Monday, July 21, 2008

Mahkamah Khas bersidang dengar kes kerabat diraja Negeri Sembilan

PUTRAJAYA: Mahkamah Khas yang ditubuhkan untuk mendengar kes membabitkan kerabat diraja, bersidang buat pertama kalinya di sini hari ini untuk mendengar keterangan saksi dalam saman sivil sebuah bank terhadap seorang kerabat diraja Negeri Sembilan atas dakwaan gagal membayar AS$1 juta kepada bank itu.

Anggota kerabat diraja itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan, juga mengemukakan saman balas terhadap bank itu, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB), dan memohon diisytiharkan bank itu tidak berhak mengikut undang-undang untuk melepaskan simpanan tetapnya bagi menyelesaikan bayaran AS$1 juta itu.

Pendengaran itu dikendalikan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Anggota lain ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alaudin Mohd Sheriff, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Saman itu dikemukakan selepas kerabat diraja itu pada atau sekitar 12 Februari 1999, memperoleh menerusi SCBMB, surat kredit (SBLC) tunggu sedia bernilai AS$1 juta untuk Connecticut Bank of Commerce (CBC) di Amerika Syarikat bagi kemudahan kredit yang akan diberikan oleh CBC kepada sebuah syarikat AS yang dikenali sebagai Texas Encore LLC (TEC).

Bank itu menyaman defendan selepas defendan gagal mematuhi terma yang terkandung dalam Permohonan Kredit Dokumentari (DCA).

Dalam pernyataan tuntutan, bank itu berkata defendan dalam DCA itu telah berjanji untuk melindungi plaintif (bank) daripada semua kerugian, kos, ganti rugi, pembiayaan dan tuntutan yang mungkin dihadapinya daripada pengeluaran atau pemberian kredit itu. — Bernama

No comments: