Friday, July 11, 2008

Cabul atlet:Ramanathan jalani penjara 4 tahun

PUTRAJAYA 11 Julai – Bekas jurulatih olahraga kebangsaan, C. Ramanathan, 72, hari ini mula menjalani hukuman penjara empat tahun yang dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan yang melepaskannya daripada tuduhan mencabul kehormatan dua atlet remaja wanita berusia 15 dan 16 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zainun Ali memutuskan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ramanathan daripada kedua-dua tuduhan itu pada 24 Februari 2005 selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan itu.

Zainun bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie. Rayuan pula dikemukakan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Eddie Yeo dan Jamhirah Ali.

Dengan keputusan itu, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Ramanathan atas tuduhan mencabul 12 tahun lalu.

Bagi setiap tuduhan, jurulatih itu diperintah menjalani hukum penjara empat tahun secara serentak.

Ramanathan kelihatan gelisah ketika mahkamah membacakan keputusan itu. Selepas mahkamah bersidang, dia membuat beberapa panggilan telefon sebelum dibawa ke Penjara Kajang.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 1996 atas tuduhan mencabul kehormatan kedua-dua mangsa, ketika itu berusia 15 dan 16 tahun.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 4 Oktober 1994, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara pukul 9 dan 10 malam 23 dan 27 Oktober 1992 di Bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), Jalan Hang Tuah di ibu negara.

Sehingga hari ini, Ramanathan tidak pernah dipenjarakan setelah Mahkamah Sesyen membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM10,000.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan Ramanathan dan mengetepikan sabitan dan hukumannya atas dua alasan iaitu kelewatan Hakim Mahkamah Sesyen mengeluarkan alasan penghakiman serta perilaku saksi-saksi ketika memberi keterangan.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Ramanathan memberitahu, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi menyemak keputusan Mahkamah Rayuan tersebut Isnin ini.

“Kami juga akan memfailkan notis perakuan segera pada Isnin ini supaya permohonan ikat jamin terhadap Ramanathan didengar secepat mungkin,” ujarnya.

Hakim Zainun ketika membacakan penghakiman tersebut berkata, kelewatan Hakim Mahkamah Sesyen mengeluarkan alasan penghakimannya selepas lima tahun keputusan disampaikan bukan satu penafian keadilan terhadap Ramanathan.

Menurut beliau, kelewatan itu tidak menyebabkan prejudis kepada Ramanathan kerana Hakim Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya pada 8 November 1996 manakala penghakiman bertulis dikeluarkan pada 26 Oktober 2001.

“Keadilan terhadap perayu tidak dinafikan kerana Hakim Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya kurang daripada tempoh sebulan selepas Ramanathan dipanggil membela diri,'' ujarnya.

Hakim Zainun turut menyatakan mahkamah membenarkan rayuan pendakwa raya selepas meneliti keseluruhan prosiding perbicaraan dan rayuan di peringkat Mahkamah Tinggi.

No comments: