KUALA LUMPUR 1 Julai - Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan supaya peraturan mesyuarat tidak digunakan bagi membolehkan ahli Dewan mencelah pada sesi soal jawab.
Langkah itu menyebabkan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) membantah dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut.
Wan Junaidi menjelaskan, cadangan itu bertujuan supaya urusan soal jawab tidak terganggu dengan perkara tidak berkaitan bagi membolehkan lebih banyak soalan dapat dijawab oleh menteri berkaitan.
''Saya telah merujuk dengan amalan Dewan Rakyat di beberapa negara maju seperti England dan New Zealand yang juga tidak membenarkan peraturan mesyuarat dibangkitkan dalam sesi soal jawab.
''Kita bukan melarang terus peraturan mesyuarat dibangkitkan tetapi kita mahu ia dihadkan hanya jika ada pelanggaran yang nyata berlaku," katanya menjawab kritikan Po Kuan itu.
Po Kuan mendakwa cadangan itu melampaui kuasa Yang Dipertua Dewan yang juga tertakluk pada peraturan mesyuarat ketika mempengerusikan persidangan.
Terdahulu, sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Wan Junaidi mengemukakan cadangan itu selepas mendengar Peraturan Mesyuarat 36.12 yang dibangkitkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).
Tajuddin ketika membangkitkan peraturan itu, meminta Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang didakwa menghina dan mempertikai kewibawaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di luar dewan.
Semalam, Pandikar Amin mengarah Gobind keluar dewan dan digantung dua hari daripada Dewan Rakyat kerana mencabar kewibawaan Yang Dipertua.
Saranan Tajuddin itu turut disokong Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyifatkan tindakan Gobind sebagai keterlaluan.
''Kita adalah pembuat undang- undang, bukannya pelanggar undang-undang," katanya merujuk tindakan Gobind yang terus mencabar kewibawaan Pandikar di luar dewan.
Mengulas perkara yang dibangkitkan itu, Wan Junaidi berkata, isu itu tidak akan dibahaskan dalam dewan sebaliknya akan dibincangkan dengan Pandikar Amin dan seorang lagi Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee untuk menetapkan keputusan
Wednesday, July 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment