Monday, July 14, 2008

Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia ditubuh tahun depan

14/07/2008 4:03pm


PUTRAJAYA 14 Julai - Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SARM) dijangka ditubuhkan tahun depan setelah ia dibentangkan di Dewan Rakyat, kata Timbalan Ketua Pengarah I, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Abu Kassim Mohamed.

Menurut beliau, ketika ini pihaknya sedang berbincang dengan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan beberapa jabatan yang berkaitan mengenai penubuhan suruhanjaya berkenaan.

``Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu penubuhan suruhanjaya tersebut dipercepatkan dan kami akan mengambil suruhanjaya anti rasuah di Hong Kong sebagai model.

``Jadi, kami harap segala persiapan penubuhannya akan dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini bagi membolehkan ia beroperasi pada tahun depan. Bagaimanapun ia perlu dibawa ke Parlimen dahulu,'' katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat BPR di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkembangan penubuhan SARM yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 21 April lalu sekali gus menjadikan ia sebagai sebuah badan bebas bagi meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.

Penubuhan suruhanjaya itu merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah di negara ini. - Utusan

No comments: