Wednesday, July 9, 2008

Tabung makanan ditubuh Deklarasi Kuala Lumpur garis strategi tangani krisis peringkat global



BERSATU... Para pemimpin D-8 bergambar beramai-ramai sebelum majlis perasmian Sidang Kemuncak Keenam kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam. Dari kiri, Setiausaha Tetap Nigeria, R. N. Okenwa; Menteri Luar Turki, Ali Babacan; Perdana Menteri Pakistan, Makhdoom Syed Yousuf Raza Gillani; Presiden Indonesia, Dr. Susilo Bambang Yudhoyono; Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi; Presiden Iran, Dr. Mahmoud Ahmadinejad; Ketua Penasihat kerajaan Bangladesh, Dr. Fakhruddin Ahmed; Menteri Kerjasama Antarabangsa Mesir, Fayza Mohamed Aboul Naga; dan Setiausaha Agung D-8, Dipo Alam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 8 Julai – Sidang Kemuncak Keenam Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang berakhir hari ini sepakat menerima Deklarasi Kuala Lumpur, yang antara lain menggariskan strategi khusus untuk menangani krisis makanan global termasuk menubuhkan Tabung Makanan D-8.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi D-8 memberitahu, kumpulan tersebut memperakui betapa serius ancaman harga makanan yang melambung dan kekurangan bekalannya kepada kestabilan sosioekonomi negara-negara membangun.

Perdana Menteri berkata, D-8 bersetuju untuk mengatasi masalah itu melalui usaha sama dan penglibatan sektor swasta di bawah pelan tindakan yang telah dipersetujui untuk dekad akan datang (2008-2018).

“Pada sidang ini, kami mengadakan perbincangan menarik mengenai projek-projek praktikal yang akan dilaksanakan oleh negara anggota, antaranya dalam pengeluaran baja dan makanan ternakan.

“Kami juga merancang menubuhkan bank benih untuk mengatasi kekangan bekalan yang dihadapi bidang pertanian bagi melipatgandakan pengeluaran makanan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” kata Abdullah pada sidang akhbar bersama ketua-ketua delegasi D-8 selepas menutup sidang kemuncak itu di sini.

Hadir sama ialah Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan Perdana Menteri Pakistan, Makhdoom Syed Yousuf Raza Gillani.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang sudah berlepas ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Maju (G8), diwakili Menteri Luarnya, Dr. Hassan Wirajuda.

Turut hadir ialah Ketua Penasihat kerajaan Bangladesh, Dr. Fakhruddin Ahmed; Menteri Luar Turki, Ali Babacan; Menteri Kerjasama Antarabangsa Mesir, Fayza Mohamed Aboul Naga dan Setiausaha Tetap Nigeria, R. N. Okenwa.

Deklarasi 25 perenggan D-8 itu turut menyentuh komitmen D-8 untuk secara bersama meningkatkan kerjasama dalam pembinaan kapasiti, pemindahan teknologi dan penerokaan sumber tenaga baru termasuk penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan.

Ia turut menyentuh gesaan untuk mengesahkan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) oleh negara anggota D-8 secepat mungkin serta penubuhan pangkalan data tenaga selain cadangan penubuhan kumpulan kerja mengenai perlombongan dan logam.

Malaysia, selaku Pengerusi baru D-8 selepas Indonesia, akan memacu arah kumpulan itu untuk tempoh dua tahun akan datang.

D-8 yang ditubuhkan pada 1997 dianggotai Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Sidang Kemuncak D-8 hari ini juga meluluskan kemudahan syarat visa untuk mempermudahkan urusan ahli perniagaan D-8 dalam usaha meningkatkan nilai dagangan antara negara anggota.

Semasa Sidang Kemuncak Kelima D-8 di Bali, Indonesia dua tahun lalu, nilai dagangan kumpulan itu dilaporkan sebanyak AS$750 bilion dengan AS$34 bilion daripadanya adalah perdagangan kalangan negara anggota.

Mengikut statistik terbaru, nilai dagangan D-8 kini mencecah AS$1.15 trilion dengan AS$60.5 bilion daripadanya merupakan perdagangan antara negara anggota.

No comments: