Wednesday, July 9, 2008

G8 fokus usaha atasi inflasi global

TOYAKO, Jepun 8 Julai - Para pemimpin negara industri terkaya dunia bertemu hari ini dalam usaha mencari penyelesaian bagi menangani masalah kenaikan harga minyak dan makanan serta memastikan jaminan bekalan makanan dunia.

Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan (G8) yang masuk hari kedua akan memberi tumpuan kepada krisis yang menyebabkan inflasi, kekacauan berhubung kekurangan makanan dan ancaman kepada perkembangan ekonomi global.

"Pemimpin-pemimpin dijadual membincangkan keadaan ekonomi dunia dan memfokuskan kepada langkah mengatasi inflasi serta peningkatan harga komoditi penting," kata seorang pegawai Kementerian Luar Jepun.

Sehari selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon menyertai pemimpin Afrika mendesak G8 menunaikan janji untuk memberi bantuan kepada benua itu, kumpulan negara kaya ini akan menumpukan perbincangan kepada usaha menentang inflasi global dan menstabilkan pasaran kewangan.

Persetujuan untuk bersama dalam usaha menghentikan kenaikan harga minyak mentah menjadi tajuk utama persidangan yang berlangsung di sebuah hotel mewah di tepi tasik di bandar Toyako, Hokkaido ini.

Harga minyak meningkat lima kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu dan dua kali ganda sejak tahun lalu.

Harga minyak mentah setakat semalam bernilai AS$141.37 (RM459.74) setong.

Pemimpin G8 juga dijangka membincangkan Pusingan Doha yang masih tertunggak dan peranan spekulasi dalam pasaran minyak dunia tetapi mereka masih belum mencapai kata sepakat.

Tujuh pemimpin Afrika turut menyertai pemimpin G8 semalam dan mendesak masalah kenaikan harga minyak dan barang makanan diatasi kerana ia menyukarkan lagi hidup benua yang sedia dalam kesusahan.

- AFP

No comments: