sebenar tidak berlaku sebaliknya hanya suatu fenomena 'buatan' yang dicetuskan akibat kelemahan dolar Amerika Syarikat, keperitan yang ditanggung rakyat khususnya di negara membangun adalah situasi benar yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya.
Di sini, idea mewujudkan satu mata wang dalam kalangan anggota D-8 yang pernah disuarakan di peringkat OIC dan dilontarkan semula oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada sidang kemuncak ini, mungkin sudah tiba masanya diberi pertimbangan secara serius.
Malaysia yang mempunyai pengalaman cemerlang mempengerusikan OIC dan kini diberi mandat memimpin D-8 untuk tempoh dua tahun akan datang, mungkin boleh menjadi perintis menggerakkan usaha itu.
Thursday, July 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment