Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(Wartawan utusan)
SIDANG Kemuncak Kumpulan Lapan (G8) yang berlangsung di Toyako, Hokkaido, Jepun kelmarin dibuka dengan tekanan daripada negara-negara Afrika supaya G8 menunaikan janji untuk membantu benua itu.
Desakan secara bersama oleh tujuh pemimpin Afrika itu disuarakan bagi mengulangi komitmen meningkatkan bantuan pembangunan kepada negara-negara benua tersebut sebanyak AS$25 bilion (RM82.5 bilion) setahun sehingga 2010.
Malangnya, komitmen yang dibuat sewaktu persidangan serupa yang diadakan di Scotland, dua tahun lalu tidak ditepati sepenuhnya apabila hanya sebahagian kecil daripada peruntukan yang dijanjikan, diterima oleh negara-negara Afrika.
Dalam situasi ekonomi yang semakin menekan ketika ini, bantuan itu pastinya ditagih sepenuhnya oleh rakyat Afrika yang paling menderita kesan daripada krisis global ekoran kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan.
Persidangan G8 hari kedua pula membawa kepada akar permasalahan utama dunia ketika ini iaitu kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan serta peranan yang seharusnya dimainkan oleh negara-negara maju dalam mengurangkan kesannya terhadap inflasi global.
Selaku kuasa besar ekonomi dunia, peranan G8 dalam memulihkan krisis ekonomi yang menghimpit negara-negara membangun dan miskin ketika ini sememangnya ditagih, dan persidangan kali ini diharapkan mampu merintis ke arah kestabilan ekonomi tersebut.
Namun, harapan yang diletakkan pada persidangan kali ini dijangka sekali lagi berakhir dengan sia-sia sekiranya G8 masih dibelenggu doktrin kapitalisme yang menekan ekonomi dunia secara keseluruhannya.
Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, sistem kapitalisme yang hanya memberi keuntungan kepada G8 itu turut menjadi punca kepada krisis kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan dunia.
Dasar imperialisme itu secara tidak langsung menafikan hak kepada kebajikan dan kemajuan yang seharusnya dikecapi secara bersama oleh semua negara di seluruh dunia.
"Sistem kapitalisme yang diamalkan oleh G8 menyebabkan negara-negara dunia ketiga mengalami defisit yang melampau. Sekiranya doktrin kapitalisme itu tidak dihapuskan atau diubah, jurang ekonomi di antara negara maju dengan negara membangun akan semakin melebar dan terus menekan negara miskin," katanya.
Menurut Mohamad Faisol, negara-negara Afrika menerima kesan yang paling buruk daripada dasar mengawal ekonomi oleh G8, namun paling sedikit pula mendapat bantuan daripada negara-negara maju berkenaan.
Sebaliknya, sokongan G8 lebih tertumpu kepada negara-negara di Amerika Latin dan Asia yang secara relatifnya masih mampu bertahan di sebalik tekanan ekonomi dan defisit global ketika ini.
"Justeru, persidangan G8 kali ini seharusnya memberi perhatian yang khusus kepada keperluan di kalangan negara-negara dunia ketiga terutamanya berhubung bekalan minyak, sumber makanan dan teknologi, iaitu tiga elemen yang sangat diperlukan oleh negara ini dalam proses bergerak ke arah kemajuan dalam era global," katanya.
RealitiSejauh mana perhatian terhadap keperluan negara-negara dunia ketiga itu mampu menjadi realiti dan tidak berakhir dengan selesainya persidangan G8, pasti dinanti-nantikan seluruh dunia.
Ini kerana jika apa yang berlaku ke atas janji untuk membantu negara-negara Afrika yang dicapai oleh G8 dalam persidangan dua tahun lalu dijadikan ukuran, dunia mempunyai sebab untuk berasa bimbang terbelenggu dalam kemelut ekonomi yang lebih panjang.
Menguatkan lagi kebimbangan itu seperti yang dijelaskan oleh Dekan Pasca Siswazah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, apabila G8 dalam komitmennya untuk membendung kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan, tidak menyatakan secara khusus pelan pemulihan untuk tindakan segera.
Seolah-olah sebuah perancangan tanpa jentera penggerak, komitmen itu tidak membawa sebarang makna kepada negara-negara membangun dan miskin, dan persidangan G8 kali ini juga sekali lagi dilihat hanya medan pertemuan negara maju untuk membincangkan mengenai isu dalaman negara anggota sahaja.
"Tanpa asas untuk berasa tertekan dengan kemelut ekonomi global di sebalik kekayaan negara masing-masing, komitmen yang disuarakan G8 hanyalah retorik semata-mata kerana mereka tidak mempunyai agenda yang jelas untuk membantu meringankan penderitaan penduduk dunia secara keseluruhannya," katanya.
Mohamed Mustafa menambah, ketika negara-negara G8 tidak lagi dapat diletakkan penggantungan untuk membantu memulihkan krisis global, negara-negara membangun dan miskin perlu lebih efektif untuk meneruskan kelangsungan hidup rakyat secara bersama.
Mengambil contoh persidangan Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang baru berakhir, ia seharusnya mampu meningkatkan kerjasama di kalangan negara-negara anggota dalam mendepani krisis global dengan lebih kuat dan efektif.
Menarik perhatian mengenai kehadiran negara-negara Afrika pada persidangan kali ini, Mohamed Mustafa berpendapat, ia bukanlah gambaran keprihatinan G8, sebaliknya tidak lebih daripada usaha untuk me- mastikan pengaruh mereka di rantau itu.
Ia juga bertujuan memastikan negara- negara Afrika tidak dipengaruhi oleh kuasa baru dari Asia terutamanya China dengan mengekang jalinan hubungan diplomatik yang semakin terbina kukuh lewat kebelakangan ini.
"Ia juga sebagai tindak balas terhadap usaha yang dilakukan oleh China yang lebih awal membina hubungan persahabatan berteraskan kekuatan ekonomi dan politik dengan negara-negara Afrika menerusi pertemuan yang diadakan sebelum perjumpaan negara-negara maju dengan negara Eropah pada 2007," katanya.
Thursday, July 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment