Friday, July 11, 2008

BPR boleh dakwa kes kepentingan awam tanpa rujuk Peguam Negara

PUTRAJAYA 11 Julai – Badan Pencegah Rasuah (BPR) kini memperoleh kuasa penuh untuk menyiasat dan mendakwa sendiri semua kes rasuah dan salah guna kuasa termasuk kes-kes berkepentingan awam tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, BPR menyatakan keputusan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengendalian kes-kes rasuah.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Peguam Negara akan memperakukan seorang pegawai kanan dari jabatannya untuk ditempatkan sebagai Pengarah di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR bagi membuat keputusan berhubung semua kes siasatan BPR.

“Sebelum ini kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sementara kes-kes lain dikendalikan oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR.

“Oleh itu, pegawai dari Jabatan Peguam Negara berkenaan akan bertanggungjawab dari segi pentadbiran untuk melaporkan kepada Ketua Pengarah BPR,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, keputusan memberi kuasa penuh pendakwaan kepada BPR itu dapat membantu meningkatkan ketelusan dan mengurangkan persepsi negatif terhadap Jabatan Peguam Negara.

Selain itu, ia turut memberikan gambaran positif terhadap kesungguhan kerajaan dalam memerangi jenayah rasuah.

“Secara tidak langsung ia akan meningkatkan kepercayaan dan imej BPR sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang benar-benar bebas dalam memerangi jenayah rasuah,” kata kenyataan itu.

No comments: