Wednesday, July 9, 2008

Menangani cabaran bersama


Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucapan ketika membuka Sidang Kemuncak Keenam Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8), semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SAYA amat gembira dan mengalu-alukan kehadiran pemimpin-pemimpin yang dihormati ke Kuala Lumpur untuk pertemuan D-8 ini. Kehadiran tuan-tuan menunjukkan komitmen anda untuk terus memperkukuhkan kerjasama di antara kita melalui inisiatif yang kita namakan Developing Eight (D-8).

Kita kini bertemu ketika ekonomi dunia berdepan dengan ancaman serius terhadap kestabilannya kesan daripada pelbagai cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Harga minyak mentah telah meningkat secara drastik ke satu tahap yang tidak pernah diduga oleh perancang ekonomi dan strategik. Harga makanan juga telah meningkat melepasi keupayaan kuasa membayar biasa golongan miskin, yang merupakan majoriti penduduk dunia.

Dan masalah ini telah muncul ketika ekonomi dunia secara umum dan meluas berpotensi mengharungi kemelesetan ekonomi global.

Rakyat kita di kalangan negara kumpulan D-8 akan menjadi antara mereka yang paling merasai keperitan akibat kelembapan ekonomi antarabangsa semasa.

Kita perlu memperkukuh keadaan kita, mengenal pasti polisi yang betul dan mengambil langkah tepat dalam mengurangkan penderitaan rakyat kita, terutamanya mereka yang dalam kategori berpendapatan rendah.

Tanpa diragukan, setiap daripada kita akan melakukan yang terbaik setakat yang termampu bagi negara masing-masing. Tetapi usaha bersendirian hanya akan memberi kesan yang sedikit ke arah memperbaiki situasi ekonomi semasa antarabangsa secara keseluruhannya.

Situasi masalah dunia seperti yang saya tekankan secara jelas memerlukan penyelesaian bersifat global. Untuk itu, pada pertemuan ini, kita perlu mencapai konsensus kepada permasalahan dan bersetuju untuk menghantar mesej secara bersepadu kepada dunia bagi menyatakan pandangan kita berhubung masalah tersebut yang kini membelenggu komuniti antarabangsa.

Pada pandangan saya, cabaran paling utama yang perlu kita hadapi ialah kekurangan bekalan makanan dunia, yang menyebabkan peningkatan mendadak harga makanan. Dianggarkan harga makanan global telah meningkat sehingga 75 peratus sejak 2000. Peningkatan harga makanan itu secara jelas menambah beban kepada perbelanjaan keluarga, terutamanya di kalangan keluarga miskin di negara membangun.

Saya percaya keutamaan yang diberikan oleh banyak negara pada masa lalu kepada ekonomi berasaskan perindustrian telah menyebabkan sektor pertanian diabaikan. Pelaburan yang rendah terhadap sektor ini telah menyebabkan perkembangan dan modenisasi pertanian secara umumnya tidak mencukupi, mendorong kepada kekurangan bekalan makanan dan krisis makanan yang dihadapi ketika ini.

Di Malaysia, kami telah memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian dalam pelan pembangunan kebangsaan dan kami akan meneruskannya dalam tahun-tahun mendatang.

Saya berpendapat, pertemuan kali ini seharusnya memberikan mesej yang sangat jelas kepada keperluan meningkatkan pengeluaran makanan dunia. Ini terutamanya diperlukan dalam kesukaran yang disebabkan oleh perubahan cuaca dan bencana alam. Bahaya krisis makanan turut mencetuskan ketidakstabilan politik di kebanyakan negara.

Ancaman Peningkatan harga minyak juga merupakan cabaran yang sama penting. Selain meningkatkan kos makanan, harga minyak mentah yang tinggi juga menjadi ancaman kritikal kepada kestabilan ekonomi dunia. Terdapat ramalan bahawa harga minyak boleh meningkat sehingga AS$170 setong menjelang hujung tahun ini, dan boleh meningkat sehingga AS$200 setong pada tahun hadapan.

Kami percaya bahawa negara pengeluar minyak utama mempunyai peranan yang sangat penting dalam mengenal pasti perkaitan masalah bekalan minyak dengan harga minyak. Dengan itu, kami mengalu-alukan pertemuan terkini mereka di Jeddah untuk mengenal pasti masalah ini serta masalah-masalah berkaitan yang lain.

Arab Saudi telah mengetuai ikrar untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah. Kami berharap negara-negara utama pengeluar minyak yang lain turut mencontohi langkah yang sama. Penyelesaian jangka masa panjang perlu dicari dalam menstabilkan harga minyak. Sebagai contoh, komuniti antarabangsa boleh menentukan bagaimana pasaran hadapan patut diurus dalam membantu menstabilkan harganya.

Konsensus kepada kaedah bersesuaian juga diperlukan dalam penghasilan atau pengeluaran sumber tenaga alternatif. Pembukaan tanah pertanian secara meluas dalam memenuhi penghasilan minyak bio perlu dihentikan kerana tindakan itu akan menambah kekurangan makanan global dan makin meningkatkan harga makanan. Kita seharusnya tidak membenarkan usaha memperkukuhkan keselamatan tenaga bertembung secara langsung dengan kehendak asas bagi pengeluaran makanan.

Krisis semasa dalam bekalan makanan dan peningkatan harga minyak telah memaksa kerajaan mengurangkan perbelanjaan atau mengkaji semula peruntukan untuk pembangunan dalam memenuhi keperluan segera rakyat. Kita perlu berkongsi idea mengenai bagaimana untuk meringankan impak negatif daripada tindakan jangka pendek ini terhadap keperluan mengekalkan perkembangan dan pembangunan dalam jangka masa panjang.

Langkah-langkahUntuk itu kita perlu mengenal pasti langkah-langkah jelas yang perlu diambil tindakan sekarang dalam menjamin kestabilan ekonomi dan rakyat kita pada masa depan. Mengekalkan kestabilan dan perkembangan berterusan ekonomi boleh menjadi sumbangan kita dalam melawan ancaman kemelesetan yang melanda ekonomi global.

Kumpulan kita, D-8 kini berada pada persimpangan. Satu dekad telah berlalu sejak kita muncul bersama dengan objektif utama menguatkan ekonomi dan perhubungan perdagangan. Pencapaian kita sebagai sebuah kumpulan adalah sederhana, dan kita perlu menerimanya. Kita perlu secara serius mengambil perhatian daripada apa yang kita capai dan apa yang seharusnya mampu kita capai.

Ini akan membolehkan kita untuk menentukan cara terbaik untuk menambah nilai kepada apa yang telah kita kecapi sehingga kini. Adalah bersesuaian untuk kita menerima pakai, pada Sidang Kemuncak Keenam ini, satu Pelan Tindakan Baru untuk dekad kerjasama yang akan datang.

Malaysia memilih untuk menjadi tuan rumah persidangan ini di bawah tema 'Mendepani Cabaran Global Menerusi Kerjasama Inovatif.' Kita juga perlu menjadi inovatif dalam mengenal pasti kumpulan aktiviti, program dan projek yang sesuai. Saya percaya satu perkara penting untuk dilakukan ialah mengambil usaha bersepadu bagi meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam aktiviti, program dan projek kita. Mereka adalah enjin pertumbuhan sebenar kepada perkembangan dan pembangunan dalam ekonomi kita. Saya suka untuk menambah bahawa kita juga perlu melibatkan masyarakat madani mengikut kesesuaian.

Kita perlu memilih inisiatif yang berorientasikan hasil. Dalam konteks kesedaran semasa, D-8 mungkin mahu memberikan keutamaan kepada projek dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan meningkatkan pembangunan industri halal. Saya percaya Forum Perniagaan D-8 yang telah membincangkan isu ini sebelum ini, dapat segera tampil dengan kerjasama yang kukuh dan boleh dilaksanakan.

Malaysia telah diberi kepercayaan untuk mempengerusikan D-8 selepas Indonesia. Kami telah bersedia untuk menjalankan tugas kami dalam meningkatkan jalinan kerjasama di antara dan di kalangan ahli negara kumpulan. Dengan kerjasama, sokongan dan komitmen penuh daripada setiap negara anggota, kita boleh mencapai sasaran.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghormatan dan penghargaan kepada Presiden Indonesia, Dr. Susilo Bambang Yudhoyono di atas dedikasi dan usaha sepanjang menjadi Pengerusi D-8 selama dua tahun lalu. Terlalu banyak yang dilakukan beliau dalam memastikan D-8 terus relevan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung, Dr. Dipo Alam dan kakitangannya atas kerja keras dan sumbangan mereka dalam memastikan kejayaan berterusan D-8.

No comments: