Monday, July 7, 2008

Felda buka ladang kelapa sawit di Brazil

07/07/2008 3:14pm


PUTRAJAYA 7 Julai — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Felda akan membuka ladang komersil kelapa sawit di kawasan seluas 100,000 hektar di Brazil tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Felda melalui anak syarikatnya, Felda Global Ventures Brazil Sdn Bhd, dengan modal berbayar RM25 juta akan melaksanakan projek itu secara usaha sama dengan syarikat dari Barzil, Braspalma.

Felda akan memiliki ekuiti 70 peratus manakala Braspalma 30 peratus dalam syarikat usaha sama itu, katanya kepada para pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Buat permulaan, katanya, 20,000 hektar ladang kelapa sawit akan dibangunkan di Tefe, di negeri Amazonas, Brazil dengan kadar pembukaan ladang antara 3,000 dan 5,000 hektar setahun.

Katanya penanaman kelapa sawit itu turut akan dilakukan di Manaus, yang merupakan ibu negeri Amazonas. “Pelaburan Felda di Brazil itu sejajar dengan visi kita untuk melihat Felda menjadi pemain global, kita nak Felda sebaris dengan syarikat seperti Petronas,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Felda.

Najib menjangkakan pelaburan Felda di Brazil itu akan memberikan pendapatan yang lebih besar kepada badan itu dan Felda mesti membuat pelaburan dalam bidang produktif kerana ia memerlukan sumber kewangan yang kukuh bagi membiayai bonus, duit raya dan menganjur skim latihan bagi para peneroka.

Ditanya mengenai perkembangan pelaburan Felda di negara lain, beliau berkata kawasan seluas 20,000 hektar sedang dibangunkan di Kalimantan, 5,000 hektar akan dimajukan di Papua New Guinea dan 45,000 hektar akan dibangunkan di Aceh.

Selain itu, Felda turut mempunyai pelaburan dalam industri biodiesel di Quebec, Kanada dan Boston serta Cincinnati, Amerika Syarikat dalam usahanya mengembangkan sayap perniagaannya di dunia.

—BERNAMA

No comments: