Tuesday, July 15, 2008

Nada D-8, G8tangani krisis minyak

Pada minggu lepas Malaysia dan Jepun menjadi tumpuan dunia apabila kedua-dua negara menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) dan Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Maju (G8).

Walaupun kedua-dua persidangan mewakili dua kumpulan negara yang berbeza darjat, tetapi ia senada - mengetengahkan isu kenaikan harga minyak dan krisis makanan yang kini mengancam kehidupan penduduk dunia dan menjejaskan ekonomi kebanyakan negara.

Satu lagi isu yang mendapat perhatian pada kedua-dua sidang kemuncak itu ialah pemanasan global akibat perubahan iklim.

Sidang Kemuncak D-8 di Kuala Lumpur selama 4 hari terlebih dahulu membuka tirai dengan memulakan mesyuarat peringkat pegawai pada 5 Julai.

Kumpulan itu memperakui betapa seriusnya ancaman kenaikan harga makanan dan kekurangan bekalannya kepada kestabilan sosioekonomi negara-negara membangun.

Kumpulan D-8 juga merancang menubuhkan bank benih untuk mengatasi kekangan bekalan dan melipatgandakan pengeluaran makanan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Deklarasi 25 perenggan itu turut menyentuh komitmen D-8 untuk secara bersama meningkatkan kerjasama dalam pembinaan kapasiti, pemindahan teknologi dan penerokaan sumber tenaga baru termasuk penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan.

Pemimpin-pemimpin D-8 menyuarakan kebimbangan penduduk negara membangun akan menghadapi kekurangan bekalan makanan dan kebuluran sekiranya masyarakat antarabangsa tidak segera menangani kenaikan harga makanan dan bahan bakar yang terus melambung.

Sementara itu, Sidang Kemuncak Kumpulan G8 di Toyako, utara Jepun yang menyusul dari 7 hingga 10 Julai, turut memberi tumpuan ke arah mencari penyelesaian bagi menangani masalah kenaikan harga minyak serta memastikan bekalan makanan dunia mencukupi.

Pemimpin-pemimpin G8 terdiri daripada Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Perancis, Jepun, Jerman, Kanada dan Itali menegaskan kenaikan harga minyak menyebabkan berlaku inflasi dan mencetuskan krisis makanan dunia serta mengancam ekonomi global.

Sebagai kumpulan negara maju, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat untuk menangani inflasi global dan menstabilkan pasaran kewangan dunia.

Tujuh pemimpin Afrika yang menyertai Sidang Kemuncak G8 itu turut mendesak supaya masalah kenaikan harga minyak dan makanan diatasi segera kerana ia menyukarkan lagi kehidupan pendudukan di benua yang miskin itu.

Pemimpin Afrika itu dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon turut mendesak Kumpulan G8 supaya menunaikan janji untuk memberi bantuan kepada benua itu.

No comments: