05/07/2008 10:35am
KUALA LUMPUR 5 Julai — Lapan Negara Islam Membangun (D-8) perlu bersatu suara, terutama dalam memerangi harga petroleum yang tinggi dan krisis makanan global, bagi memastikan ia ditangani secara serius oleh organisasi utama seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menyuarakan perkara ini berkata setakat ini D-8 belum membuat pendirian bersama terhadap dua isu itu dan jika D-8 dapat mengemukakan cadangan padu membabitkan dua isu global ini, ia akan mampu menarik perhatian pertubuhan utama lain.
“Kita masih belum bercakap mengenai spekulator pasaran niaga hadapan minyak. Ia kini menjadi isu utama. Isunya bukanlah kekurangan minyak, tetapi kerja spekulator. Mereka ini yang duduk di satu tempat dan memiliki wang, berjaya menaikkan harga minyak. Peningkatan harga minyak bukan kerja pengeluar petrol,” katanya kepada Bernama pada temu bual di sini.
Sesi Mesyuarat Peringkat Menteri D-8 ke-11 bermula pagi ini sebelum Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Keenam D-8, pada Selasa.
D-8 yang dibentuk pada 1997, ialah forum bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan luar bandar, pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi, tenaga, pertanian dan kesihatan, di negara anggota.
Saturday, July 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment