Oleh Abdul Rahim Anuar
Momentum pembangunan di bawah separuh penggal kedua Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tergendala sementara apabila berlaku krisis politik di peringkat tertinggi pada masa ini. Krisis itu berlaku secara kebetulan selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Parlimen dan juga ketika negara sedang menganjur Sidang Kemuncak Keenam Lapan Negara Membangun (D-8).
Pengumuman pencapaian projek pembangunan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 itu ditenggelami dengan isu politik yang merunsingkan rakyat tentang masa depan negara kerana ia membabitkan kredibiliti dan integriti institusi kerajaan. Begitu juga personaliti politik yang terbabit.
Imej Malaysia yang selama ini menjadi model pembangunan ekonomi dan politik untuk dicontohi oleh negara membangun Islam lain boleh tercemar dengan kemelut politik semasa. Krisis politik itu juga mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan campur tangan politik daripada polis dunia, Amerika Syarikat (AS). Kerajaan membantah keras campur tangan kerajaan AS dalam hal ehwal negara.
Krisis politik negara diharapkan dapat diselesai dengan adil dan segera. Imej negara dipulihkan. Begitu juga keyakinan rakyat ke atas integriti institusi kerajaan. Semua ingin keadilan. Rakyat mahu keamanan. Pelabur mengharap kestabilan ekonomi.
Kerajaan pula ingin menumpu dan meneruskan agenda pembangunannya untuk kebajikan rakyat. Semua tidak mahu keperitan hidup. Ia menyusah dan membebankan, lebih-lebih di tengah-tengah tekanan inflasi yang hebat dalam negara dan keadaan geo-politik global yang tidak menentu pada masa depan.
Krisis ekonomi global juga sebahagiannya berpunca daripada campur tangan politik AS dalam negara pengeluar minyak di Asia Barat yang mengakibatkan harga minyak mentah dunia meningkat lebih AS$130 setong.
Situasi ekonomi politik yang stabil membolehkan kerajaan menjana aktiviti ekonomi baru, seperti pelaksanaan wilayah pembangunan koridor dan projek pembangunan berimpak tinggi dalam tempoh kedua RMK-9.
Aktiviti itu mewujudkan peluang pekerjaan. Mereka yang bekerja memperoleh upah dan gaji. Pendapatan itu dibelanja untuk maksud penggunaan, tabungan dan pelaburan. Kesan rantaian aktivitinya menjana lagi pendapatan kepada pelaku ekonomi. Masing-masing mendapat bahagiannya tanpa sikap prejudis apabila kekayaan negara diagihkan dengan adil dan saksama.
Kerajaan pula mendapat hasil melalui cukai yang dikenakan ke atas aktiviti pelaku ekonomi. Hasil kerajaan itu diguna semula untuk membiayai projek pembangunan untuk kepentingan pelaku ekonomi. Dasar kerajaan itu merapatkan jurang agihan pendapatan dan kekayaan rakyat. Semua berpuas hati. Itulah economics of life.
Pelaku ekonomi dalam negara juga mendapat faedah apabila kerajaan mengambil inisiatif menjalinkan hubungan antarabangsa. Ini dilakukan menerusi perjanjian perdagangan dan pelaburan antarabangsa sama ada dalam bentuk dua hala atau pelbagai hala.
Baru-baru ini kerajaan meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Bosnia-Herzegovina yang majoriti penduduknya ialah Islam. Ahli perniagaan tempatan khususnya dalam industri makanan halal boleh mengambil kesempatan daripada peluang yang diwujudkan melalui kerjasama ekonomi itu.
KerjasamaPada hari ini pula Sidang Kemuncak Keenam Lapan Negara Membangun (D-8), dilangsungkan di Kuala Lumpur. D-8 terdiri daripada negara Islam dan dianggotai oleh Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Idea kerjasama antara negara Islam yang terpilih dari Asia Tenggara hingga Afrika dikemukakan oleh Perdana Menteri Turki Dr. Necmettin Erbakan di Persidangan 'Kerjasama dalam Pembangunan' di Istanbul pada 1996. Persidangan itu membuka laluan kepada pembentukan D-8 di Sidang Kemuncak Pertamanya di Istanbul pada 1997 dengan Deklarasi Istanbul.
Matlamat penubuhan D-8 adalah untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan luar bandar, pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi, tenaga, pertanian dan kesihatan, bagi meningkatkan status ekonomi negara anggota.
Di kalangan negara D-8, enam daripada lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Iran, Mesir, Nigeria dan Turki adalah negara pengeluar dan pengeskport minyak mentah dunia. Menurut data Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC) pada 2006, mereka menyumbang kira-kira 12 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah dunia.
Iran dan Nigeria adalah pengeluar utama dalam D-8 masing-masing dengan empat juta tong sehari (b/d) dan dua juta b/d. Malaysia dan Indonesia antara 700,000- 900,000 b/d, manakala Mesir dan Turki masing-masing mengeluar 533,000 b/d dan 42,000 b/d.
Kenaikan harga minyak dunia yang mencecah AS$140 b/d sudah pasti meningkatkan hasil eksport mereka. Hasil petrol itu boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang dikenal pasti oleh D-8 bagi meningkat kebajikan negara anggota. Ada di kalangan perwakilan D-8, mencadangkan supaya negara yang mendapat 'durian runtuh' susulan harga minyak yang melonjak naik, berkongsi keuntungan dengan negara anggota membangun lain yang terjejas akibat krisis tenaga semasa. Semangat ini bertepatan dengan matlamatnya.
Oleh itu pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Keutamaan D-8 (D-8 PTA) adalah wajar membantu negara Islam yang miskin menerusi ciptaan dagangan dan pelaburan sesama mereka. Dalam pada itu, merapatkan jurang agihan pendapatan dan kekayaan dalam kalangan negara Islam. Ia adalah jihad pembangunan di kalangan negara Islam.
D-8 PTA yang dimeterai dalam Sidang Kemuncak Kelima D-8 di Bali, Indonesia pada 2006 bertujuan memberikan konsesi tarif keutamaan ke atas barangan terpilih di kalangan negara anggota. Konsep PTA adalah asas kepada pembentukan kawasan perdagangan bebas (FTA). Tatacara pelaksanaan D-8 PTA adalah sama dengan konsep pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Tetapi, memfokus kepada FTA negara Islam terpilih pada permulaannya.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Malaysia pada Sidang Kemuncak Keenam ini akan membincangkan dengan lebih terperinci D-8 PTA khususnya mengenai Peraturan Negara Asal (RoO) dan Prosedur Persijilan Operasi (OCP) bagi RoO. Langkah memuktamadkan RoO dan OCP perlu bagi melaksanakan D-8 PTA dengan lebih efisien supaya dasar pengurangan tarif sesama negara anggota adalah mengikut jadual.
Pada skop yang lebih luas, sidang di Kuala Lumpur itu juga membincangkan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Terpilih, Perjanjian Kastam dan Perjanjian Visa antara negara anggota, kesemuanya bermatlamat memperkukuhkan pertukaran dagangan di kalangan lapan negara anggota.
Perjanjian Perdagangan Terpilih merupakan jentera utama perdagangan sesama negara anggota manakala perjanjian kastam akan memudahkan pergerakan barangan manakala perjanjian visa membolehkan perjalanan yang lancar bagi masyarakat perniagaan di negara anggota. Ringkasnya, perbincangan di Sidang Kemuncak itu adalah untuk mengukuhkan sistem penyampaian D-8 PTA.
Oleh kerana negara D-8 adalah juga negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), D-8 PTA akan menjadi asas kepada negara Islam lain untuk menyertainya dan melebarkan sempadan FTA D-8 pada masa depan.
Gabungan penduduk D-8 yang hampir seramai 950 juta orang pada tahun 2007 mewujudkan pasaran yang sudah sedia ada kepada ahli perniagaan dalam negara anggota. Ini dapat mengurangkan pergantungan pasaran eksport negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Kecuali Iran, negara D-8 lain banyak bergantung kepada pasaran AS. Eksport Nigeria ke AS adalah tertinggi, hampir 50 peratus daripada jumlah eksportnya. Ini diikuti dengan Mesir (32 peratus), Bangladesh (26 peratus), Pakistan (24 peratus), Malaysia (20 peratus), dan Indonesia (13 peratus).
Eksport Turki ke AS adalah yang terendah (empat peratus). Ini kerana sebahagian besar daripada eksport Turki adalah ke Kesatuan Eropah (EU), iaitu 35 peratus daripada eksportnya. Malah Turki bakal menjadi ahli EU pada masa depan.
Bagi Iran, AS telah mengenakan sekatan ekonomi ke atasnya. Bagaimanapun, pasaran eksportnya yang utama ialah Jepun (24 peratus), China (23 peratus) dan EU (20 peratus). Ini bererti Iran, masih dapat membangunkan ekonominya walaupun AS mengenakan sekatan ekonomi unilateral ke atasnya.
Sekatan ekonomi AS mempunyai implikasi dasar yang penting kepada negara Islam. Mempelbagai, mencari alternatif pasaran eksport dan membangunkan pasaran eksport baru adalah kritikal bagi mengelak pergantungan dengan Barat. Sebagai langkah pertama, D-8 PTA sudah menyedia alternatif pasaran baru apabila negara OIC lain menyertainya pada masa depan.
Dalam konteks Malaysia, adalah menjadi dasar kerajaan untuk meluaskan pasaran eksportnya menerusi carian pasaran baru dengan mewujudkan kawasan perdagangan yang berbentuk dua hala atau pelbagai hala. Contohnya, kerajaan komited dalam pembangunan D-8 PTA. Ini dibukti dengan data dagangannya.
Pada 2007, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara D-8 adalah kira-kira RM55 bilion berbanding RM46 bilion dalam 2006. Eksport dan import meningkat masing-masing kepada RM31 bilion dan RM24 bilion. Perdagangan dengan negara anggota D-8 lain, memihak kepada Malaysia. Oleh itu, D-8 PTA adalah platform yang terbaik bagi kerajaan untuk meningkatkan hasil negara menerusi perolehan tukaran asing.
Meningkatkan perdagangan dan pelaburan sesama negara Islam adalah satu amanah bagi membantu negara Islam lain yang mundur. Pergantungan kepada negara Barat memberi implikasi yang tidak sihat, kerana negara pengeksport tidak bebas daripada pengaruh dasar luar negara Barat.
Oleh itu, OIC adalah platform terbaik untuk mengukuh dan meluaskan kawasan perdagangan bebasnya dan D-8 PTA adalah langkah pertama ke arah itu.
Monday, July 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment